angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Mengenang Ustaz Fadzil Noor, Tokoh Wasatiah Gerakan Islam

Mengenang Ustaz Fadzil Noor, Tokoh Wasatiah Gerakan Islam.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperingati tokoh wasatiah gerakan Islam, Almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor. Anak jati Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah ini pernah memegang jawatan Setiausaha Penerangan ABIM pada 1973 dan 1974.

Sebagai rekod, ABIM telah ditubuhkan pada 6hb Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada 6hb Ogos 2021, ABIM menyambut ulang tahun yang ke-50 (Jubli Emas – Separuh Abad). Pengerusi penaja penubuhannya ialah Sdra. Wahab Sulaiman, Setiausahanya ialah Sdra. Fauzi Abdul Rahman (Dato’), dan Sdra. Ahmad Ismail tampil selaku Penolong Setiausaha Penaja ketika itu. Mereka menemui Pendaftar Pertubuhan bagi pendaftaran ABIM.

Pada 17hb Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966. ABIM melangsungkan Persidangan Agung Tahunan atau Muktamar Sanawi yang pertama pada tahun 1972.

ABIM ditubuhkan oleh anak muda lulusan Eropah, Timur Tengah dan universiti tempatan. Namun, para penggerak dan aktivisnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Daripada kaum petani dan pekebun kecil sehinggalah graduan PhD, kesemua bersama-sama menggembleng kekuatan, kepakaran serta pengalaman masing-masing untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Prof. Dr. Ustaz Razali Nawawi, Presiden pertama ABIM merupakan pengasas Malaysian Islamic Study Group (MISG) di London bersama beberapa orang sahabatnya seperti Ustaz Dahlan Arshad (Almarhum). Beliau juga terlibat aktif dengan London Islamic Circle serta Federation of Islamic Student Islamic Society in Great Britain and Ireland (FOSIS). Ustaz Dahlan Arshad merupakan sahabat karib Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi dan Sai’d Ramadan (menantu Imam Hassan al-Banna) sejak 1970an. Ustaz Razali dan Ustaz Dahlan juga merupakan antara generasi awal yang mendirikan Solat Jumaat di Malaysia Centre dan menyampaikan khutbah daripada rujukan tulisan-tulisan asal Syed Qutb (dalam Bahasa Arab), seperti Tafsir Fi Zilalil Quran.

Ustaz Razali Nawawi juga terlibat aktif dengan para aktivis belia Islam dari Timur Tengah terutama dari Universiti Al-Azhar, yang kemudiannya bersama-sama beliau menubuh dan menggerakkan ABIM. Tokoh seperti Ustaz Fadzil Noor sendiri, Ustaz Ni’amat Yusoff, Ustaz Wan Salim Mohd Nor, Ustaz Abd Manan Abdul Majid, Ustaz Abdul Halim el-Muhammady dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mengukuhkan kedudukan ABIM sebagai gerakan Islam utama di Malaysia ketika itu (Mohd Azhar Bahari & Ishak Saat, 2014).

Sistem Usrah yang pertama di Malaysia, diasaskan oleh Ustaz Razali Nawawi. Usrah pertama ABIM berlangsung di No. 12, Jalan Aman, Kawasan Melayu, Old Town (Jalan Othman, Petaling Jaya) dan diadakan bagi membincangkan tafsir, hadis dan isu-isu semasa. Mereka yang hadir ketika itu termasuklah Sdra. Anwar Ibrahim, Sdra. Sanusi Junid, Sdra. Said Ibrahim, Sdra. Kamaruddin Mohd Nor, Sdra. Osman Bakar dan Sdra. Omar Jaafar. Antara bahan yang dibincangkan merangkumi bacaan al-Quran, tafsir, hadis, sirah Rasulullah dan isu-isu semasa. Ustaz Razali Nawawi juga turut memperkenalkan Tamrin al-Kader dan menyusun sukatan dan korikulumnya di semua peringkat.

Usrah dan Tamrin adalah kekuatan penjanaan kekuatan ahli-ahli ABIM dalam berdakwah. Dalam Usrah dan Tamrin ABIM, kepimpinannya merangka strategi dan manhaj gerakan. Faktor-faktor berikut menyebabkan kemunculanmya menjadi besar dan masyhur. ABIM ditubuhkan tepat pada waktunya dengan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Pada tahun 1970an merupakan kemuncak sahwatul al-Islamiyyah dan reformis yang dilakukan oleh tokoh-tokoh pembaharuan.

ABIM mempunyai keorganisasian yang tersusun, lengkap dan mantap sehingga orang boleh mengenali program-program yang dikendali oleh ABIM. Ustaz Fadzil Noor bersama sahabat karibnya, Sdra. Anwar Ibrahim dan Ustaz Siddiq Fadzil serta para pimpinan ABIM menggagaskan pendekatan kesederhanaan berteraskan elemen kemelayuan dan tempatan. Islam way of life, Manhaj al-Malizi, al-Wasati dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk diungkap dan diperkenalkan kepada masyarakat umum.

ABIM digerakkan dengan tujuan ‘memperjuang cita-cita Islamiah, menjalankan dakwah secara progresif, menggembleng tenaga belia bagi meningkat taraf hidup masyarakat, bekerjasama dengan badan-badan lain serta melaksanakan kegiatan-kegitan lain yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah’ (Perlembagaan ABIM). 

Namun kekuatan yang terkandung dalam pengertian yang ada pada din al-Islam yang menjadi dasar perjuangan – dengan pengertiannya yang luas dan dalam, yang mempunyai daya dan kekuatan, dinamik serta bersifat revolutionary (sentiasa segar dan baru) – telah memberikan generasi muda lebih dari sekadar medan untuk berdakwah dan membuat amal kebajikan. Ia telah pula membuka satu dimensi baru yang mengangkat erti kehidupan iaitu dimensi perjuangan bagi mendaulatkan Islam dan memperkasa umat.

Ustaz Fadzil Noor dan para sahabat karibnya di dalam ABIM memanfaatkan bacaan buku-buku yang pelbagai seperti buku tentang kemiskinan, keadilan sosial, pendidikan dan tidak terhad kepada bidang agama. Pembacaan yang pelbagai menjadikan ahli-ahlinya bersifat terbuka dan mampu menghadapi golongan ekstremis, atheis dan modenis pada waktu itu. Hujah-hujah aqliah yang bernas mampu menumpaskan elemen-elemen tersebut.

Hal yang demikian, ahli-ahli ABIM harus merasai mereka sebagai orang dakwah dan orang perjuangan yang sanggup menghadapi pelbagai ujian, mihnah dan tribulasi. Orang perjuangan hidupnya adalah berjuang sehingga ke akhir hayat bak kata pensyair Ahmad Shawqi: “Sesungguhnya kehidupan ini adalah satu perjuangan.”

Bakat Kepimpinan & Kehidupan Awal

Sememangnya diakui bahawa Ustaz Fadzil memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinan beliau mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq.

Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, Ustaz Fadzil pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Beliau turut serta dalam Rombongan Jawatankuasa PMRAM menghantar memorandum ke Kedutaan Malaysia di Mesir menyokong kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pada 1967.

Ustaz Fadzil dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Bapanya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah.

Beliau menikahi sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar. Isterinya bersamanya ke Al-Azhar. Mereka mendapat lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Ustazah Khadijah adalah merupakan kakak kepada bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dari tahun 1992-2001, Ustazah Hajjah Jamilah Ibrahim, yang juga bekas Ahli Dewan Negara dari tahun 1997-2003.

Memangku Jawatan Presiden ABIM

Ustaz Fadzil yang juga merupakan sahabat karib Prof. Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil (Almarhum USF) ini pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Sdra. Anwar Ibrahim (Dato’ Seri) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974. Penahanan dibuat genap 4 bulan selepas Sdra. Anwar mengambilalih jawatan Presiden ABIM daripada Ustaz Razali Nawawi. Turut mendekam di bawah ISA adalah Sdra. Omar Jaafar, Sdra. Idris Jauzi dan Sdra. Ramli Ibrahim.

Hal ini merupakan satu tindak balas pihak pemerintah terhadap demonstrasi Disember 1974 untuk membendung kemarahan anak muda, golongan mahasiswa serta kaum marhaen. Seramai 30,000 orang rakyat menyertai perhimpunan bersejarah itu sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani masalah penduduk luar bandar, kemiskinan, kenaikan harga baran serta kejatuhan harga getah.

Teks Ucapan Dasar pertama Sdra. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM Kedua yang ditulis dalam Kem Tahanan Kamunting, Perak pada tahun 1975; dibacakan oleh Almarhum Ustaz Fadzil selaku Pemangku Presiden ABIM dalam Muktamar Sanawi ABIM ketika itu.

Oleh kerana ramai pimpinan ABIM dan PKPIM yang dipenjara, maka Presiden ABIM Pertama, Ustaz Razali Nawawi yang asalnya mengundurkan diri untuk melanjutkan PhD di United Kingdom, menangguhkan pengajiannya dan memegang jawatan Pengerusi Biro Dakwah ABIM Pusat.

Ustaz Fadzil turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974, dan terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Bersama Ustaz Siddiq Fadzil, Ustaz Ghani Shamsuddin, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Ahmad Awang dan Almarhum Syeikh Niamat Yusuf (Yang Dipertua ABIM Kedah yang pertama), beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan ABIM di seluruh negara.

Ustaz Fadzil Noor memangku jawatan Presiden ABIM dari 3hb DIsember 1974 hingga Oktober 1976.

Anak sulung daripada empat adik-beradik, Ustaz Fadzil menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar. Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di sekolah agama, Maktab Mahmud in Kedah. Pada tahun 1963, Fadzil menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar di Mesir, dan lulus dalam pengajian Undang-undang Syariah.

Sekembalinya ke Malaysia, Ustaz Fadzil mengajar di Maktab Mahmud dan kemudiannya menjadi pensyarah pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (1973 hingga 1978).

Beliau bagaimanapun, dipecat daripada universiti itu kerana pembabitannya dalam kegiatan politik dengan mewakili PAS bertanding kerusi DUN Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah pada 1977. Bagaimanapun, mahkamah membuat keputusan bahawa pemecatan beliau tidak sah dan berikutan itu, beliau diterima semula bertugas di UTM. Mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi.

Kerajaan campuran Perikatan-PAS terbentuk pada 1hb Januari 1973 selepas pertemuan antara Dato’ Asri Muda (Yang Dipertua Agong/Presiden PAS) dan Tun Abdul Razak pada 28hb Disember 1972.

Namun, setelah beberapa siri pergeseran dan perbalahan dengan UMNO termasuklah membabitkan pengagihan kerusi yang tidak adil serta pencalonan Menteri Besar Kelantan, akhirnya, PAS mengambil keputusan yang parti itu memang sudah dipecat daripada Barisan Nasional (asalnya Perikatan-PAS) pada 13hb Disember 1977 dan tidak perlu menunggu sehingga 17hb Disember 1977, iaitu tempoh akhir yang diberikan oleh UMNO dan BN. Maka tersingkirlah PAS daripada BN dan menjadikan parti sebagai parti pembangkang semula.

Hal yang demikian, Ustaz Fadzil Noor dan pimpinan ABIM yang lain menerima persetujuan dan dorongan ABIM untuk aktif di dalam parti PAS supaya dapat memperbetulkan sesetengah pandangan dan gerak kerja PAS, selain memperbaiki persepsi umum terhadap PAS yang dilihat pro kepada UMNO sepanjang bersama Perikatan/BN. Penyertaan tokoh-tokoh anak muda dengan imej Islamik serta pemikiran progresif daripada ABIM nyata memberi nafas baru kepada parti PAS.  

Ustaz Fadzil Noor mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30hb Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Penubuhan Universiti Islam di Malaysia

Idea penubuhan universiti Islam di Malaysia mulai digerakkan melalui penubuhan Kolej Islam Malaya pada 1955. Berdirinya Kolej Islam Malaya menjadi batu tanda awal ke arah gerakan intelektual Muslim menubuhkan sebuah universiti Islam di negara kita. Gagasan ini kemudian dikembangkan melalui peranan Profesor Ungku Omar Ahmad (Almarhum), Pengerusi Majlis Kolej Islam Malaya.

Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Konsep Universiti Islam di Malaysia” dalam ‘Seminar in Islamic Organization’ pada Ogos 1967 di Kolej Islam Malaya. Dalam ucapan terakhir Prof Ungku Omar pada tahun 1968 kepada pelajar Kolej Islam Malaya, beliau mengemukakan hasrat bagi melihat Kolej Islam Malaya dinaik taraf sebagai sebuah universiti Islam, dengan mengambil model kurikulum Universiti al-Azhar di Mesir dan Universiti Aligarh, India.

Hasrat murni dan impian besar Prof Ungku Omar tidak dapat dilaksanakan apabila beliau meninggal secara mengejut pada keesokan akibat serangan jantung. Perjuangan itu kemudian berhenti seketika sebelum disambung para mahasiswa Islam dan para siswazah Kolej Islam Malaya.

PKPIM tidak terkecuali dan memainkan peranan aktif dalam perjuangan menubuhkan universiti Islam Penglibatan, di mana gerakan PKPIM secara aktif dimulai pada 1968. PKPIM di bawah teraju Presiden, Tuan Ismail Daud bersama angkatan generasi ketika itu, Sdra. Anwar Ibrahim, Sdra. Wan Ismail Wan Ibrahim, Dr. Mohd Nur Manuty, dan Sdra. Nik Mustafa Shafie telah menganjurkan ‘Kongres Kemajuan Islam Malaysia’ bertempat di Dewan Canselor Universiti Malaya.

Kongres selama empat hari itu telah menghimpunkan hampir 3,000 ribu agamawan seluruh negara diadakan bagi mencari solusi terkait dengan idea-idea kemajuan umat Islam Antara resolusi penting kongres tersebut adalah gesaan kepada pihak pemerintah agar penubuhan universiti Islam di Malaysia segera dilaksanakan.

Kemuncak kepada sejarah perjuangan universiti Islam adalah melalui langkah PKPIM yang dipimpin Sdra. Anwar Ibrahim selaku Presiden menganjurkan Kongres Universiti Islam pada 3-7hb Ogos 1971 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kongres membuat suatu penegasan ke arah usaha penubuhan Universiti Islam sebagai antara resolusi penting selaian daripada penubuhan ABIM.

Pada 27hb Jun 1961, PKPIM lahir dengan matlamat yang sederhana, namun berkembang menjelang tahun-tahun 1970an – dengan kematangannya – PKPIM menegakkan idealismenya ‘memperjuangkan cita-cita Islamiah’. Pada tahun-tahun 1970an – aktivis PKPIM bertindak sebagai elemen yang sedar daripada masyarakat – hati nurani masyarakat – conscience of the majority – a catchy phrase, sarat dengan makna dan nilai dan kita adalah pewaris kata dan makna itu. Di antara aksi-aksinya sewaktu yang selalu dinukilkan itu adalah advokasi, penampilan isu semasa dan demonstrasi. Tetapi lebih penting lagi adalah dimensi ilmu dan kebudayaannya yang diperlihatkan melalui program seperti: Kongres Kemajuan Islam Malaysia dan Seminar Peradaban Islam.

Seminar Pendidikan Islam Malaysia 1968 anjuran badan gabungan PKPIM – di situlah diumumkan persetujuan kerajaan tentang penubuhan UKM oleh Menteri Pelajaran, Khir Johari (Khir Johari, Anwar Ibrahim dan Siddiq Fadzil berada di atas pentas yang sama).

ABIM adalah pelanjut perjuangan mahasiswa – bergerak dengan keanggotaan yang merakyat dan nasional – anggota melebar dan meratai seluruh Malaysia dan tidak bersifat lokal. ABIM adalah peloporan fenomena ‘rising tide of Islam’ – kebangkitan Islam – istilah yang memaknai kerana waktu itu belum lagi muncul istilah sahwah. Pertama kali, kata-kata ini lahir daripada perbualan Pak Natsir dan Sdra. Anwar Ibrahim di Jakarta. ABIM berjaya mempelopori ‘the rising tide of Islam’ di Malaysia.

Idealisme perjuangan PKPIM dan ABIM terkait universiti Islam juga dicernakan melalui perbincangan dalam usrah dan diskusi intelektual bersama Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau telah berjasa dan bertanggungjawab mengemukakan falsafah, konsep dan kurikulum melalui sepucuk surat kepada Sekretariat OIC di Jeddah pada 15hb Mei 1973.

Hasilnya, intipati surat dan kertas kerja Prof. Naquib telah dibahaskan dalam ‘1st World Conference on Muslim Education’ pada 1977 di Makkah al Mukaramah. Malaysia telah diwakili Profesor Kamal Hasan dan Dr. Mahathir Mohamed, Menteri Pendidikan ketika itu. Akhirnya, berkat usaha dan komitmen pembesar para pejuang, agamawan dan intelektual Muslim, pada 20hb Mei 1983 akhirnya tertubuhlah secara rasmi UIAM di kampus Kolej Islam Malaya.

Prof Naquib mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik dan menulis pelbagai judul buku dalam bidang falsafah, metafizik, sejarah, keusasteraan, seni, pendidikan dan peradaban. Dalam ABIM, beliau menjadi orang yang bertanggungjawab mengasaskan landasan dan hala tuju intelektualnya melalui siri Usrah, ceramah dan diskusi ilmu sedari awal hingga kemuncak gerakan ABIM dan PKPIM.

Beliaulah tokoh yang mengilhamkan logo ABIM dan mencetuskan idea penerbitan dan penamaan majalah Risalah ABIM. Majalah Risalah ABIM masih diterbitkan secara berkala (bercetak dan dalam talian) oleh pihak ABIM Pusat.

Keiltizaman DSAI (ketika itu Menteri Pendidikan dan Presiden UIAM) untuk melihat UIAM merealisasikan beberapa resolusi penting daripada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Pendidikan Islam di Makkah al-Mukarramah ialah dengan perlantikan Profesor Emeritus Dr Abdul Hamid Sulayman, Presiden IIIT, yang berpengkalan di Herndon, Virginia, Amerika Syarikat sebagai Rektor UIAM di antara tahun 1990 hingga tahun 2000.

UIAM di bawah kepimpinannya telah melaksanakan proses Islamisasi ilmu dengan penubuhan Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Sosial.

Selain itu, sewaktu DSAI menjadi Menteri Kewangan Malaysia, beliau telah memperuntukkan dana yang besar untuk pembangunan fizikal, akademik dan mahasiswa UIAM, sama ada tempatan dan antarabangsa.

Penglibatan beliau telah menjadikan UIAM sebagai salah sebuah universiti yang ternama di dunia Islam pada masa kini. Satu lagi sumbangan istimewa DSAI kepada UIAM, beliau telah membuka ruang yang luas kepada pegawai-pegawai kanan polis di seluruh negara untuk mengikuti kursus undang-undang di UIAM dengan pelepasan separuh gaji oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

DSAI turut berperanan penting menyokong idea Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menubuhkan sebuah institusi pemikiran Islam antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1994.

Institut yang dikenali dengan nama Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) mendapat autonominya yang tersendiri di bawah kepimpinan ilmiah Prof. Syed Naquib al-Attas yang sangat berwibawa serta ilmuwan-ilmuwan lain yang ternama dari dunia Islam.

Keiltizaman DSAI kepada ISTAC jelas dapat dilihat dari segi belanjawan, pembinaan bangunan ISTAC yang unik dari segi seni bina Islam serta perlantikan Profesor Syed Muhamad Naquib al-Attas sebagai Pemegang Kursi Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (r.h).

Kesimpulannya, banyak pihak terlibat dalam perjuangan penubuhan sebuah universiti Islam di Malaysia. Namun, sumbangan DSAI dalam perjuangan penubuhan universiti Islam jelas terbukti dalam sejarah pendidikan negara. Peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah sebagai pencetus, tetapi beliau telah memenuhi janjinya kepada DSAI yang menyertai UMNO bahawa pentadbirannya mempunyai iltizam dengan penubuhan UIAM.

Dari KBI ke Bank Islam

Koperasi Belia Islam (KBI) mempunyai sejarah panjang dan sumbangan tersendiri kepada sistem koperasi dan institusi kewangan Islam di Malaysia. KBI yang ditubuhkan oleh ABIM turut dicatat dalam buku “Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia from the Pre-Islamic Era Until 1983” sebagai sebuah institusi awal yang membangun dan menyumbang kepada muamalah Islamiyyah di Malaysia. Berkat doa, kegigihan dan usaha, KBI telah menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan yang berlandaskan Syariah. 

Terdahulu, aktiviti kewangan dan perbankan Islam telah bermula sejak 1963, melalui penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) yang mana selepas itu dikenali sebagai Lembaga Urusan Dan Tabung Haji (LUTH).

Namun, sebelum Bank Islam berjaya ditubuhkan di Malaysia, KBI telah memainkan peranan sebagai institusi yang menjalankan aktiviti kewangan Islam kepada masyarakat Islam seperti kemudahan pinjaman secara Islam.

Penubuhan KBI pada 31hb Mei 1977 merupakan strategi dakwah yang dijalankan oleh Biro Ekonomi ABIM untuk mendapatkan dana bagi keperluan para ahli dan aktiviti-aktiviti gerakan. Matlamat ABIM melalui koperasi adalah untuk melaksanakan sistem kewangan Islam dalam urus niaga perniagaan dan pengeluaran produk dengan mengikut syariah Islam.

Penglibatan ABIM menerusi KBI telah dapat membantu masyarakat Melayu dalam beberapa kemudahan, keperluan dan urus niaga yang bersifat ‘Islamic’ tanpa membabitkan bunga atau riba yang menjadi ciri utama urus niaga moden hari ini (Laporan Tahunan KBI 1982). Antaranya adalah menerusi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) yang mendapat perhatian ramai, termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Muslim.

Sepanjang operasinya, KBI telah menerima anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi bagi kategori ‘Koperasi Model’ pada tahun 1985 dan ‘Anugerah Kualiti’ pada 1993. 

Sejak awal penubuhannya pada era 1970an, ABIM mendesak kerajaan agar penubuhan Bank Islam disegerakan untuk membolehkan KBI menggunakan segala kemudahan yang bakal disediakan oleh Bank berkenaan. Hal ini menggambarkan bahawa KBI berjaya mendahului mana-mana institusi kewangan atau perdagangan di negara ini termasuklah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang ditubuhkan pada 11hb Mei 1983.

Pada April 1985, Kerajaan telah menganjurkan satu rombongan ke Pakistan dan negara-negara timur tengah untuk mengkaji perlaksanaan koperasi Islam di sana. Setelah membuat penelitian dan perbincangan dengan pihak koperasi Islam di Pakistan, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi menggubal penubuhan syarikat koperasi belandaskan Islam yang dipengerusikan oleh Sdra. Anwar Ibrahim. 

KBI telah membuka laluan kepada perkembangan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia seperti Bank Islam dan Sistem Perbankan Islam. Pada tahun 1987 Bank Islam telah ditubuhkan secara rasmi oleh kerajaan. Hal ini kerana timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam supaya tidak melibatkan diri dalam urusan riba dan muamalat yang haram dalam kehidupan seharian.

Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Ali bin Hj. Baharum merupakan antara pimpinan ABIM dan KBI yang terlibat secara langsung dalam Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), malah pernah menjadi Presidennya berkuatkuasa Oktober 2009 dan melepaskan jawatan tersebut pada Jun 2013. Ahli akademik terkemuka dan dihormati ini juga pernah menjadi Timbalan Presiden ANGKASA selama 16 tahun.

Selain Dr. Ali Baharum, antara pimpinan ABIM dan KBI yang terlibat dalam ANGKASA adalah Dato’ Hj. Md Hashim Hj. Yahya (Almarhum – Mantan Mufti Wilayah Persekutuan) dan Prof. Dr. Abdul Halim el-Muhammady (mantan Timbalan Presiden ABIM).

Yayasan Anda Akademik (YAA)

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Sdra. Anwar Ibrahim telah membuka sekolah swasta, Yayasan Anda Akademik (YAA) sekitar 1972 di Bangunan Sri Pantai Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur (bersebelahan UM), di mana beliau menjadi pengetuanya. Yayasan ini telah melahirkan ramai pemimpin dan tokoh akademik tanah air.

Sebagai rekod, sekitar 1973-1974, DSAI merupakan Tutor mata pelajaran Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pensyarah untuk subjek ini adalah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Semasa di Yayasan Anda Akademik, Sdra. Anwar menjadi Presiden ABIM dari tahun 1972-1982.

Pada zaman itu ramai yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi terutama kerana faktor kemiskinan. Yuran di YAA adalah minima dan ada yang belajar secara percuma. YAA meletakkan misi ‘Melahirkan Insan Akademis Yang Bertaqwa’. YAA bermula di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Bangunan UDA, Jalan Pantai (berhampiran UM). Di sana juga terletak pejabat ABIM-WAMY. Di bawahnya pula Kedai Makan Pak Amjal.

Pelajar datang dari pelbagai pelusuk negara. Ada yang menumpang rumah sanak saudara, ada yang dicarikan rumah atau bilik sewa. Kemudian YAA berjaya mendapatkan rumah flat PKNS di Kampung Kerinchi sebagai asrama.

Di samping menjalankan kelas untuk pelajar tingkatan 6 seperti sekolah harian kerajaan, pelajar-pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran Prinsip Islam dan bahasa Inggeris. Anwar juga mewajibkan buku-buku tertentu untuk dibaca oleh pelajar.

Selain itu YAA menerbitkan majalahnya sendiri seperti Diskusi dan Potensi. YAA juga memberi penekanan kepada keterampilan dan disiplin pelajar, di mana di sekolah inilah budaya pemakaian tudung dan mini scarf yang sangat asing di Malaysia ketika itu, disuburkan. Budaya pemakaian tudung melebar luas ke seluruh negara apabila rata-rata pelajar yang tamat pengajian di YAA mula memasuki kampus-kampus di seluruh Malaysia.

Meskipun dekad 1960an dan 1970an menyaksikan masyarakat kita dipengaruhi oleh pakaian ala Barat, cara pemakaian wanita Melayu-Islam di Malaysia mula berubah pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya. Hal ini kerana kemunculan gerakan-gerakan dakwah yang aktif di universiti, seperti ABIM. Sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti, ABIM dikenali kerana kelantangan serta keberanian para pimpinannya dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terbanyak. Slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ mendekatkan masyarakat kepada kefahaman serta penghayatan terhadap keindahan nilai-nilai Islam.

Ustazah Habibah Abdullah (Ketua HELWA ABIM Pertama – 1972-1973, 1975-1977) dan seterusnya wanita ABIM pertama memulakan amalan pemakaian tudung kepala 1970-an sebagai simbolik kebangkitan Islam di Malaysia. Beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan ABIM kerana beliau merupakan ketua wanita Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi sesi 1970-an. Selepas beberapa seminar dan pembentangan kertas kerja yang dianjurkan oleh PKPIM, maka akhirnya keputusan penubuhan ABIM diisytihar secara rasmi pada Muktamar PKPIM ke-10.

Beliau bersama barisan pimpinan PKPIM ketika itu bergabung dan menubuhkan ABIM kerana merasakan keperluan untuk meneruskan cita-cita PKPIM yang mahu melahirkan masyarakat yang memahami Islam sebagai satu cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah selepas tamat zaman pelajar.

Prof. Dr. Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua HELWA ABIM 1973-1974) menukilkan bahawa, “Saya masih ingat kenangan ketika mula-mula mempelopori pemakaian tudung kepala bersama beberapa orang rakan. Hasrat ini timbul setelah membaca Al-Quran. Semasa itu hasrat untuk mengamalkannya begitu mendalam. Bagaimanapun pada peringkat awal, kami mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya.”

Beliau menambah, “Kami banyak kali disindir dan digelar dengan bermacam-macam gelaran seperti ‘orang pakai dakwah’, ‘hantu bungkus’ dan sebagainya. Alhamdullilah, dalam hal ini kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan. Kini pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini.”

Prof. Dr. Khalijah merupakan wanita Melayu pertama meraih ijazah sarjana muda dalam bidang fizik dan sering digelar srikandi Melayu. Selain itu, beliau juga merupakan ahli profesional Muslim yang ingin memajukan umat Islam menerusi dakwah dan juga bidang keilmuan dan amat fokus dalam setiap yang dilakukan.

Sehingga tahun 1980, jumlah pelajar di YAA mencecah 13,000 org. Ada alumni YAA pernah menjadi Ketua Pengarah JPA, ada yang pernah menjadi KSU, ada yg menjadi pemimpin korporat, ada yang menjadi Menteri. Kader-kader yang dihasilkan oleh institusi inilah yang mengerakkan organisasi mahasiswa di kampus, gerakan belia dan organisasi sosial yang lain. Ada juga yang berjaya dalam pentadbiran, akademia dan ahli politik.

Rentetan sambutan luar biasa daripada mereka yang ingin mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (HSC) dan Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) secara persendirian mendorong YAA memperkenalkan program YAA Gaya Pos serta menerbitkan beberapa majalah popular iaitu Diskusi, Panji Masyarakat, Potensi selain buku rujukan pelajar.

Antara kejayaan program YAA Gaya Pos ialah membantu ratusan ribu pelajar di seluruh negara mendapat peluang belajar yang lebih baik dan menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan serta swasta.

Pengaruh YAA tersebar ke merata negeri dgn penubuhan antaranya Akademi Anda Ipoh, Akademi Anda Tapah, dan Institut Sofar di Perak, Institut An-Nur di Kelantan, Maktab Adabi di Pahang, Institut Berakan di Terengganu, Yayasan Masriyah di Pulau Pinang, Yayasan Budi di Kedah.

Para aktivis ABIM seperti Ustaz Dato’ Haji Muhammad Rivai Batubara (Almarhum), Cikgu Haji Ab Halim Ismail (Almarhum), Datuk Wira Haji Mohd Anuar Tahir, Prof. Dato’ Dr Redzuan Othman, Datuk Mohd Idris Jauzi, Sdra. Jamaluddin Mohyiddin, Dato’ Kamaruddin Mohd Nor, Tuan Haji Abdul Malik Kusnin, Dato’ Ruslan Kassim, Dr. Azilah Wahid, Sdra. Salikon Sarpin, Sdra. Alies Anor Abdul, Sdra. Muhammad Munawwar, Sdra. Syed Muhsin Syed Zaid, Sdra. Kamar Oniah, Sdra. Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Sdra. Ahmad Fadhil Alias, Sdra. Yasin B.S. Baboo, Sdra. Jamaluddin Nawi dan ramai lagi turut sama menggerakkan sekolah swasta dengan matlamat yang sama seperti Yayasan Anda, bagi membantu anak bangsa.

Keputusan Decisive: DSAI menyertai UMNO

Haji Subki Latif (Almarhum) dalam bukunya, “Siapa Ganti Asri” menamakan DSAI sebagai sosok yang akan mengambil teraju PAS daripada Datuk Mohd Asri Haji Muda (Almarhum). Akhbar The Straits Times Singapura pada 3hb September 1980 pula, pernah melaporkan ramalan yang mengatakan bahawa “Mr. Anwar would be the logical successor as there was no PAS leader of sufficient stature to rebuild the shattered party after its dismal performance in Kelantan state”.

Di samping itu, bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Chan Man Hen semasa persidangan wakil-wakil rakyat DAP, di mana Sdra. Anwar hadir sebagai pembentang kertas kerja pada Ogos 1980 juga meramalkan kemungkinan DSAI menjadi pemimpin PAS.

Setelah ditendang keluar oleh BN, PAS mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum (PRU) 1978. Pemimpin siasah Islam Indonesia mengirim surat kepada Dato’ Asri supaya menerima tokoh-tokoh ABIM yang sangat popular Ketika era itu. Pada tahun tersebut juga, mantan Perdana Menteri Indonesia, Pak Natsir datang ke Malaysia. Beliau menilai masa itu ‘PAS lesu darah’ maka perlu disuntik darah baru dan segar.

Atas keputusan Majlis Syura ABIM, beberapa pemimpin kanan ABIM menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Sesetengahnya menjadi pimpinan PAS. Antaranya ialah Ustaz Fadzil Noor sendiri, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz Ahmad Awang (Persatuan Ulama’ Malaysia), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Halim Arshad, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Muhamad Daud Iraqi, Syed Ibrahim Abdul Rahman, dan ramai lagi. Bekas Yang Dipertua ABIM Terengganu, Ustaz Haji Abdul Hadi Awang (kini Datuk Seri), juga menyertai PAS dan menjadi pemimpin parti tersebut tidak berapa lama kemudian.

Hampir kesemua meramalkan dan tidak sedikit yang mahukan DSAI mengambil alih pucuk pimpinan PAS. Kendati pun, dalam masa PAS menunggu kemasukan Presiden ABIM, DSAI ke dalam PAS, tiba-tiba DSAI menyertai UMNO.

Sementelahan, ramai yang bersependapat keputusan DSAI tidak menyertai PAS bukanlah sesuatu yang pelik, kerana beliau dianggap telah menghitung masa depan politik peribadinya sendiri, selain percaya bahawa beliau hanya mampu membawa idea-ideanya di dalam ABIM dan PKPIM untuk direalisasikan; apabila menyertai Kabinet sebagai Menteri. Kemunculan gelombang golongan ustaz (ulama’) untuk berkuasa, dan perletakan benteng Dewan Ulama PAS daripada tokoh-tokoh ABIM merupakan faktor-faktor yang dianggap telah difikirkan DSAI, bagi membentuk Kerajaan dan Pembangkang yang seimbang.

Pada 1982, DSAI menjelaskan, “Kalau kita hendak membuat sesuatu, adalah menjadi kenyataan yang kita perlukan kedudukan tertentu. Sekalipun kita mempunyai idea yang baik tetapi kerana kita tidak mempunyai kedudukan tertentu, sukar bagi kita untuk melaksanakan idea tersebut.”

Prof. Dr. Ismail Raji al-Faruqi (pengasas International Institute of Islamic Thought – IIIT), guru kepada DSAI selain Prof. Naquib al-Attas dan Pak Natsir, mempunyai peranan besar dalam kemasukan DSAI ke dalam UMNO. Gagasan Islamiyyat al-Ma’rifat (Islamisasi Ilmu – Islamization of Knowledge) yang direalisasikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kemudiannya, adalah bertunjangkan antaranya, sumbangan serta visi Almarhum Dr. Ismail Faruqi sendiri yang akrab dengan DSAI, ABIM dan PKPIM. Dr. Ismail Faruqi dan isteri, Dr. Lois Lamya Faruqi mati syahid dibunuh dengan kejam di rumah mereka di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 27hb Mei 1986.

Ustaz Siddiq Fadzil menyatakan bahawa, peristiwa tahun 1982 tersebut menyebabkan ABIM terpaksa melalui jalan getir dan pahit, mendepani berbagai kritikan dan pukulan dari berbagai pihak. ABIM ketika itu tetap berusaha untuk terus tampil sebagai gerakan ‘non-partisan’, meskipun memang diakui jalan itu tidak mudah, dan untuk bersetuju atau tidak bersetuju sewaktu era gagasan ‘Wawasan 2020-Masyarakat Madani’- Dr M-DSAI.

Namun, ABIM tetap berikhtiar membantu program yang positif untuk kemaslahatan umat, dan ini dilakukan dengan kesedaran dan keikhlasan. Kata Ustaz Siddiq Fadzil lagi, “…kita (ABIM) tidak meminta apa-apa, apa lagi ghanimah. Sebab itulah apabila kita tidak dapat apa-apa dan tidak diberi apa-apa, kita tidak marah apalagi mengamuk. Masa itu kita cuba realistik tetapi tetap dengan prinsip.”

Namun, sewaktu dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 8hb Februari 1999, DSAI mendedahkan bahawa beliau telah pun ‘mula jadi ahli UMNO tahun 1967, tetapi benar-benar aktif hanya pada 1982’. Sebagai rekod, ibu beliau, Che Yan binti Hussein (Almarhumah) merupakan wakil pemidato bagi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Bapanya ialah Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman (Almarhum) ialah bekas Ahli Parlimen UMNO bagi kawasan Seberang Tengah, Pulau Pinang (1958-1964) dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan.

Terdapat 40,000 ahli ABIM ketika DSAI mengumumkan keputusannya untuk menyertai UMNO. Tindakan mengejutnya itu menyebabkan ramai pendokong gerakan Islam menangis dan kecewa. Di saat itu, ribuan mata terpaksa mengalirkan airnya. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kerana sedih atas keputusan DSAI.

TASKI ABIM: Sebuah Sejarah Panjang dan Berliku

Pada tahun 1970-an termasuk pada tahun ABIM mula-mula menubuhkan TASKI, ABIM adalah gerakan Islam yang kuat mengkritik kerajaan hingga Presiden ABIM waktu itu, Sdr. Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akan tetapi, berbeza dengan PAS waktu itu mereka bergabung bersama UMNO dalam kerajaan Perikatan. Justeru, PAS dan ABIM adalah dua entiti berbeza kerana ideologi politik ABIM dan PAS sewaktu awal 1970-an ketika TASKI ditubuhkan secara nyata berbeza. Dakwaan mengatakan ABIM adalah PAS pada tahun 1970-an amat menyalahi fakta sejarah.

ABIM kuat mengkritik kerajaan waktu itu kerana kerajaan tidak membawa agenda Islam yang kemas dan tersusun walaupun PAS berada dalam kerajaan.

Pada tahun 1970, Sdra. Anwar Ibrahim (ketika itu Presiden PKPIM) telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bagi menuntut penubuhan sebuah universiti Islam di Malaysia. Hal ini adalah rentetan dan disusuli dengan pelbagai siri pertemuan dengan beberapa orang Menteri Pendidikan yang silih berganti. Namun, cadangan ini tetap ditolak dan hanya direalisasikan selepas Sdra. Anwar menyertai Kerajaan. 

Maka, ABIM tampil dengan pelbagai gagasan termasuk menerusi Memorandum Pelajaran 1974 yang diketuai Prof. Dr. Osman Bakar (Ketua Biro Pendidikan ABIM waktu itu) dan gagasan penubuhan Universiti Islam dan lain-lain yang dipelopori ABIM.

Pada tahun 1980-an ABIM dan PAS memasuki episod berbeza. PAS apabila dibuang UMNO telah menjadi pembangkang yang banyak mengkritik kerajaan kerana tidak Islamik sedangkan sebelum ini mereka sendiri menjadi kerajaan.

ABIM pula dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO / kerajaan mula menyusun agenda Islam secara kemas dan tersusun dalam kerajaan hingga berjaya mengarusperdanakan Islam sebagai agenda rasmi kerajaan.

Dasar penerapan nilai-nilai Islam tak hanya dilihat sebagai retorik, sebaliknya dizahirkan menerusi perlaksanaan dasar dan akta. Segala gagasan yang dibincangkan secara serius dalam siri Usrah, Tamrin serta Muktamar ABIM kemudiannya diangkat untuk dilaksanakan pada peringkat Persekutuan.

Maka idea gagasan besar ABIM berjaya dilaksanakan termasuk dengan penubuhan Universiti Islam, pengemaskinian subjek pendidikan Islam di sekolah, penubuhan koperasi Islam, penubuhan institusi kewangan Islam (patuh syariah), dan lain-lain.

Pada zaman inilah banyak idea dan kritikan ABIM yang disuarakan pada fasa sebelumnya diterima pakai dan diterjemah secara praktis. ABIM terlibat secara langsung merumuskan Falsafah Pendidikan Negara selain menggubal Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Sumbangan ABIM dalam penggubalan KBSM amat penting seperti yang dinyatakan oleh Prof. Wan Mohd Nor (dipertik dalam Mohd Nur Manuty 1989) yang Ketika itu bertugas di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan: “The present educational reform, the KBSM launched by the Ministry in 1987 reflects ABIM’s contribution to the nation.”

ABIM juga menganjurkan pelbagai siri kuliah serta seminar berkaitan Undang-Undang Syariah bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat berkenaan keindahan perundangan Islam sebenar. Selain menjemput pelbagai tokoh hebat seperti Tan Sri Ahmad Ibrahim (Almarhum), Presiden ABIM Pertama, Prof. Ustaz Dr. Razali Nawawi sendiri turut mengisi siri penerangan tersebut. Prof. Razali Nawawi, pengasas sistem Usrah di Malaysia, pernah berkhidmat selaku Dekan Kuliah Undang-Undang di UIAM, malah mempunyai sebuah perpusatakaan di universiti tersebut yang dinamakan sempena namanya.  

Fakta Sebenar TASKI ABIM: Kembali ke Akar

Tadika/Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI) terbina daripada keringat petugas dan aktivis ABIM sejak tahun 1970an lagi. Tanpa menghampakan keperluan intitusi pendidikan awal kanak-kanak yang Islamik, ABIM mencorak langkah menyediakan TASKI sebagai pilihan umat, sebagai alternatif dalam sistem pendidikan prasekolah yang ada.

Banyak ranjau, onak berduri dan cabaran bagi merealisasikan keberadaan TASKI di tengah-tengah masyarakat yang dahagakan pendidikan Islam. TASKI bangkit dengan dokongan umat dan rakyat dari Perlis sampailah ke Sabah dan Sarawak.

Inisiatif TASKI ABIM kali pertama disebut dan dijelmakan dalam memorandum ABIM kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 1974 atas kebimbangan masyarakat Muslim tentang kebanjiran tadika asing yang beroperasi di sekolah misionari Kristian dan di gereja.

ABIM memohon supaya pihak kerajaan menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara agar selaras dengan matlamat pendidikan negara. Memorandum ini diserahkan kepada YB Menteri Pendidikan pada masa itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden ABIM pada waktu itu adalah Sdra. Anwar Ibrahim. Pada waktu itu, PAS adalah sebahagian daripada komponen kerajaan persekutuan dengan UMNO.

Tanpa menunggu tindakan kerajaan, ABIM terus memberikan solusi kepada umat Islam di Malaysia dengan memulakan model tadika Islam secara rintis pada 1975, dan seterusnya dikembangkan pada 1979 ke seluruh negara dengan jenama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ABIM (TASKI).

Berdasarkan memorandum pelajaran 1974 yang diserahkan ABIM kepada KPM, ABIM berasa bertanggungjawab untuk memberikan alternatif kepada pendidikan prasekolah yang sedia ada di Malaysia. Selain institusi prasekolah yang digerakkan oleh misionari kristian dan berorientasikan inggeris, kerajaan ada mengelolakan institusi yang dinamakan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS pada 1970.

Namun, tiada institusi pendidikan prasekolah yang bernuansakan pendidikan Islam dan bersepadu sehinggalah ABIM memulakannya pada 1975.

Maka, pada 1975, ABIM telah memulakan inisiatif tadika Islam secara rintis di Melaka, Selangor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan di seluruh negara secara rasmi pada 1979. Ustaz Ni’amat Yusuf, pengasas dan pencetus idea penubuhan TASKI ketika itu berpendapat, “Saya yakin pendidikan sekular tidak akan sampai ke mana dan tidak dapat menyelesaikan masalah ummah”.

Sesungguhnya, kesedaran untuk menubuhkan institusi pendidikan prasekolah berteraskan Islam timbul sejak awal penubuhan ABIM lagi, iaitu pada 1971.

Justeru, lebih tepat jika dikatakan bahawa asas kewujudan ABIM sendiri adalah untuk terus mengadvokasikan cara hidup Islami dalam masyarakat melalui pelbagai sektor kehidupan, termasuk sektor pendidikan.

Maka, merealisasikan model institusi pendidikan alternatif berwajah Islamik merupakan asas tanggungjawab kewujudan ABIM sendiri. Bagi ABIM, bercakap soal pendidikan merupakan ‘our deepest conviction’ dalam melakukan perubahan pembaikan dalam masyarakat.

Penubuhan TASKI ABIM bermula sejak tahun 1975. Laporan Muktamar kelima ABIM menyatakan pentingnya penubuhan kelas-kelas Tadika bercorak Islam. Selepas itu beberapa seminar, bengkel dan diskusi diadakan untuk membincangkan penubuhan TASKI sehinggalah ia menjadi realiti.

Memorandum Pelajaran 1974 yang dikemukakan oleh ABIM kepada Kementerian Pelajaran antara lain memohon pihak kementerian supaya mengawasi perjalanan tadika-tadika yang dianjurkan oleh badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan asing negara ini, untuk mengelakkan kanak-kanak Malaysia terpengaruh dengan kefahaman dan kebudayaan asing.

Pihak kementerian perlu menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara, bagi menjamin perkembangan sihat tadika-tadika berkenaan, selaras dengan matlamat pendidikan negara (25 Tahun ABIM, 1996).

Kebimbangan ini berasas terutama dari masyarakat Cina dan India yang tinggal di bandar manakala ibubapa tidak berniat menghantar anak mereka ke kelas prasekolah dikelolakan oleh pihak Kristian (kindergarten). Dengan perkembangan ini timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam tentang perlunya pendidikan Islam kepada kanak-kanak terutama ibu bapa yang bekerja.

Kesan daripada meningkatnya kesedaran mengenai kepentingan pendidikan Islam kepada kanak-kanak, ABIM negeri Kedah mengambil inisiatif menganjurkan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI), yang mula diperkenalkan di beberapa kawasan di Kedah pada tahun 1975, mengikut kurikulum percubaan yang berasaskan falsafah pendidikan Islam.

Idea ini dicetuskan oleh Ustaz Ni’amat Yusoff (Almarhum), Yang Dipertua ABIM Negeri Kedah Pertama pada tahun 1972 -1977 dan tahun 1979-1982. Beliau telah meminta Ustaz Ghazali Abdullah untuk merangka silibus bagi TASKI. Pendidikan prasekolah merupakan peringkat yang paling sesuai untuk menanam nilai-nilai murni Islam secara formal, kanak-kanak memerlukan rangsangan dan bimbingan untuk melengkapkan diri sebagai anggota masyarakat yang Islami (Mahyuddin, 2004:11).

Syeikh Ni’amat Yusoff juga terlibat dalam merangka kurikulum pendidikan Islam, iaitu untuk menggabungjalinkan antara pengajian Islam, ilmu Sains dan Tahfiz Al-Quran. Hasil dari perancangan inilah lahirnya Darul Quran di Kuala Kubu Baru, Selangor Darul Ehsan.

Syeikh Ni’amat Yusoff, Tokoh Ummat yang Berjasa

Menurut Wan Jefree, Ustaz Ni’amat bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain seperti Ustaz Ghazali Abdullah mula merangka kurikulum kursus perguruan TASKI sejak tahun 1978 lagi. Kempen untuk mendapatkan calon-calon guru TASKI untuk diberi latihan, telah dijalankan oleh ABIM, khususnya Ustaz Ni’amat sendiri dengan kerjasama dan sokongan kuat daripada PPINK.

Pada tahun 1979, kursus perguruan TASKI yang pertama telah diadakan di Madrasah Makarimul Akhlaq, Langgar, Kedah selama lapan bulan. Jumlah peserta ialah seramai enam belas orang. Hampir keseluruhan peserta kursus terdiri daripada Ahli Helwa (Hal Ehwal Wanita) PPINK.

Di antara para peserta itu ialah Anisah Bt Abdul Abdul Samad, Mariam Bt Yaacob, Fatimah Bt Yahya, Siti Aisyah Bt Adam, Munirah Bt Saad, Zaleha Bt Dahaman dan lain-lain lagi. Tenaga pengajar yang terlibat dalam kursus ini ialah:

1. Ustaz Ni’amat Bin Yusoff.

2. Ustaz Abu Bakar Bin Awang.

3. Ustaz Ghazali Bin Abdullah.

4. Cikgu Haji Ibrahim Bin Haji Yaacob

5. Ustazah Sabariah

6. Cikgu Harun Bin Haji Zakaria.

7. Syeikh Azmi Bin Ahmad

8. Ustaz Muhammad Bin Abdullah (Pak Long)

Tenaga lain yang terlibat dalam pengurusan kursus ini ialah:

1. Wan Jaffree Bin Wan Sulaiman (Kebajikan).

2. Fuad Bin Jahi Zakaria (Penyelenggaraan).

3. Abdul Razak Bin Haji Hashim (Setiausaha).

4. Wan Norzalelawati Bt Wan Yaacob (Perhubungan).

Pada tahun 1980, beberapa buah TASKI perintis telah dibuka di tempat-tempat berikut :

1. Madrasah Makarimul Akhlaq, Langgar, Kedah.

2. Masjid Batu Hampar, Pendang, Kedah.

3. Masjid Sungai Durian, Pokok Sena, Kedah.

4. Masjid Kedawang, Langkawi, Kedah.

5. Madrasah Alor Melong, Lorong Seri, Alor Setar, Kedah.

6. Masjid Bukit Aping, Serdang, Kedah.

Di antara guru-guru yang terlibat dalam TASKI-TASKI perintis ini ialah Anisah Abdul Samad, Siti Aishah Adam, Adawiyah Othman, Zaleha Dahaman, Mariam Yaacob, Munirah Saad dan beberapa orang lagi. Kurikulum TASKI Kedah dirangka secara rasmi pada tahun 1982. Ustaz Ghazali Abdullah telah diberi tanggungjawab memantau perjalanan TASKI-TASKI ini (Wan Jefree, 2004).

Pada tahun 1981 sebuah jawatankuasa Tetap kurikulum TASKI ditubuhkan oleh Biro Pendidikan yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Nur Manuty (1981-1983), untuk menggubal dan menyusun kurikulum TASKI. Jawatankuasa ini dipengerusi oleh Haji Muhammad bin Kasim, ahli-ahlinya adalah Dr. Sidek bin Baba, Wan A. Hamid Wan Teh, Ustaz Ni’amat Yusuf, Dr. Ghazali Basri, Ustaz Ghazali Abdullah, Prof. Dr. Khalijah bt. Salleh, Dr. Hasbullah bin Hussein, Dr. Musa bin Matrak dan Ustaz Dr. Abdul Halim el-Muhammady.

Jawatankuasa ini mendapat khidmat nasihat daripada Dr. Tajul Ariffin bin Nordin dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Haji Ahmad bin Mohammad Said dari Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (Mahyuddin, 2004:11).

Draf pertama kurikulum TASKI dilancarkan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat pada tahun 1982 di Kolej Islam Kelang, Selangor. Kurikulum ini mengandungi tujuan dan objektif pendidikan TASKI, sukatan pelajaran, kaedah pelaksaan, penilaian dan pengukuran dan lain-lain. Antara TASKI terawal ditubuhkan pada peringkat ini ialah TASKI al-Huda, Peringgit, Melaka ditubuhkan pada Januari 1979, TASKI Teras Jernang, Bangi, Selangor dan TASKI Masjid Batu Hampar, Pendang, Kedah (Abdul Rahman, 1996,97).

Pada tahun 1983, TASKI mula ditubuhkan di negeri-negeri seluruh negara dan bilangannya meningkat kepada 69 buah di Malaysia. Bilangan TASKI terus meningkat setiap tahun sehingga mencapai jumlah 358 buah TASKI pada tahun 2002. Guru-guru ini mendapat latihan intensif daripada Institut Latihan Perguruan ABIM (ILPA), Pusat Latihan ABIM, (kini Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Kemudian, kursus ini dikendalikan oleh Yayasan Takmir Pendidikan).

Kursus ini meningkatkan kemahiran mengajar dalam bidang tertentu juga diadakan di negeri-negeri yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan ABIM negeri dengan YTP negeri. Mulai tahun 2001, kursus perguruan TASKI dikendalikan oleh Yayasan Takmir dengan kerjasama Kolej Dar al-Hikmah, Kajang (Mahyuddin, 2004).

Menurut Ustaz Mahyuddin Ashaari, TASKI ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli ABIM dan masyarakat terutama di kawasan bandar. Hal ini kerana ia berteraskan kurikulum yang bersepadu dan menyemaikan nilai-nilai Islam dalam kehidupan kanak-kanak. Namun, TASKI tidak dapat berkembang di kawasan kampung dan pedalaman kerana kekurangan guru terlatih dan kewangan (Mahyuddin, 2004).

Kini TASKI dipantau oleh Yayasan Takmir Pendidikan di bawah unit TASKI bagi memastikan mutu dan kualiti terpelihara. Pihak YTP mengadakan bengkel secara berkala untuk melatih guru-guru agar memahami falsafah dan konsep pendidikan TASKI.

Di samping itu, terdapat TASKI yang didirikan oleh ahli ABIM yang dikategorikan sebagai Rakan TASKI dengan menggunakan kurikulum sepenuh dari TASKI ABIM. Kini terdapat 250 buah TASKI di seluruh negara dengan jumlah murid sebanyak 8720 orang, 555 guru dan 76 staf.

TASKI kemudiannya turut berkembang kepada Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI), Sekolah Menengah Islam ABIM (SEMI), Tahfiz ABIM dan lain-lain di seluruh negara. SERI yang pertama dibina pada tahun 1989, manakala SEMI ditubuhkan pada 1995. Pada 1989, ABIM menubuhkan Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) yang kemudiannya dikenali sebagai Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di Kajang.

Nama Almarhum Ustaz Niamat Yusuff terpahat dalam sejarah sebagai insan paling berjasa di dalam penubuhan TASKI ABIM. Beliau yang juga pengasas Maahad Derang di Kedah yang sangat sinonim dengan sejarah panjang ABIM, kemudiannya menyertai PAS dan menjawat beberapa jawatan penting seperti Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena. Beliau juga bertanding atas tiket PAS sewaktu PRU 1999.

Almarhum Ustaz Ni’amat yang juga Tokoh Maal Hijrah Negeri Kedah 1989 bersama tokoh-tokoh lain ABIM istiqamah melaksanakan tanggungjawab melengkapkan amanah daripada Majlis Syura ABIM untuk memperkuat PAS ketika itu. Nama Ustaz Ghazali Abdullah juga tercatat dalam sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab merangka silibus TASKI pada peringkat awal penubuhannya bersama para aktivis ABIM ketika itu.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM, Ustaz Ni’amat dan sahabat karibnya, Ustaz Fadzil Noor berkesempatan bertemu denga tokoh ulama’ terkemuka di dunia seperti Maulana Abul Hasan Ali al-Nadwi yang meletakkan batu asas penubuhan Maahad Tarbiyah Ismaiah, Dehrang, Kedah; Mustafa Mashor, Omar Tilmisani, AbuHamid Sulayman, Almarhum Syeikh Yasir Padang, Dr. As-Said Ahmad Ali Alwi al Malik, Said Ramadhan al-Buti, Dr. Yusuf Qaradhawi dan ramai lagi.

Sejarah TASKI ABIM dan PASTI

Sesungguhnya, ABIM adalah pelopor pendidikan Prasekolah atas jenama TASKI. Sejak 1979, ramai ahli ABIM menubuhkan TASKI di banyak daerah seluruh negara. ABIM ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sejak 1971 dan keahlian terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar politik. Secara umumnya, memang ada aktivis ABIM yang terlibat sebagai ahli dan aktivis di pelbagai parti politik khususnya di dalam UMNO dan PAS.

Untuk memahami latar pengkisahannya, pada 1974, ketika PAS bergabung dengan UMNO, ramai dalam kalangan ahli PAS berasa tidak berpuas hati dan telah bergiat sebagai aktivis ABIM. ABIM dianggap sebagai pertubuhan yang begitu lantang dalam menyuarakan pandangan Islamnya, yang mana gagal dilakukan PAS ketika dalam kerajaan. Malah, PAS pada ketika itu, lebih bersifat nasionalis berbanding Islamis.

ABIM mengambil tempat PAS sebagai kumpulan pendesak kepada kerajaan atas isu-isu melibatkan umat Islam. Dianggarkan sekitar lapan ribu ahli PAS menyertai ABIM sekitar tahun 1974. Walau bagaimanapun, tidaklah sampai boleh mendakwa sebahagian besar ahli ABIM menyokong PAS.

Pada ketika PAS mengalami peristiwa dikeluarkan daripada parti pemerintah pada 1977 ekoran pergolakan dalaman PAS sendiri, PAS amat memerlukan blood transfusion, iaitu pada era Presidennya Dato’ Asri Muda meletakkan jawatan.

ABIM membuat keputusan untuk menghantar tokoh pimpinan utama ABIM seperti Timbalan Presidennya, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang (Yang DiPertua Terengganu), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz Ahamd Awang dan Ustaz Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) ke dalam PAS dan seterusnya telah mencetuskan semula pengaruh ulama’ dalam kepimpinan PAS pada 1978.

Dengan kemasukan ulama’ muda ABIM ini, fikrah perjuangan PAS berubah kepada perjuangan bernuansa gerakan Islam. Kebanyakan daripada mereka dan ahli PAS berkeyakinan bahawa Presiden ABIM, Sdra. Anwar Ibrahim akan turut menyusul menyertai PAS.

Namun setelah Anwar Ibrahim memasuki UMNO pada 1982, maka ahli ABIM yang pro PAS dan ahli ABIM yang bekas ahli PAS pasca 1977, meninggalkan pula ABIM untuk menyertai PAS semula. Antara kesannya, kawasan yang mana pengaruh PAS sangat kuat, khususnya di negeri Terengganu dan kawasan luar bandar dan pedalaman, institusi TASKI yang digerakkan ahli ABIM yang juga ahli PAS secara beransur-ansur mula mengasosiasikan diri sebagai tadika Islam PAS sebagai tanda protes kepada keputusan Sdra. Anwar Ibrahim menyertai UMNO.

Proses perbincangan dan penerangan berlaku di lapangan. Namun, amat sukar untuk mendapatkan persefahaman dengan mereka yang kita faham emosi dan psiki sebagai ahli ABIM, pada masa sama juga pengusaha TASKI, yang mana juga bekas ahli PAS yang sertai ABIM ekoran peristiwa 1977, kemudiannya menyertai semula PAS disebabkan marah dengan keputusan Sdra. Anwar menyertai UMNO, dan ditambah pula dengan UMNO yang pada waktu itu dilabel sebagai ‘kafir’.

Pihak berkenaan sangat keras dengan menuduh ABIM menjadi pengikut UMNO sedangkan mereka juga maklum terdapat beza besar di antara pergerakan parti politik UMNO dan PAS, dengan pergerakan NGO seperti ABIM. Pada waktu itu, tindakan Sdra. Anwar dikeji PAS dengan gelaran seperti ‘masuk tong tahi’, ‘UMNO kafir’ dan lain-lain lagi. Malah, ada fatwa yang amat terkenal yang dikenali sebagai ‘Amanat Hj Hadi’ yang dipegang oleh PAS pada waktu itu.

Maka, pada 1985, Biro Pendidikan ABIM mengambil keputusan untuk mengeluarkan TASKI Terengganu daripada pengurusan TASKI kebangsaan, kecuali beberapa TASKI di bawah pengurusan Cikgu Harun.

Semua TASKI, termasuk di Terengganu, dari awal penubuhan lagi, adalah bersama-sama pengurusan TASKI kebangsaan, termasuk latihan guru, penggunaan buku teks dan kurikulum. Namun, setelah 1985, TASKI tersebut diuruskan sendiri oleh Pemuda PAS, di bawah pimpinan Zakaria Dagang, namun mereka masih mengekalkan jenama TASKI ABIM, termasuk kurikulum dan buku teks yang sama.

Ini merupakan sejarah pahit dan gelap yang mahu kita lupakan tetapi tidak luput dari memori luka sepanjang penubuhan TASKI. Akhirnya, PAS menubuhkan secara rasmi institusi pendidikan prasekolah mereka dengan jenama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada 1988, yang mana Pengerusi pertama PASTI Malaysia, Abu Bakar Chik (Almarhum) juga adalah Setiausaha ABIM Terengganu, pengetua Institut Berakan, Terengganu (yang juga institusi pendidikan ABIM) yang menyertai PAS pada 1981.

Sehingga hari ini, sukatan TASKI ABIM banyak digunapakai oleh pengusaha-pengusaha pra sekolah di seluruh Malaysia. Institusi pendidikan prasekolah Islam milik PAS, iaitu PASTI diwujudkan pada 1988, manakala institusi prasekolah KPM hanya diwujudkan pada 1992. Seterusnya, kita melihat pelbagai institusi pendidikan prasekolah Islami muncul dalam pelbagai jenama sehingga ke hari ini.

Hubungan PAS & ABIM pasca 1980an

ABIM sentiasa mendapat nasihat dari bekas pimpinan ABIM yang memimpin PAS khususnya Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Ghani Shamsuddin dan Ustaz Ahmad Awang. ABIM sentiasa menghargai PAS sebagai gerakan dan parti politik Islam yang ada peranan besar waktu itu. Maka dalam Majlis Syura ABIM telah diputuskan bahawa ABIM bertanggungjawab untuk memperkuatkan PAS yang ditendang daripada Perikatan/Barisan Nasional. Maka Almarhum Ustaz Fadzil Noor telah diputuskan dalam Syura ABIM untuk sertai PAS secara rasmi.

Selain itu, hubungan antara bekas pimpinan ABIM tetap terjalin mesra di luar lingkungan politik. Ini dibuktikan dengan hubungan erat Almarhum Ustaz Fadzil Noor (ketika itu Presiden PAS) yang tetap menjaga ukhwah persaudaraan dan persahabatan dengan DSAI dan Ustaz Siddiq Fadzil, meskipun berbeza wadah.

Ustaz Fadzil Noor, yang pernah memangku jawatan Presiden ABIM ketika Anwar mendekam di bawah ISA kerana Demonstrasi Isu Kemiskinan di Baling, adalah antara ikon ABIM yang tegas berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan.

Sambutan 25 Tahun Penubuhan ABIM pada 1996, Gerakan Reformasi, Syarahan Perdana Palestin dan sebagainya adalah bukti jelas bahawa agenda ABIM untuk membina masyarakat madani, yang mampu berfikiran rasional, meski berbeza ideologi politik.

Sama ada ABIM atau pun PAS masing-masing punyai peranan besar dalam masyarakat. Namun perbahasan mengenai peranan masing-masing harus adil berasaskan sejarah yang tepat dan benar.

Sambutan 25 Tahun ABIM & Reformasi

Pada tahun 1996, Ustaz Fadzil turut menghadiri sambutan 25 Tahun Jubli Perak ABIM di Kedah. Turut hadir dalam majlis ini adalah mantan pimpinan ABIM seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Prof. Ustaz Dr. Razali Nawawi, USF dan Tan Sri Sanusi Junid. Ustaz Fadzil yang menjalin hubungan ikrab dengan DSAI sejak era 1970an, tidak kekok bersalaman dan berbual mesra dengan DSAI, meskipun ketika itu berada dalam jalur parti politik yang berbeza.

Maka tidak hairanlah ketika era Reformasi, Ustaz Fadzil tetap teguh dengan keputusannya untuk bangkit bersama ABIM dan gelombang rakyat, meskipun ditentang oleh beberapa pihak. Sejurus selepas itu munculnya DSAI sebagai pelopor gerakan Reformasi bersama Deklarasi Permatang Pauh yang mempunyai visi ‘Lawan Tetap Lawan’ dan misi ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ sebagai agenda perjuangan untuk rakyat.

Ustaz Fadzil kemudiannya meneruskan agenda Reformasi setelah DSAI mendekam dalam tahanan polis dengan menubuhkan ‘GERAK’. Ternyata pilihan beliau paling tepat apabila memilih supaya bersama gelombang rakyat untuk bangkit.

Selain DSAI, antara pimpinan ABIM yang ditahan di bawah ISA adalah Presiden, Sdra. Haji Ahmad Azam Ab Rahman; Ustaz Moktar Redzuan (Timbalan Presiden – Almarhum); Cikgu Haji Ab Halim Ismail (Naib Presiden) dan Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden). Bekas pimpinan dan aktivis ABIM turut ditahan seperti Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Prof. Dr. Sidek Baba, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, Datuk Ruslan Kassim dan lain-lain.

Parti KeADILan telah ditubuhkan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 4hb April 1999, selepas pemecatan DSAI. Asalnya, ia bermula sebagai gabungan NGO seperti ABIM dan parti pembangkang yang digelar Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), sebelum diikuti oleh penubuhan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL).

HELWA ABIM Pusat ketika itu memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan moral kepada Dr. Wan Azizah dan keluarga selepas berlaku pemecatan DSAI daripada kabinet pada tahun 1998, juga keluarga termasuk pimpinan ABIM yang suaminya ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sewaktu itu, HELWA ABIM diketuai oleh Prof. Dr. Rahmah Hashim (dari 1995 hingga 1999), seorang lulusan PhD dari Ohio State University, Columbus, Amerika Syarikat.

Pada 1998, Ustaz Fadzil Noor dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 buah NGO seperti ABIM dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan DSAI.

Ustaz Fadzil adalah antara pengasas GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, DSAI sudah berada di dalam penjara. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27hb September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Kemudian, penggerak Reformasi telah mengambil alih Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990, sebelum dinamakan sebagai Partai KeADILan Nasional (KeADILan).

Ustaz Fadzil merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya).

Bersama arus Reformasi dan kebangkitan rakyat, PAS memegang majoriti kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan partai pembangkang. Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Sdra. Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Syarahan Perdana Palestin

Namun, atas nama kemanusiaan, pada 8hb Mei 2002, Ustaz Fadzil berkongsi pentas bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini Tun) dalam Syarahan Perdana Palestin anjuran ABIM dan DBP. Tun M telah dipertemukan dengan Ustaz Fadzil di atas pentas yang sama di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Pertemuan ini antara lain diusahakan oleh Sdra. Ahmad Azam Ab Rahman (Dato’ Haji), Presiden ABIM ketika itu bersama Cikgu Haji Abdul Halim Ismail (Almarhum – Timbalan Presiden) dan Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden ABIM). Meskipun mendapat bantahan ramai, Ustaz Fadzil tetap berucap di pentas tersebut demi Umat Islam Palestin, selain kerana ia dianjurkan oleh para sahabatnya daripada ABIM.

Perginya Kejora Sinar Zaman

Almarhum terkenal sebagai pemidato tersohor serta terlibat aktif dan jarang gagal turut serta dalam sesi perbahasan di Parlimen. Kewibawaannya sebagai Ketua Pembangkang dikagumi ramai. Sebagaimana visi murni Almarhum Tuan Guru Ustaz Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadzil juga menekankan keperluan menjaga keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia. Ini dizahirkan menerusi pelbagai usaha libat urus dan kerjasama dengan pemimpin daripada etnik serta pertubuhan berbeza.

“…Kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!” – Diucap oleh Almarhum Ustaz Fadzil ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.

Ustaz Fadzil meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada jam 10:30 pagi pada 23hb Jun 2002. Ketika pengebumiannya, kesesakan berlaku sejauh 20km menuju ke di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. Dilaporkan lebih 200,000 orang berpusu-pusu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada murabbi umat ini.

Almarhum sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Islam dan kebajikan rakyat, Ustaz Fadzil Noor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau.

Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan disegani oleh lawan. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.

InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun. Semoga Syurga buat Almarhum Ustaz Fadzil. Amiin.

#ABIMdiHatiku

Rujukan:

Ab Ghani, S. R., Omar, R., Mat Enh, A., & Kamaruddin, R. (2018). Perjuangan Dakwah Gerakan Islam ABIM di Malaysia 1957-2000: Struggle of Da’wa By ABIM In Malaysia 1971-2000. Al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies, 13(2), 14–39. 

Abdul Rahman Haji Abdullah. 1998. Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ab. Mu’min Abd. Ghani. 1999. Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur. JAKIM.

Arkib Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Gombak.

Ahmad Azam Abdul Rahman. 1996. Manhaj Maliziy dan Al-Wa’yul Islam. dalam Angkatan Belia Islam Malaysia 1971-1996. Petaling Jaya: Blue-T.

Ahmad Azam Abdul Rahman. 2007. Presiden ABIM ke- 5. Wacana Intelektual.

Anwar Ibrahim. 1976. Ucapan Dasar Presiden: Wahdatul Fikr: Penyatuan Pemikiran Dalam Gerakan Islam. Muktamar Sanawi ABIM Ke-6. Kolej Islam, Klang, 28-31 Julai.

Anwar Ibrahim. 1980. Ucapan Dasar Presiden: Pembangunan Dan Islam. Muktamar Sanawi ABIM Ke-9. Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya, Selangor, 28-31 Ogos.

Fauzi Chik. 2021. “Nostalgia Silam – Penubuhan Awal ABIM-Mesir” dalam Facebook.com pada 21 Februari 2021.

Juwairiyah Hassan. 2005. Pemikiran Dato Dr Siddiq Fadzil dalam Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Senawi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Latihan Ilmiah, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Akademi Islam, Universiti Malaya.

Koleksi Majalah Risalah ABIM (1971-2011).

Mahyuddin Ashaari. 2011. Pendidikan Alternatif (Bersepadu): Pengalaman dan Cabaran ABIM Dalam Pendidikan Formal Selama Dua Dekad. Yayasan Takmir Pendidikan.

Mohd Azhar Bahari & Ishak Saat. 2014. Angkatan Belia Islam Malaysia 1971-2004. Batu Pahat: UHTM Press.

Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif & Ruzian Markom. 2013. Peranan dan Kedudukan Majlis Penasihat Shariah untuk Memperkasakan Sistem Kewangan Islam di Malaysia. Jurnal Pengurusan 38: 127-132.

Mohd Rumaizuddin Ghazali. 1994. Ucapan Dasar Muktamar ABIM Mesir ke 4 “Penjanaan kekuatan Serantau LAnjakan Paradigma”. Kaherah: ABIM Mesir.

Mohd Rumaizuddin Ghazali. 1995. Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ke 5 ABIM Mesir: “Perkukuhkan wadah pertingkatkan tarbiyyat demi kelangsungan generasi muda”. Kaherah:ABIM Mesir.

Mohd Rumaizuddin Ghazali. 2019. Pendidikan Islam Dari Tradisional ke Moden. ABIM Press.

Muhammad Nur Manuty. 1988. Perception of Social Change in Contemporary Malaysia: A Critical Analysis of ABIM’s Role and Its Impact Among the Muslim Youth, Tesis Ph.D. Temple University.

Muhammad Syukri Salleh. 1999. Reformasi, Redikalisasi dan Kebangkitan Islam di Malaysia. dalam Pemikir April-Jun 2000. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Berhad.

Mustafa Dakian. 2005. Sistem Kewangan Islam: Instrumen, Mekanisme dan Pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors.

Nor Mohamed Yakcob. 1996. Teori, Amalan dan Prospek Sistem Kewangan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Pusat Sumber PKPIM, Taman Cemerlang, Gombak.

Rosnani Hashim (peny). 2020. Memugar Semula Tradisi Intelektual Di Alam Melayu. Gombak: IIUM Press.

Siddiq Fadhil. 1982. Ucapan Dasar Presiden: Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan. Muktamar Sanawi ABIM Ke-11. Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya, Selangor, 3-5 September.

Siddiq Fadzil. 1987. Gerakan Islam: Prinsip dan Cabaran. Kertas Kerja Seminar Pemikiran Islam Ke Arah Pemurnian Pemikiran Islam di Malaysia. AIUM. Kuala Lumpur pada 9 & 10 Januari. 1987.

Siddiq Fadzil & Muhammad Nur Manuty. 2003. Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM – Keprihatinan Umat dan Transformasi Sosial. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sobri Salamon. 1989. Ekonomi Islam: Pengenalan Sistem dan Kemungkinan. Petaling Jaya: Al-Rahmaniah.

Sudin Haron. 1996. Prinsip Dan Operasi Perbankan Islam. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn. Bhd.

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. 2003. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan. Jakarta: Pustaka al-Kautsar.

Syarifah Zaleha Syed Hassan. 1985. From Saints to Bureaucrats: A Study of the Development of Islam in the State of Kedah, Malaysia. Tesis Ph.D, Universiti Cornell.

Syed Naquib Al-Attas. 1978. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Yusuf Al Qaradawi. 1998. Peranan Nilai dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam. Kuala Lumpur. Angkatan Belia Islam Malaysia.

Zaharuddin Abd Rahman. 2012. Contracts & The Products of Islamic Banking, Kuala Lumpur. CERT Publication.

Zainal Abidin Hashim. 1997. Koperasi di Malaysia Asas dan Pergerakan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.