GPM Lancar Misi Kemanusiaan Ke Yaman

November 5, 2018
editor-media

Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada Yaman

SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri menyeru rakyat negara ini menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa peperangan di Yaman.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata langkah itu perlu bagi meringankan bebanan rakyat Yaman terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak yang kini menderita akibat pergolakan yang berlaku.

“Kita mohon rakyat Malaysia tampil ke depan untuk memberikan sumbangan dan bantuan, kita berharap dengan pertolongan daripada rakyat negara ini sedikit sebanyak akan membantu penduduk Yaman yang kini memerlukan bekalan makanan dan rawatan kesihatan.

“Selain itu, kita juga berharap sumbangan kewangan dapat dikumpulkan dalam tempoh terdekat bagi membantu rakyat di sana untuk membuat persediaan bagi menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Tabung Kemanusiaan Yaman’ di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Global Peace Mission (GPM) Malaysia Mohamad Raimi Ab Rahim dan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, Mohamad Raimi berkata GPM menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM1 juta dalam tempoh enam bulan akan datang untuk ‘Tabung Kemanusiaan Yaman’ tersebut.

“Pelancaran ‘Tabung Kemanusiaan Yaman’ yang dibuat dengan kerjasama GPM, Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

“Bantuan awal sebanyak RM100,000 akan dibawa dalam musim sejuk pada akhir November ini. Bantuan ini akan diagihkan dalam bentuk makanan, pendidikan, air bersih, kit musim sejuk, barangan bayi dan perubatan,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Global Peace Mission, Bank Islam (1402-30100-29224), Maybank Islamic (5642-2161-1602) dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871) dengan rujukan ‘YAMAN’. — Bernama

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR