Palestin dan Zaitun: Tanah dan Tanaman Yang Diberkati Allah Subhanahu wa-Ta’ala

November 3, 2021
editor@abim

Pokok berkat! Demikian gelaran yang diberi kepada pokok yang disebut sebanyak 7 kali di dalam Al-Quran.  5 daripadanya disebut bersama buah-buah lain dan dua lagi disebut secara bersendirian. 

Rakyat Palestin mempunyai kaitan yang kuat dengan pohon Zaitun. Selain sebagai simbol keagamaan dan kesuciannya, pohon Zaitun juga telah menjadi simbol kepatuhan dan keteguhan manusia terhadap tanah airnya serta turut menjadi simbol perjuangan rakyat Palestin.

Pohon Zaitun juga merupakan faktor penyatuan kembali rakyat Palestin yang telah berpecah-belah kerana penjajahan rejim Zionis Israel dan perbuatan kejam mereka terhadap rakyat Palestin.

Pelbagai kegunaan dan manfaat

Buah Zaitun kaya manfaat kerana mengandungi anti-oksidan. Minyak Zaitun merupakan minyak yang sihat dan mampu menurunkan kadar gula darah dalam tubuh. Zaitun juga dikatakan dapat mencegah osteoporosis.

Al-Qurtubi mengatakan bahwa, buah Zaitun memiliki banyak manfaat di antaranya dapat dijadikan minyak dengan cara memeras buahnya. Kemudian minyak ini boleh digunakan sebagai lauk-pauk, minyak sapu dan juga bahan bakar.

Qurtubi juga menjelaskan bahawa buah Zaitun mengandungi banyak manfaat. Ia dikatakan pohon yang pertama tumbuh di bumi dan tumbuh kembali setelah peristiwa banjir besar Nabi Nuh dan tumbuh di rumah-rumah para nabi dan beberapa tempat suci. Minyak Zaitun juga dikatakan sebagai satu-satunya minyak yang boleh terus diminum atau pun digunakan setelah diekstrak.

Keistimewaan Zaitun

Istimewanya, Allah Subhanahu wa-Ta’ala ‘bersumpah’ dengan nama buah tersebut dalam surah At-Tin sekalipun Allah Subhanahu wa-Ta’ala adalah zat yang tidak perlu bersumpah.  Antara sebab mengapa ia disebut dalam Al-Quran kerana buah ini melambangkan bumi Palestin (sebahagian daripada wilayah besar Syam) iaitu tempat yang paling berkat dan terkenal dalam peristiwa Isra’ Mi’raj.

Di dalam Surah At-Tin yang diambil daripada kata At-Tin yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang ertinya buah Tin. Selain buah Tin, juga terdapat buah Zaitun, yang menurut sebagian ahli tafsir bahawa yang dimaksud dengan Tin ialah tempat tinggal Nabi Nuh, yaitu Damsyik ibu kota negara Syria yang banyak pohon Tin; dan Zaitun ialah Baitul Maqdis (Palestin) yang banyak tumbuhnya pokok Zaitun.

Pohon Zaitun dan sejarahnya yang berakar umbi di bumi Palestin melambangkan keteguhan Palestin dan tanah airnya. Pokok Zaitun yang tertua dan terbesar di Palestin berada di bandar Bethlehem. Umur pokok Zaitun ini dianggarkan kira-kira lima ribu tahun dan saiznya meliputi lebih daripada 250-meter persegi.

Buah Zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al-Quran, buah Zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia disebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al-Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah Tin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah Zaitun sepertimana buah-buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Ayat Quran berkaitan Zaitun

Buah Zaitun termasuk buah yang disebut dalam Al-Quran. Tidak hanya dalam surat At-Tin, buah Zaitun disebutkan beberapa kali dalam Al-Quran yakni dalam surat An-Nur, Al-An’am, An-Nahl, Al-Mu’minun, dan Abasa.

Pohon dan buah Zaitun itu diberkati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman: “Demi buah tin dan Zaitun. Demi Gunung Sinai dan negeri Mekah yang dijadikan aman…” (Surah At-Tin: Ayat 1-2).

Keistimewaan buah Zaitun dalam Al-Quran dituangkan dalam Surat Al-Mu’minun (Ayat 20) Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman, “… dan pohon (Zaitun) keluar dari Gunung Sinai menghasilkan minyak dan pewarna makanan bagi orang-orang yang makan.”

Surah An-Nur: Ayat 35 tercatat: “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon Zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.” 

Hadith Nabi berkaitan Zaitun

Nabi Shallallahu’alaihi wa sallam juga menganjurkan makan buah Zaitun dan menyapu rambut dengan minyak Zaitun. Daripada Abu Usaid bin Tsabit Al-Ansari radiyAllahu ‘anhu, Nabi sallAllah alaihi wa sallam bersabda: “Makanlah Zaitun dan minyakilah rambut dengan Zaitun. Kerana ia dari pohon yang berkah.” (Hadith Riwayat Tirmidzi no. 1852, disahihkan Al-Albani dalam Sahih At-Tirmidzi).

Daripada Umar bin Khathab radhiallahu’anhu, Nabi sallAllah alaihi wa sallam bersabda: “Jadikanlah Zaitun sebagai idam (makanan sampingan) dan minyakilah rambut dengan Zaitun. Kerana ia adalah daripada pohon yang berkah.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah no.2698, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Ibni Majah).

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar radiyAllahu ‘anhu: Rasulullah sallAllah alaihi wa sallam pernah bersabda: “Minumlah minyak Zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah daripada pohon yang diberkati.” (Hadith Riwayat Al-Baihaqi dan Ibnu Majah).

Pohon Zaitun dan Tanah Syam

Pohon Zaitun adalah tanaman pertanian utama di wilayah Palestin dan dianggarkan pengeluaran Zaitun mewakili 57% daripada tanah pertanian di Palestin yang dijajah. Terdapat kira-kira 7.8 juta pohon Zaitun berbuah pada tahun 2011. Pada tahun 2014, dianggarkan 108,000 tan buah Zaitun telah diproses untuk menghasilkan 24,700 tan minyak Zaitun dan menyumbang sekitar U$D10,900,000.

Terdapat kira-kira 100,000 keluarga yang bergantung kepada penanaman buah Zaitun sebagai pendapatan asas mereka.

Namun, Penceroboh haram Zionis telah menebang, mencabut dan memotong hampir satu juta batang pohon Zaitun sejak rejim Israel menjajah Tebing Barat pada 1967.

Antara kawasan di mana pohon Zaitun ditebang dan petani Palestin diserang adalah di perkampungan Qaryut, Jalud, Adei Ad, Esh Kodesh, Ahiya, Nablus dan Ramallah di mana pokok Zaitun yang ditanam, disemai serta dijaga puluhan tahun, ditebang dengan mesin gergaji pokok (chainsaw) selain dibakar dalam sekelip mata.

Khatimah

Justeru, khasiat yang terdapat pada buah Zaitun merupakan anugerah Allah Subhanahu wa-Ta’ala ke atas hamba-hamba-Nya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah Zaitun disebut di dalam Al-Quran, malah pakar-pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Nyata, buah Zaitun merupakan buah yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala memberikan kebebasan serta kemerdekaan buat saudara kita di tanah Palestin, Syria dan di mana jua. Hasbunallah wani’mal wakil!

#MyAqsaDefenders #PeduliPalestin #SebarkanSalam

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo