Pembukaan Hagia Sofia Untuk Solat Petunjuk Positif Untuk Bebaskan Aqsa

July 15, 2020
editor-media

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

14 JULAI 2020 / 22 Zulkaedah 1441 H

PEMBUKAAN HAGIA SOFIA UNTUK SOLAT PETUNJUK POSITIF UNTUK BEBASKAN AQSA

 

HHSSOIPRKB30FFJ

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakyat Turki, di atas pengumuman bangunan ikonik Hagia Sophia (Aya Sophia) yang akan dibuka kembali menjadi sebuah masjid oleh Mahkamah tertinggi Turki.

Pengumuman yang boleh dianggap sebagai satu kemenangan umat Islam dunia itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Turki mengeluarkan keputusan, susulan Majlis Negara mengemukakan petisyen oleh sebuah kumpulan agama yang mahu membatalkan keputusan kabinet pada 1934 bagi mengubah bangunan itu kepada muzium.

ABIM ingin menegaskan berkenaan fakta sejarah masjid ini, di mana ia bukannya dirampas oleh Sultan Mehmed II (Sultan Muhammad al-Fatih), tetapi dibeli oleh Sultan Mehmed II daripada pihak Kristian Ortodoks pada waktu itu untuk diwaqafkan sebagai masjid, selepas kejatuhan Constantinople (kemudian dikenali sebagai Istanbul) pada 1453.

ABIM juga ingin menekankan bahawa meskipun ketika zaman itu Islam terlalu kuat di bawah pemerintahan Sultan Mehmed II serta Kerajaan Uthmaniah, dan agama lain dilihat secara mata kasar tiada hak untuk berunding, namun Sultan Mehmed II tetap mengambil pendekatan menghormati kelompok minoriti. Inilah keindahan akhlak serta hikmah pemimpin Islam yang sejati.

Pada 11hb Julai 2020 (Sabtu) selepas 85 tahun (sejak dijadikan muzium pada 1935 ketika era sekular Turki), akhirnya azan dikumandangkan sekali lagi di bangunan Hagia Sophia yang cukup indah.

ABIM mendoakan semoga pembukaan Hagia Sofia untuk solat ini menjadi petunjuk positif usaha bebaskan Al-Aqsa, insya-Allah.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR