Perlaksanaan Hudud: ABIM Tawar Kepakaran & Khidmat Nasihat - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Perlaksanaan Hudud: ABIM Tawar Kepakaran & Khidmat Nasihat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 16 November 2013. Kenyataan tersebut secara ringkas meminta NGO seperti ABIM untuk duduk semeja bagi mendesak semua pihak agar serius menghentikan gejala jenayah daripada terus berleluasa.

 

Secara objektif ABIM melihat isu Hudud sebagai rencah dan jalan penyelesaian terbaik dalam menangani permasalahan jenayah yang semakin menular dalam masyarakat. Sudah lebih lima puluh tahun kita menjalankan “eksperimen” mengawal permasalahan jenayah dalam negara. Eksperimen ini termasuk dengan meminda dan menggubal pelbagai undang-undang baru. Namun begitu, kadar jenayah khususnya jenayah berat dalam negara masih di tahap yang amat membimbangkan.

Sebagai kerajaan yang memikul amanah, sudah tiba masanya untuk pelaksanaan Undang-Undang Hudud diketengahkan bagi menangani kebimbangan rakyat. ABIM bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan PAS Kelantan menerusi penganjuran siri wacana Hudud, sebagai langkah ke hadapan bagi merealisasikan perlaksanaan undang-Undang Islam.

Dalam pada itu, umat Islam sendiri khususnya tokoh ilmuan seharusnya berperanan memberi penerangan kepada masyarakat umum bagi merungkai segala persoalan serta salah faham yang timbul khususnya melibatkan kepentingan masyarakat bukan Islam dan bukan menambahkan lagi kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pihak ABIM bersedia menawarkan kepakaran serta sumber rujukan untuk sama-sama menjayakan agenda ini. Peranan yang dimainkan ABIM sebelum ini, selain dari siri dialog adalah menerusi penerbitan beberapa buku dan makalah bagi menjawab salah faham isu ini termasuk yang terkini HUDUD DI MALAYSIA : Cabaran Pelaksanaan.

Diharapkan menerusi bahan penerbitan terbabit mampu merungkaikan segala persoalan yang timbul. Semoga bahan bacaan ini dapat disebarluaskan untuk dimanfaatkan sebagai rujukan umum. Usaha penerangan perlu dilakukan bagi memastikan bahawa masyarakat memahami tujuan sebenar undang-undang Islam iaitu bersifat mendidik massa hingga berjaya meminimumkan jumlah pesalah yang dihukum dan bukan bertujuan menghukum seramai mungkin anggota masyarakat sewenang-wenangnya.

Isu hudud juga harus dilihat merentasi kepentingan ideologi mana-mana parti politik, malah ia harus didasari keihklasan semua pihak demi menjaga kepentingan masyarakat bersama.

 

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)