Pertubuhan Pelbagai Agama Rasai Pengalaman Buka Puasa

June 14, 2017
editor-media

Putrajaya: Pelbagai pertubuhan mewakili agama di negara ini berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa bersama umat Islam pada Majlis Iftar Muhibbah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, semalam. Majlis buka puasa itu dianjurkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Kumpulan Persahabatan Antara Agama (FGIS) dan antara pertubuhan yang hadir ialah Sai Baba, Majlis Gereja Malaysia, Buddhist Vihara dan Majlis Hindu Sanggam.

Presiden ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, majlis berkenaan dianjurkan pada setiap tahun dan kali ketiga diadakan bagi meraikan pemimpin pertubuhan belia dan agama di negara ini. “Ini juga adalah satu daripada usaha memperkukuhkan dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta kepercayaan.

“Selain itu, ia secara tidak langsung dapat memberi kefahaman sebenar mengenai keindahan, kemurnian serta kesyumulan Islam kepada orang bukan beragama Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Kira-kira 200 orang hadir pada majlis buka puasa berkenaan dan mereka turut dibawa melawat sekitar masjid serta melihat suasana umat Islam berbuka puasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, turut berlangsung dialog bersama mereka yang bertujuan mencari titik persefahaman selain memahami sensitiviti antara pelbagai agama di negara ini. Pada majlis itu, seramai 20 keluarga dari komuniti Rohingya turut menerima bantuan berbentuk makanan dan keperluan bagi meringankan beban mereka. Sumber:- Harian Metro

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo