Qazaf: ABIM Gesa Rakyat Tolak Amalan Politik Lucah

June 27, 2019
editor-media

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada sikap individu-individu tertentu yang menyebarkan video kontroversi yang belum dikenal pasti kebenarannya di alam maya.

ABIM dengan tegas menyeru semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan video berkenaan untuk menghindari terjebak dalam jenayah Qazaf, yang dikenakan ke atas mana-mana tuduhan zina ataupun liwat tanpa kesaksian empat orang yang adil.

Amaran keras terhadap perbuatan sedemikian telah ditegaskan dalam Islam yang mana hikmahnya untuk mendidik umat sentiasa saling membela maruah dan harga diri seseorang daripada sebarang fitnah ataupun jenayah Qazaf mempunyai sanksi yang sangat berat terhadap kesaksian penuduhnya.

Perbuatan menyebarkan sebarang video ataupun gambar perlu dielakkan samasekali untuk mengelakkan umat Islam terjerumus dalam amalan keji yang tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk menjatuhkan air muka seseorang individu.

Dalam era kecanggihan dunia kini, peringatan mengenai jenayah Qazaf tetap relevan untuk melindungi maruah mana-mana individu daripada menjadi mangsa pihak tertentu yang cuba memanipulasi penggunaan pelbagai aplikasi teknologi terkini.

Justeru, ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak sama sekali amalan politik murahan yang keji seperti ini kerana tindakan seperti ini hanya akan merosakkan moral masyarakat kita. Malaysia Baharu harus berasaskan kepada praktik politik matang yang mementingkan realisasi gagasan idealisme untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Muhammad Faisal Abdul Aziz Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR