Senario Semasa Bolasepak Malaysia: Respon Serta Pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Senario Semasa Bolasepak Malaysia: Respon Serta Pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyuarakan kebimbangan di atas beberapa insiden yang melibatkan penyokong dan pegawai beberapa buah pasukan yang bertanding dalam saingan liga tempatan dan Piala FA Malaysia baru-baru ini.

Terbaru, kita digemparkan dengan insiden pergaduhan dan kekecohan yang didakwa melibatkan beberapa pihak di dalam Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dan di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan. Seperti mana yang kita sedia maklum, laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telahpun dibuat dan siasatan berkenaan insiden tersebut sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Isu Angkat Sumpah Menggunakan Kitab Suci Al-Quran

Namun, situasi terkini menyaksikan isu agama telah diheret dalam insiden ini. Hal ini berlaku apabila upacara angkat sumpah dengan bersaksikan Kitab Suci Al-Quran telah dijalankan oleh sebuah pasukan kelab di Timur tanah air dengan tujuan ‘menegakkan kebenaran’ bagi pihak mereka. Konsep sumpah di dalam Islam – petikan daripada blog Dr Zulkifli Hassan. (Sila rujuk: http://zulkiflihasan.wordpress.com/2014/02/11/memahami-konsep-sumpah-dalam-islam/).

Konsep sumpah di dalam Islam merupakan salah satu cabang ilmu yang perlu difahami secara mendalam oleh pengamal undang-undang manakala kesedaran dan kefahaman asas pada konsep ini perlu diserap dan diperjelaskan kepada masyarakat. Akibat dari ketidak atau kurang fahaman atau buat-buat tak faham pada konsep sumpah ini membuatkan ketidakselesaan dan persengketaan di dalam masyarakat.

Desakan pihak tertentu untuk bersumpah dalam pelbagai aspek menunjukkan krisis intelektual dan kedangkalan tahap kefahaman Islam. Kini sumpah juga diheret dalam kancah bolasepak negara. Begitu jelas ketidakfahaman dan tahap kesedaran masyarakat mengenai konsep sumpah ini. Sumpah yang boleh diterima pakai untuk sabitan kes adalah sumpah yang dibuat di mahkamah dan menurut syarat-syarat yang ditetapkan.

Sumpah sebagai kaedah pembuktian hanya terpakai di dalam kes mal dan ianya tidak boleh diterima di dalam kes jenayah seperti kes liwat, zina, qazaf dan sebagainya. Sumpah di luar mahkamah bukanlah sesuatu perkara yang digalakkan di dalam Islam.

Sumpah mubahalah misalnya, bukanlah boleh dilaksanakan sesuka hati sesedap rasa. Ianya hanya boleh dilakukan sekiranya pelbagai cara lain telah dilaksanakan dan tiada kaedah lain lagi yang boleh menyelesaikan perselisihan. Dalam aspek kaedah bersumpah pula, amalan bersumpah menjunjung atau mencium atau mengusap atau mengangkat al-Quran bukanlah tuntutan ajaran Islam.

Sumpah cukup dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya.Adab Masyarakat Bertamadun dan Hubungan Harmoni Sesama Manusia. Seperti yang kita sedia maklum, sukan bola sepak kaya dengan kejohanan dan peminat fanatik sarwajagat.

Menyedari bahawa sukan bola sepak diangkat sebagai sukan nombor satu paling diminati di Malaysia, ABIM berharap agar para penyokong dan pegawai yang terlibat dalam mengendalikan pasukan masing-masing, dapat menunjukkan sikap serta nilai budaya yang murni sebagai orang Timur, khususnya yang beragama Islam.

ABIM konsisten menyatakan bahawa Islam tidak menghalang umatnya daripada terlibat dalam bidang sukan. Sesungguhnya, Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umat manusia untuk beriadah untuk tujuan kesihatan dan kekuatan fizikal serta minda. Malahan, sukan boleh saja menjadi ibadah sekiranya dilaksanakan dengan menjaga adab-adab dalam bersukan untuk mendapatkan keredhaan ALLAH SWT.

Hal yang demikian, ABIM menyeru supaya semua penyokong bola sepak tanah air agar dapat memelihara adab, akhlak dan tatasusila ketika memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing. ABIM memohon kepada semua pihak yang berkenaan agar dapat menghentikan fitnah, caci-maki dan kebencian sesama kita, kerana asas semangat kesukanan ialah bermatlamatkan perpaduan.

Tidak banyak yang dapat kita kecapi melalui kata-kata makian, melainkan permusuhan berpanjangan dan kemurkaan TUHAN. Sesungguhnya, gejala samseng yang merusuh atau hooliganisme dalam bola sepak bukanlah sesuatu yang sesuai dengan norma masyarakat bertamadun.

Gejala samseng atau perusuh bola sepak tersebut yang kebiasaannya membabitkan kekacauan serta kecederaan, bukanlah sesuatu yang perlu kita angkat dan banggakan. Perpaduan Menerusi Sukan ABIM dengan ini memohon kepada semua pihak agar bertenang dan menunggu hasil siasatan polis serta bersatu hati dalam membangunkan sukan di negara kita.

Hal ini bertepatan dengan seruan Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Khairy Jamaluddin yang konsisten mempromosikan perpaduan menerusi sukan. Perkara ini juga selari dengan objektif penubuhan Kementerian Belia dan Sukan sendiri, iaitu untuk membina masyarakat belia yang bersatu padu, berdisiplin, berakhlak tinggi dan bergerak maju dalam bidang sosial dan ekonomi serta untuk membina masyarakat yang sihat, cergas dan berbudaya sukan ke arah perpaduan dan pembangunan negara.

ABIM menyeru kepada semua pihak agar lebih peka dalam menangani isu yang dihadapi, selain mengharapkan wujudnya perubahan minda rakyat ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih bertanggungjawab, berdaya saing dan harmonis.

Kita semua tidak mahu insiden-insiden memalukan seperti ini berulang, seterusnya membantutkan perkembangan sukan di negara kita, selain mencalarkan imej Malaysia di mata dunia. Semoga kita semua dapat menyelesaikan sesuatu isu dengan lebih matang, berhemah dan berhikmah. Majulah sukan untuk negara. Hidup Malaysia kita.

 

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)