Subhanallah! Harta wakaf Saidina Uthman bin 'Affan masih wujud di Madinah hingga ke hari ini! - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Subhanallah! Harta wakaf Saidina Uthman bin ‘Affan masih wujud di Madinah hingga ke hari ini!

Senarai beberapa wakaf para sahabat Nabi radiyAllah ‘anhum, yang sampai ke hari ini selepas kira-kira 1,400 tahun, masih terjaga sebagai harta wakaf. Antaranya ialah Perigi Rummah (Bi’ru Rummah – Telaga Pemanah), yang diwakafkan Saidina Uthman bin ‘Affan radiyAllah ‘anhu.

Dipetik daripada buku al-Auqaf at-Tarikhiyah fi al-Madinah al-Munawwarah.

Kisahnya, ketika kaum Muslimin berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka mengalami kesulitan untuk mendapatkan bekalan air. Namun, sebenarnya saat itu di Kota Madinah ada sebuah perigi bernama Perigi Rummah tersebut.

Tetapi, perigi itu milik seorang Yahudi dan airnya sengaja dijual untuk mendapatkan keuntungan besar. Hijrahnya kaum Muslimin ke Madinah amat menggembirakan bagi orang Yahudi tersebut. Mengapa? Karena beliau dapat menjual airnya kepada kaum Muslimin.

Hal yang demikian, Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam mengharapkan ada seorang sahabat yang dapat membeli perigi tersebut. Tujuannya, untuk meringankan beban kaum Muslimin yang telah menderita karena harta benda mereka ditinggalkan di Mekah.

Saidina Uthman radiyAllah ‘anhu (yang kemudiannya menjadi Khalifah Islam yang ketiga selepas Saidina Abu Bakar as-Siddiq radiyAllah ‘anhu dan Saidina Umar al-Khattab radiyAllah ‘anhu) terus bergegas menemui orang Yahudi tersebut untuk membeli separuh periginya.

Disepakatilah harga separuh perigi senilai 12,000 dirham. Perjanjiannya, satu hari menjadi hak orang Yahudi itu, dan keesokan harinya, perigi tersebut menjadi hak Saidina Uthman radiyAllah ‘anhu, memandangkan Yahudi tersebut enggan menjual keseluruhan periginya kerana mengejar keuntungan.

Pada giliran hak pakai Saidina Uthman radiyAllah ‘anhu, kaum Muslimin bergegas mengambil air yang cukup untuk keperluan dua hari secara percuma. Dengan demikian, si Yahudi merasa rugi karena pada giliran hak pakai dirinya terhadap perigi itu, tidak ada lagi kaum Muslimin yang membeli air daripadanya.

Orang Yahudi tersebut mengeluh kepada Saidina Uthman radiyAllah ‘anhu, dan akhirnya terpaksa menjual separuh lagi periginya kepada Saidina Uthman dengan harga 8,000 dirham. Perigi yang dikenal bernama Rummah itu, sehingga kini tidak berhenti mengalir meski telah berusia 1,400 tahun.

Indahnya Islam, amanah dan integriti 1,400 tahun!


Saidina Uthman radiyAllah ‘anhu adalah nama yang sering disebut sebagai teladan tatkala kita membicarakan soal wakaf.

Beliau sanggup membeli perigi dan diwakafkan untuk kegunaan penduduk Madinah tatkala berlaku bencana kekeringan di kota berkenaan. Sungguh mulia sikap sahabat Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam itu membantu dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Madinah.

Dari sudut Bahasa, perkataan ‘Wakaf’ adalah berasal daripada perkataan Arab ‘Al-Waqf’ yang bermaksud harta yang diwakafkan. Ia juga bermakna harta yang ditahan ‘Al-Habs’ atau harta yang dihalang ‘Al-Mana’.

Mengikut istilah Syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf, sepertimana yang dinyatakan di dalam hujjah wakaf dari mula harta itu diwakafkan; hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu wa-Ta’ala buat selama-lamanya.

Dan ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Mengikut Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] menjelaskan:

“Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.”

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Subhanahu wa-Ta’ala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi dan dipusakai.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 115 yang bermaksud: “Dan apa sahaja kebajikan yang mereka lakukan, maka mereka tidak sekali-kali akan dinafikan atau disekat daripada mendapat pahala. Dan ingatlah Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.”

Sesungguhnya, ibadah wakaf juga termasuk dalam kategori sedekah jariah yang menjamin ganjaran pahala yang berterusan walaupun pewakaf telah meninggal dunia. Para ulama sepakat menerima wakaf sebagai satu amal jariah yang disyariatkan dalam agama Islam.

Ia juga menjadi amalan yang sentiasa diutamakan oleh Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat. Malah, ramai lagi dalam kalangan mereka yang turut sama melaksanakan ibadah wakaf demi kepentingan umat Islam.

Hakikat pemilikan sesuatu harta adalah bergantung kepada sejauh harta berkenaan dapat dimanfaatkan pemiliknya. Jika kita memiliki sesuatu harta, namun tidak pernah dapat merasai manfaat daripadanya, maka ia seperti orang lain yang tidak memiliki sebarang harta.

#SebarkanSalam

Sumber: Ustaz Syafiq Ismail at-Tauhidi (Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat)