Tabung Haji: Ambil Iktibar Kisah Sultan Melaka Pinang Puteri Gunung Ledang:- Presiden ABIM

June 10, 2015
editor-media

3 Jun 2015:- Presiden ABIM, Amidi Abd Manan telah mengimbau polemik Tabung Haji (Pembelian Tanah TRX milik 1 MDB) dengan kisah teladan peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Melaka. Amidi mengimbau kisah tersebut ketika menjadi panelis Taklimat Rakyat: Saman KWSP, KWAP, & Tabung Haji, anjuran NOW sebuah NGO yang memantau keterlusan dan integriti institusi politik negara membabitkan kepentingan awam. Program ini merupakan sebahagian daripada rangkaian siri penerangan mengenai isu pengurusan kewangan Tabung Haji, KWSP, dan KWAP yang menarik perhatian rakyat Malaysia. 

“Sultan Melaka bersedia untuk memenuhi kesemua syarat yang dikemukakan oleh Puteri Gunung Ledang melainkan satu; apabila baginda turut diminta untuk memberikan hantaran berupa semangkuk darah puteranya, Sultan Ahmad,” kongsi beliau dalam forum yang diadakan di Ampang Jaya. Menafsirkan kisah yang diriwayatkan oleh Tun Seri Lanang menerusi pengkisahan Sejarah Melayu; Amidi menghuraikan bahawa kisah ini membawa maksud kepentingan rakyat sedia dikorbankan untuk memenuhi kelompok elitis kecil yang berkepentingan.

Amidi turut mempersoalkan justifikasi yang cuba digunakan di sebalik penggunaan sumber kewangan Tabung Haji untuk menampung beberapa projek dan pembelian aset. “Mengapa perlu gunakan wang Tabung Haji semata-mata untuk mendapatkan aset untuk orang Melayu? Tidakkah ada sumber kewangan lain. Wang dalam Tabung Haji diamanahkan oleh rakyat agar mereka dapat gunakannya untuk menunaikan Haji kelak!,” soal Amidi ketika sessi taklimat yang membabitkan ialah Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen, YB Abdullah Sani dan YB Manivaman.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR