Tahniah Kerana Memilih ABIM

May 27, 2012
Sekretariat ABIM Pusat

27 Mei 2012 – Para aktivis ABIM seharusnya merasa bertuah kerana memilih untuk bersama ABIM. Begitulah intipati ucapan Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam ucaptamanya sempena merasmikan Ijtimak Harakiy WADAH (Selangor)-ABIM (Selangor)-PEPIAS di Klang pada 27 Mei yang lalu. “Berlainan dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang lain, ABIM telah membuktikan peranannya dalam menegakkan teras keislaman di negara ini di samping menjunjung aspirasi serta harapan semasa umat serta golongan belia di negara ini.” jelas beliau sambil mengucapkan tahniah kerana memilih ABIM sebagai wadah aktivisme dakwah mereka.

 

Selanjutnya beliau mengimbau penghargaan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terutama sekali ahli akademik serta pengkaji dalam dan luar negara terhadap peranan yang dimainkan ABIM sepanjang 40 tahun penubuhannya, terhadap perkembangan Islam di negara ini. ABIM Selangor pada tahun ini sedang meraikan sambutan 40 tahun penubuhannya. Penganjuran Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PEPIAS ini merupakan manifestasi rangkaian perjuangan tiga generasi aktivis dakwah di negeri Selangor.

“Jika kita mampu menampilkan kualiti aktivisme dakwah terbaik untuk masyarakat, usah takut dan gentar. Masyarakat tanpa mengira golongan pasti akan menantikan kehadiran ABIM untuk bersama-sama mereka! Semua ini berlaku dengan teras kualiti kepimpinan yang kukuh serta mantap yang sekaligus akan membantu perkembangan dakwah itu sendiri,” jelas Mohamad Raimi sambil kemudian menegaskan kepentingan memperkukuhkan institusi-institusi ABIM (terutama sekali dalam bidang pendidikan) di peringkat negeri dan daerah yang merupakan teras penting gerak kerja ABIM di peringkat akar umbi. Beliau menamatkan ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada para pengasas ABIM Selangor di atas legasi dakwah yang diwariskan untuk generasi kini di samping menyeru para pemimpin pelapis pada masa kini untuk meneladani hikmah serta kekuatan mereka (para pengasas serta generasi awal) dalam mengembangkan dakwah di negeri Selangor.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR