Tok Guru Pak Teh Mad, tokoh ulama’ terkenal Kedah telah tiada - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Tok Guru Pak Teh Mad, tokoh ulama’ terkenal Kedah telah tiada

Tok Guru Pak Teh Mad, tokoh ulama’ terkenal Kedah telah tiada

“Tidak ada yang boleh menghalangi anda untuk bertaubat – siapa pun orangnya. Sebesar apapun dosanya, dia berhak mendapatkan ampunan Allah dan kasih sayang Allah; selama dia bersedia untuk bertaubat.” – Tuan Guru Pak Teh Mad (Pondok Ahmadiah Kuala Nerang, Kedah).

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperingati pemergian Tokoh Ulama’ Kedah, Tuan Guru Datuk Ahmad Mohd Nor yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 12:57 pagi pada 15hb September 2021 bersamaan 8hb Safar 1443H lalu di Hospital Kuala Nerang.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tuan/Tok Guru Pak Teh Mad, 96, merupakan pengasas Pondok Ahmadiah Kuala Nerang (Pondok Pak Teh Mad) dan Maktab Mahmud Padang Terap. Dilahirkan pada 16hb November 1925 di Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap, Almarhum membangunkan pondok tersebut pada 1961 sekembalinya berguru dari Makkah.

Sewaktu dikunjungi oleh Ustaz Hazwan Syah Niezam bin Abd Haniff (Yang Dipertua ABIM Kedah) bersama delegasi Lembaga Zakat Negeri Kedah pada Oktober 2020, Tok Guru Pak Teh Mad menyatakan, “Perjuangan yang benar akan mendapat bantuan daripada Allah walaupun jumlah sedikit, dan persediaannya sederhana.”

Almarhum juga menitipkan pesan dengan memetik Surah al-A’raf, Ayat 13: (Allah) berfirman, “Maka turunlah kamu darinya (syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina.”

Setelah Allah Subhanahu wa-Ta’ala melihat tingkah laku Iblis yang menyombongkan diri kerana menganggap bahawa ia lebih mulia daripada Nabi Adam ‘Alayhissalam yang menyebabkan ia derhaka dan tidak taat pada perintah Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Maka ia diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala agar turun dari syurga, tempat ia berada waktu itu, kerana tempat itu adalah diperuntukkan bagi hamba-Nya yang ikhlas dan rendah hati dan bukanlah tempat untuk memperlihatkan keangkuhan dan kesombongan.

Kemudian disusul dengan perintah agar Iblis keluar dari tempat itu, karena ia telah termasuk makhluk yang hina dan tidak sesuai dengan tempat yang mulia dan terhormat itu.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala mengkabulkan permintaan Iblis kerana di dalam perintah Allah Subhanahu wa-Ta’ala terkandung hikmah, keinginan, dan kehendak Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang tidak dapat ditentang, tidak dapat dicegah, serta tidak ada akibat bagi keputusan hukum-Nya, dan Dia Maha Cepat perhitungan-Nya.

Almarhum Tuan Guru Pak Teh Mad pernah berguru dengan Tuan Guru Pak Chu Him dan Tuan Guru Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili, Makkah al-Mukarramah  bermukim di Makkah selama 10 tahun).

Di antara guru-guru beliau di Makkah ialah: Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir Al-Fathani (Pak Da Eil – pengarang Kitab Bakurah Al-Amani); Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al Mandili; Sheikh Daud Kelantan; Syeikh Afnan Al-Jawi; Syeikh Sulaiman Al-Jawi; Syeikh Zakaria Bila; Syeikh Hassan Al-Masyath; Sayyid Alawi al-Maliki dan lain-lain lagi.

Jenazah Almarhum Pak Teh Mad diuruskan oleh pihak hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dibawa ke tanah perkuburan Masjid Padang Gelanggang, Kuala Nerang untuk urusan pengebumian.

Seluruh warga ABIM mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga atas kehilangan Almarhum. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih. InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah