Wacana Fiqh Malaysia 2018: Gagasan Malaysia Baharu Dalam Pembangunan Masyarakat Plural

September 6, 2018
editor-media

1 September 2018, Kota Kinabalu:- Wacana Fiqh Malaysia 2018: Gagasan Malaysia Baharu Dalam Pembangunan Masyarakat Plural anjuran WADAH-ABIM-SISMA dan Agensi yang memfokuskan kepada agenda pengisian untuk Malaysia Baharu demi menyantuni masyarakat plural di Malaysia. Agenda ‘kepelbagaian dalam bingkai kesatuan’ inilah yang cuba diterjemahkan dalam wacana ini. Kita mungkin kini nampak ‘bersatu’, namun bila-bila saja boleh berpecah akibat daripada kepentingan dan ‘demand’ bangsa dan kaum yang ada di Malaysia dan khususnya di Sabah.

Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat telah menyampaikan Ucap Utama kelmarin menegaskan tentang Piagam Madinah yang mengandungi 47 Fasal. Piagam Madinah adalah ‘constitution’ atau perlembagaan negara pertama yang bertulis ketika Baginda Rasulullah s.a.w berhijrah ke Kota Madinah Munawarah.

Bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w menyatukan seluruh penduduk Kota Madinah dengan satu perlembagaan yang adil sehingga yang bukan muslim turut menghormati Piagam Madinah kerana menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan Yahudi dan Musyrikin di Kota Madinah. Piagam Madinah ini berjaya mengikat semua masyarakat yang ada di Kota Madinah dengan adanya ‘consensus’ atau kesepakatan daripada semua pihak, mengambil kira semua faktor untuk hidup bersama dan hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Sesuai dengan ajaran yang di bawa Rasulullah s.a.w, iaitu Islam, yang membawa kepada kesejahteraan kepada semua. Beliau turut berkongsi bagaimana Piagam Madinah menyatukan penduduk Madinah dengan penekanan terhadap ‘Co-Existence’, La Convivencia dan Fiqh Ta’ayush; iaitu hidup bersama dalam satu Negara.

Apabila masyarakat kita menghormati, menjaga kebajikan dan kesejahteraan antara satu sama, bekerjasama ke arah kebaikan (Al-Birr) dan bersama-sama melakukan perkara yang bermanfaat, maka kita dapat hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan bersatu atas sebab kebaikan.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR