MALAYSIA BAHARU: ‘MENGANGKAT ASPIRASI RAKYAT, MEMARTABATKAN AMANAH UMAT’

November 26, 2022
editor@abim

UCAPAN DASAR MUKTAMAR SANAWI ABIM KE-47 (20 Oktober 2018, Sabtu – USIM, Nilai)

MALAYSIA BAHARU: ‘MENGANGKAT ASPIRASI RAKYAT, MEMARTABATKAN AMANAH UMAT’

MOHAMAD RAIMI AB. RAHIM, PRESIDEN ABIM

Yang Dihormati Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman,

Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan

Yang Dikasihi Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil,

Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia

Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Halim Ismail,

Pengerusi Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM

Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam Ab. Rahman,

Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Yang Berusaha Saudara Muhammad Nur Iman Abdul Khudus,

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Yang Amat Berhormat, Tuan Haji Aminuddin bin Harun,

Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan

Yang Berhormat, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim,

Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat

Yang dimuliakan tetamu-tetamu kehormat

Teman-teman seperjuangan; Saf Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM

peringkat Pusat, Negeri dan Daerah,

Ketua-ketua Agensi ABIM dan kaum kerabat besar pendukung Wadah-ABIMPKPIM,

Muktamirin dan Muktamirat, perserta Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu yang dirahmati Allah sekalian,

Assalamu’alaykum Warahmatul’Lahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (AJKP), saya mengalu-alukan dengan penuh takzim kehadiran para muktamirin-muktamirat dan para hadirin yang dimuliakan ke Muktamar Sanawi kali ke-47 Angkatan Belia Islam Malaysia dan Seminar Visi Islam dalam Aspirasi Malaysia Baharu.

Al-hamdulil’Lah, setinggi-tinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya, dapat kita meneruskan tradisi harakah tercinta untuk berhimpun, bermuktamar dan berseminar buat kesekian kalinya. Selawat dan salam buat junjungan tercinta, penghulu para Anbiya dan sekalian para mujaddidin; baginda Ar Rasul Nabi Muhammad SAW, para sahabat ridhwanullahi álaihim ajma’in serta seluruh para pelanjut risalah nubuwwah, pewaris amanatu’d dakwah yang telah pergi mendahului kita.

Baru semalam rasanya, sebahagian dari kita hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah Muktamar Sanawi ABIM ke-46 dan Ijtimak Harakiy WADAH-ABIMPKPIM ke-5 yang telah berlangsung dengan jayanya di Bandaraya Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 2017.

Pada hari yang penuh gemilang ini, seluruh warga besar ABIM kembali sekali untuk berhimpun menyatukan tekad di bumi Negeri Sembilan Darul Khusus setelah genap satu dekad kita melaksanakan Muktamar Sanawi ABIM ke-37 di Pusat Dakwah Islamiyyah, Paroi pada tahun 2008. Pemilihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai bukanlah dibuat secara kebetulan, tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap reputasi USIM sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang selayaknya dijulang. ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus di bawah teraju pimpinan Y.A.B Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.A.B Tuan Hj Aminuddin Harun di atas sokongan penuh beliau bagi menjayakan Muktamar dan Seminar ini, pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta penghargaan khusus buat Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan seluruh warga USIM atas segala kerjasama yang diberikan.

TEGUH MELAKAR HARAPAN

Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

(Al-Nur: 46)

Pada Muktamar yang lalu, kami telah menggariskan halatuju penting pergerakan ABIM seperti yang termaktub dalam Ucapan Dasar bertajuk ‘Memperteguh Tekad Perjuangan, Melakar Harapan Masa Depan’. Bertepatan dengan tema Seminar Politik Islam dan Demokrasi pada tahun lalu, kami telah menegaskan peri pentingnya pengukuhan elemen spiritual dan pemantapan tarbiyyah ruhaniyyah

dalam membulatkan tekad perjuangan meniti detik-detik getir kemelut politik yang membelenggu tanahair menjelang Piliharaya Umum ke-14. Pembongkaran keserakahan dan kecurangan pimpinan kleptokratik dan lingkaran skandal yang menconteng arang ke muka rakyat dan menjatuhkan maruah negara di mata dunia telah menyaksikan kita bersama-sama arus kebangkitan rakyat menuntut perubahan kepimpinan politik tanahair.

Tanpa mengenal jemu, ABIM terus istiqamah melaksanakan misi pencerahan, pendidikan dan pemberdayaan umat di tengah-tengah kekeliruan dan keresahan rakyat yang berpanjangan, setia mengabdikan diri menjayakan misi profetis mengeluarkan umat dari kegelapan kepada terang benderang cahaya – an akhrij qaumaka min al Zulumat ila an Nur. Tanpa ragu, bahkan dengan penuh optimisme, ABIM bingkas melaksanakan amanat dakwah amar ma’ruf nahi mungkar sebagai jurubicara umat – Menegakkan Kebenaran dan Keadilan yang menjadi motto perjuangan ABIM.

Obor keyakinan kita dinyalakan oleh idealisme, keberanian zaman dan harapan generasi muda pewaris negara yang mendambakan era masa hadapan yang lebih gemilang buat Malaysia yang merupakan tanahair, tempat tumpah darah tercinta.

Pada tanggal 9 Mei 2018, fajar Malaysia Baharu telah terbit, membawa bersamanya sinar harapan yang menggunung tinggi dan cita-cita yang melangit luas. Justeru bersempena perubahan politik negara yang berlaku pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu, ucapan dasar kali ini akan membawakan bertajuk ‘Malaysia Baharu: Mengangkat Aspirasi Rakyat, Memartabatkan Amanah Umat’ bagi menggariskan haluan dan halatuju gerakan ABIM dalam era Malaysia Baharu.

ABIM DAN PERJUANGAN RAKYAT

Sejak dari awal penubuhannya, ABIM sentiasa meletakkan perjuangan membela nasib rakyat dan sebagai landasan pergerakannya. Dari peristiwa bersejarah pembelaan nasib para petani dan fakir miskin di Baling 1972 sehinggalah membawa kepada perjuangan meledakkan arus Reformasi di penghujung abad lalu, ABIM tidak pernah absent atau sekali-kali berundur menjauhkan diri dari bergelumang bersama keringat rakyat marhen yang membasahi medan perjuangan. ABIM tidak akan membisu, bahkan sentiasa berusaha menyuarakan dhamir, suara hati dan keluhan rakyat akar umbi – the voice from below – yang tersemat di nurani MEREKA namun tidak mampu dizahirkan dengan kalimat atau kudrat dek kerana dipasung belenggu ketakutan dan hambatan kebendaan. ABIM lahir dari rahim umat, maka kepada umatlah ABIM akan kembali berkhidmat!

Di sebalik pelbagai dinamika yang dicorakkan menurut keperluan dan tuntutan zaman, ABIM sentiasa konsisten menggalas amanah dan tanggung jawabnya menjadi jurubicara dan pembela umat. Kenyataan ini jelas telah diperakui secara akademik lewat kajian oleh John N. Funston, John L Esposito, Gordon P. Means, Saliha Hassan, Dr Syed Khairudin Al-Junied, dan pelbagai kajian akademik berkaitan. Fakta sejarah tidak dapat menafikan peranan gerakan ABIM sebagai pelopor terawal sejarah tercetusnya gelombang kebangkitan perjuangan reformasi sejurus pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Hakikat ini tambah diperkukuhkan dengan penangkapan barisan pimpinan utama ABIM ketika itu yang diterajui oleh Ahmad Azam Ab. Rahman.

Di gelanggang keramat perjuangan, Pusat Latihan ABIM (PLA) telah menyaksikan lahirnya GERAK – sebuah gerakan kerakyatan yang diterajui ABIM bersama beberapa pertubuhan seperjuangan, yang kemudiannya membidani kelahiran Parti Keadilan Nasional (KEADILAN).

Peranan utama ABIM selaku pendukung utama gelombang reformasi diperakui antara lain oleh Meredith Leigh Weiss yang mengabsahkan dalam tulisan berikut:-

“…Anwar and followers organized a massive socio political reform movement under the name reformasi. ABIM assumed a key role in the movement, resuming its traditional oppositional stance. ABIM members generally allied with PAS or with newcomer Keadilan, a political party centered around Anwar and the social justice concern of the Reformasi movement. This time, along with the other NGOs as well as opposition parties, ABIM called for justice, civil liberties, and a change of government. (Meredith L. Weiss, 2005)

Dua dekad berikutnya menyaksikan pelbagai onak dan duri terpaksa diharungi ABIM dan para penggeraknya untuk meneruskan kesinambungan dakwah. Tidak sedikit yang menjauhkan diri dan mencurigai gerakan ini sepanjang tempoh tersebut. Atas nama kebenaran dan keadilan banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk memelihara kelestarian perjuangan ini.

Sepanjang 20 tahun – dari Reformasi ke Malaysia Baharu – gerakan besar ABIM telah mengangkat dan mengarusperdanakan seperangkat gagasan fiqh Islam kontemporari seperti Fiqh al-Dawlah (Fiqh Kenegaraan), Fiqh al-Muwatanah (Fikih Kewarganegaraan), Fiqh al Taghyir (Fikih Perubahan), Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi (Fikih Kerukunan Hidup Bersama) dan mengarusperdanakan gagasan pemikiran Islam dengan tafsiran baharu seperti konsep Islam Rahmatun lil ‘Alamin selain mempelopori as-Sahwah al-Maqasidiy – kebangkitan wacana Maqasid Syariah di Malaysia. Manhaj Maliziy pula telah sememangnya sinonim dengan manhaj pergerakan dakwah ABIM sejak sekian lama terus diterjemahkan dalam menangani pelbagai isu umat.

Karya-karya ulama’-ulama’ muktabar kontemporari seperti Thaurah Sya’ab (Kebangkitan Rakyat) oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Al-Ummah Hiya al-Asl (Kuasa Rakyat) Dr Ahmad Al-Raysuni (2014), Tiba’i al Istibdad (Abdul Rahman Al-Kawakibi) dan pelbagai karya-karya berkaitan fikih siyasah telah dijadikan rujukan asas para aktivis ABIM sepanjang menjunjung amanat pencerahan ke arah politik perubahan sebelum ini. Fikrah yang terhasil melalui karya-karya ini jelas bermatlamat mendidik dan seterusnya memperkasakan rakyat agar tampil berani di hadapan penguasa dan aparatnya yang menindas, sebagaimana mereka harus berani keluar dari cengkaman agamawan yang menjadi pendukung setia aliran kediktatoran yang disebut Al-Kawakibiy sebagai fuqaha al- Istibdad.

Faham kedaulatan rakyat yang bersumberkan prinsip Quranik seperti karamah insaniyyah dan al-hurriyah yang disebarluaskan kepada rakyat ternyata telah mengisi makna dan pengertian laungan ‘suara rakyat suara keramat’ – bahawa people’s power itu bukan sekadar retorika kosong atau selamanya terkait dengan revolusi berdarah sepertimana yang ditakut-takutkan oleh gerombolan elit penguasa yang sebenarnya diselubungi ketakutan. Ternyata ungkapan keramat Syakh Wahbah Zuhayli – as-Sha’b Masdar al-Sultah – bahawa rakyatlah sumber kekuasaan pemerintah telah benar-benar terzahir dengan jayanya dalam proses peralihan kepimpinan negara pada 9 Mei.

Menyongsong ke arah pembentukan Malaysia baharu, tidak keterlaluan untuk kita menyatakan ABIM telah membuat sumbangannya yang tersendiri dalam mencorak tasawwur dan mempersiapkan pemikiran rakyat (conditioning the mind of people) untuk mencetuskan arus perubahan. Peranan signifikan ABIM dalam mencorakkan dinamika persaingan politik berasaskan Islam di Malaysia turut dinukilkan oleh N.J Funston tatkala menyentuh peranan NGOs sebagai determinants – faktor penentu – kepada sebarang perubahan politik di Malaysia,

Islamic NGOs have played an important role in highlighting Islamic affairs in particular ABIM, both as pressure group in its own right and in providing party leadership.” (Funston, N.J, The Rise of Political Islam in Malaysia: From Kaum Muda to Islamic State, 2017)

ABIM DAN GERAKAN MASYARAKAT MADANI

Dalam temubual baru-baru ini sejurus PRU Ke-14; Meredith L. Weiss sekali lagi tidak mengkesampingkan peranan ABIM dalam menggembleng potensi massa ke arah merealisasikan politik perubahan menerusi sektor masyarakat sivil & madani:

“The other aspect that tends to be overlooked in Malaysia in critiques of the urban bias of civil society is the extent to which religious organizations, particularly Islamist organizations but also Christian and others, have really mobilized… These organizations have helped to mobilize electorally, in both urban and rural areas, and sometimes in really functional ways… There are organizations such as the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) that will train people who want to run in office and give them the skills they need to contest – both men and women, and whatever party they might want to run for. I see them as part of a larger enterprise of gearing up civil society and activists to make people care about participating politically and to think about coming up with better measures for evaluating electoral politics.” (Weiss, ML, 2018)

Di sebalik optimisme yang terjelma dalam era Malaysia Baharu, ABIM serta para penggeraknya tidak seharusnya culas, apatah lagi absent daripada terus mempelopori agenda pencerdasan dan pendemokrasian rakyat. Ruang yang terbuka di lapangan masyarakat sivil (Civil Society) perlu dimanfaatkan untuk memperjuangkan agenda pendidikan demokrasi, kewarganegaraan, kebebasan, keadilan, hak asasi, dan kedaulatan undang-undang. Walaupun selalunya pendirian yang diutarakan tidak disenangi sesetengah pihak, ABIM tetap teguh berpegang pada idealisme Reformasi-Islahiy serta telah cuba berperanan sebaik mungkin sebagai jurubicara bagi memperjuangkan isu-isu rakyat di lapangan masyarakat madani.

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.” (Al-A’raf: 181)

1. Skandal Kewangan 1MDB

Seakan semalam rakyat Malaysia telah terpalit dengan lembah kleptokrasi setelah pendedahan mengenai skandal membabitkan 1MDB didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ). Umum mengetahui bahawa kemelut 1MDB mempunyai kesan yang sangat mendalam terhadap ekonomi negara sehingga ke hari ini. Atas dasar tersebut ABIM telah konsisten menyatakan secara lantang mendesak skandal tersebut disiasat secara tuntas. ABIM juga mendesak dokumen-dokumen berkaitan 1MDB didedahkan secara terbuka untuk siasatan secara telus. Skandal kewangan tersebut telah menjejaskan tatakelola institusi-institusi lain termasuk Tabung Haji.

Pada Mei 2015, negara telah dikejutkan dengan dakwaan yang dimuatkan dalam blog The Benchmark, bahawa Tabung Haji telah membeli dua bidang tanah projek Tun Razak Exchange (TRX). Blog tersebut mendakwa, ia masing-masing dibeli dengan harga RM194 juta (RM2,860 sekaki persegi) dan RM578 juta (RM3,900 sekaki persegi) sedangkan 1MDB didakwa mendapatkannya hanya dengan kos hanya RM90 sekaki persegi.

ABIM serta para aktivisnya telah mengemukakan laporan polis di seluruh negara dan menggesa agar siasatan serta tindakan diambil ke atas perkara tersebut. ABIM juga telah menyerahkan memorandum mendesak perletakan jawatan pihak yang terlibat di sebalik skandal tersebut. Namun, pada ketika itu bantahan ABIM dipandang “sepi” oleh pihak berwajib, sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengambil tindakan menerusi siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Perkembangan mutakhir menyaksikan bahawa siasatan terhadap kedua-dua skandal telah dimulakan. ABIM amat mengalu-alukan siasatan tersebut dan mengharapkan pihak yang terlibat akan diadili setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Siasatan dan pendakwaan tersebut amat penting bagi memulihkan semula integriti tatakelola kewangan negara yang tercalar sebelum ini.

2. BERSIH & Amalan Politik Berintegriti

Berpegang kepada fatwa Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa mengundi adalah sebuah kesaksian, ABIM atas kapasitinya sebagai salah satu NGO Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), telah menolak secara keras sebarang usaha untuk memanipulasi sistem politik yang menafikan amalan demokrasi berasaskan pilihanraya secara tulen dilaksanakan di negara ini. ABIM telah menyuarakan sokongan terbuka serta menggesa seluruh rakyat berpartisipasi dalam semua perhimpunan-perhimpunan aman anjuran BERSIH sejak awal penubuhannya.

Sebelum menjelang PRU Ke-14, bertarikh 25 Mei 2017, ABIM bersama BERSIH telah melancarkan inisiatif filem pendek bertajuk ‘Buang’ untuk menarik minat generasi muda tampil mendaftar sebagai pengundi. Mesej jelas dari filem pendek tersebut adalah risiko besar yang bakal dihadapi rakyat iaitu terpaksa menerima si penindas sebagai pemimpin sekiranya mereka berterusan mengabaikan

tanggungjawab untuk membuang undi. Hasil kerjasama ABIM, Bersih dan HAS Academy Film, filem pendek tersebut telah menjadi satu fenomena dalam kalangan pengguna media sosial dan seterusnya telah berjaya merangsang minat generasi muda tampil mendaftar sebagai pengundi.

Komitmen ABIM terhadap amalan politik berintegriti tidak hanya terfokus pada pengendalian pilihanraya semata-mata. ABIM berusaha mengketengahkan pandangan yang dikemukakan oleh Prof Edmund Terence Gomez untuk merealisasikan model pendanaan politik awam di negara ini menerusi penganjuran siri wacana dengan kerjasama BERSIH. Dalam hal yang berkaitan juga ABIM telah

bersama-sama rakan NGO yang lain seperti Engage dan G25 telah mengemukakan pandangan ke arah pelaksanaan perundangan dan peraturan berkaitan dana awam untuk parti politik kepada pihak berwajib.

Di kesempatan ini, ABIM ingin terus menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan yang telah mengambil alih Putrajaya menyatakan komitmen untuk mengusulkan di Parlimen cadangan ABIM untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia political funding dan dana awam bagi tujuan pilihanraya dalam PRU akan datang.

3. Mempertahankan Kesejahteraan Ekonomi Rakyat.

Pada 4 November 2015, ABIM bersama dua rakan NGO lain telah memfailkan semakan kehakiman untuk menghalang perlaksanaan Perjanjian Perdagangan TransPasifk (TPPA) di antara Malaysia, Amerika Syarikat dan 11 negara lain (Mohamad Raimi & 2 Others v Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak & 2 Others). Tindakan ini didorong atas rasa keperihatinan akan kedaulatan ekonomi negara yang menaungi kesejahteraan kehidupan rakyat yang ternyata dikesampingkan melihat kepada keseluruhan proses kelulusan TPPA yang secara semberono dipaksakan ke atas rakyat tanpa konsultasi dalam erti kata sebenar. Melalui jaringan luas NGO antarabangsa merentasi 12 negara yang terkesan dengan cadangan pelaksanaan TPPA, tindakan ABIM membuat semakan kehakiman melalui saluran undang-undang telah memberikan impak penting yang mendorong kerancakan kempen global secara berterusan menentang TPPA di seluruh dunia, yang akhirnya menyaksikan TPPA dibatalkan.

Menerusi siri jelajah Forum Kemiskinan Bandar: Fakta Atau Auta? yang dilancarkan pada 5 April 2018, ABIM telah bekerjasama dengan pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid bagi menyuarakan fakta serta hakikat di sebalik situasi sebenar ekonomi rakyat Malaysia. Ulasan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis buku Antara Dua Darjat tersebut telah mendorong ABIM untuk mengembangkan program penerangan mengenai kemiskinan di beberapa negeri. Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan ABIM untuk membela nasib golongan miskin, khususnya fenomena miskin bandar dan kedudukan ekonomi Bumiputera bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap kedudukan rakyat dalam kerapuhan ekonomi negara.

 “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Al-Hasyr: 7)

REFORMASI INSTITUSI

Era Malaysia Baharu menandakan pelbagai reformasi sedang diusahakan antaranya menerusi Institutional Reform Committee (IRC). ABIM telah bergandingan bersama badan-badan Civil Society Organization (CSO) yang lain telah berperanan sebagai badan pendesak untuk memastikan kerajaan baharu menunaikan janji untuk membawa reformasi sistem dan institusi.

ABIM secara khususnya telah mengemukakan cadangan untuk beberapa kementerian khususnya Kementerian Pendidikan, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Agama) serta Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga berhubung reformasi yang dibuat sejajar dengan aspirasi rakyat. ABIM akan memanfaatkan pelbagai saluran baik secara rasmi mahupun dalam bentuk advokasi untuk merealisasikan semangat reformasi dalam tata urus serta tata kelola kerajaan dalam era Malaysia Baharu.

Kemampuan ABIM berperanan serta menerajui gerakan reformasi dua dekad lalu secara langsung telah menatijahkan pengembangan dan pemberdayaan gerakan aksi massa sivil ataupun masyarakat madani di Malaysia. Penglibatan dan partisipasi aktif ABIM dalam sektor ketiga masyarakat sivil ini adalah interpretasi kepada kepercayaan dan komitmen terhadap gagasan masyarakat madani yang diwacanakan secara rancak dalam proses pembinaan negara dan ketamadunan. Ingin ditegaskan bahawa apapun nama dan gelanggangnya – baik civil society organisations, nonprofit organisations, pertubuhan bukan kerajaan atau pertubuhan sukarela – ABIM terus komited untuk memastikan bahawa gagasan dan aplikasi model Masyarakat Madani tetap menjadi ruh yang melandasi perjuangan ABIM di dalam sektor yang amat berpengaruh ini.

Masyarakat Madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan –lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan. Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai

keperimanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat.” (Anwar Ibrahim, 1997)

Pemerkasaan institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang awam yang sememangnya menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani haruslah sentiasa berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja universal, bahkan harus adil dan seimbang dengan turut mengambil kira faktor agama, budaya dan sensitiviti kemasyarakatan yang relatif sifatnya.

Arakian bukan hanya kerajaan atau konglomerat pasaran yang tertakluk dan dipertanggungjawabkan dalam segala tindak tanduknya kepada masyarakat, pergerakan civil society sebagai suara yang mewakili pelbagai kelompok rakyat terbanyak harus dengan penuh sedar bertanggungjawab dan memainkan peranan yang positif dalam agenda menjunjung nilai, moral, akhlak dan etika. Gerakan masyarakat madani, atas nama kesejagatan dan kemodenan tidak harus membiarkan dirinya terjebak dan terperangkap dalam faham dan pejuangan yang berasaskan kenisbian nilai moral dan akhlak yang jelas bertentangan dengan ajaran agama, tatabudaya dan norma seperti aktiviti Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT). ABIM tidak rela membiarkan Malaysia era baharu berubah menjadi masyarakat permisif yang merelakan kebejatan menerobos sempadan agama dan menjungkirbalikkan norma masyarakat berwenangan tanpa kawalan.

Pada masa yang sama, kita menolak sama sekali pendekatan yang radikal, ganas dan diskriminatif dalam menangani gejala yang telah mewabak dan membarah ke seantero dunia ini. Di sinilah dakwah dan hikmah kebijaksanaan dituntut, bukan sahaja dari pihak pemerintah yang mendepani isu ini, tetapi juga oleh gerakan dakwah dan kemasyarakatan seperti ABIM yang terlibat langsung berdepan dengan sasaran segmen dakwah sebegini. Sesungguhnya kewajipan kita para dai’e lebih banyak dari masa yang kita punyai – al-wajibat akthar min al-awqat. Ruang dakwah yang terbuka lebih luas menuntut peranan dan tanggungjawab yang lebih berat buat ABIM untuk dikerjakan. Atas kesedaran terhadap amanah inilah, maka ABIM bertekad untuk memainkan peranan yang lebih instrusmental dan aktif dalam mencorakkan agenda, orientasi dan masa depan pergerakan masyarakat madani di era Malaysia Baharu.

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Surah Hud: 88)

MENGANGKAT ASPIRASI RAKYAT

Bukanlah hasrat kita untuk bernostalgia tentang peranan kita dalam mencetuskan perubahan yang berlaku menjelang Malaysia Baharu. Ianya kemenangan rakyat Malaysia. Sesungguhnya kemenangan yang tercipta ketika PRU Ke-14 yang lalu merupakan kemenangan kita bersama. Dalam Malaysia Baharu, persoalannya bukan lagi seputar derita perjuangan semata-mata. “Bukan dulu pernah derita atau tidak, bukannya telah lama atau baru ikuti perjuangan” seperti yang diungkapkan sendiri oleh Bapa Reformasi, Anwar Bin Ibrahim sewaktu majlis Pidato Mengisi Harapan Rakyat anjuran WADAH pada 15 September 2018. Melangkah ke hadapan, pertimbangan yang paling penting ialah komitmen yang jitu terhadap nilai, kesetiaan kepada prinsip perjuangan serta nawaitu yang tinggi untuk menjayakan reformasi setulusnya – in uriidu illa al-Islah mastato’tu.

ABIM ingin mengambil kesempatan bersempena himpunan bersejarah ini utk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kembalinya Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan Presiden ABIM ke Parlimen lewat kemenangan beliau dalam Pilihanraya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober yang lalu. Sesungguhnya peranan beliau apa penting dalam menjayakan agenda Reformasi menyeluruh yang

diimpikan oleh rakyat Malaysia.

Namun bagi maksud persejarahan, sumbangan kita yang seadanya ini penting untuk didokumentasi dan dikongsikan dalam himpunan sebesar Muktamar Sanawi. Bukannya untuk sekadar bernostalgia, namun sebagai inspirasi sekaligus peringatan buat kita semua – bahawa Reformasi belum berakhir, bahawa perjuangan belum selesai!

Sebagaimana kita bertanggungjawab mempelopori dan menjayakan perubahan, begitulah juga kita semua turut bertanggungjawab memastikan bahawa halatuju dan pengisian pasca peralihan kuasa ini tidak tersasar dari aspirasi perubahan berlandaskan Reformasi-Islahiy yang kita laungkan dulu.

Kita jelas, bahawa menyorot ke hadapan, perjuangan dan tanggungjawab kita pada hari ini dan hari muka ialah untuk meneruskan kesinambungan agenda pemerkasaan rakyat, mengukuhkan institusi kerakyatan dan memastikan bahawa aspirasi rakyat akan dimartabatkan dalam Malaysia Baharu. Untuk itu, ABIM akan terus setia memainkan peranannya – without fear or favour – sebagai instrumen semak dan imbang terhadap kerajaan Pakatan Harapan bagi menjamin amanah, harapan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan baharu negara tidak dikhianati, agar jangan sampai pemimpin sekali lagi memijak rakyat yang pernah mengangkatnya.

Tunaikanlah amanah kepada sesiapa yang memberi amanah kepadamu. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

MALAYSIA BAHARU: CITRA DAN ASPIRASI

‘Malaysia’s Big Win for Democracy: The country’s surprise election result has shown that the rise of authoritarianism is not inevitable’. Begitulah tajuk rencana Yaroslav Trofimov yang tertera di Wall Street Journal pada 11 Mei 2018. Dalam dunia sedang menuju democalypse, Malaysia telah membuktikan bahawa demokrasi belum mati, bahawa amalan demokrasi yang aman, transisi melalui plihanraya merupakan sesuatu yang masih hidup subur.

Detik keramat 9 Mei 2018 akan terus tersemat dalam memori rakyat Malaysia, tercatat dalam lipatan sejarah sebagai kemuncak kepada gelombang kebangkitan dan kedaulatan rakyat pada alaf ke-21. Tatkala tata kelola dan orde baru dunia terus menerus diwarnai dengan merudumnya demokrasi, peperangan dan konflik geopolitik, krisis pelarian, serta kesenjangan ekonomi, peralihan kerajaan di Malaysia berlaku secara aman menerusi pilihan raya umum memberikan satu sinar harapan baru kepada dunia bahawa demokrasi masih tetap subur, khususnya dalam konteks dunia Islam.

Natijahnya, imej Malaysia yang suatu ketika dahulunya cukup harum dan masyhur seantero dunia, kini kembali menjadi sandaran bagi memimpin suara umat Islam menerajui gelombang kebangkitan ummah. Namun sebelum melangkah jauh, Malaysia perlu melihat ke dalam, membersihkan tata kelola negara daripada skandal besar yang menconteng arang ke muka setiap rakyat Malaysia, sementelahan membina semula sekaligus memperkukuhkan asas-asas kebangkitan sebuah negara berdaulat dan bermaruah.

Malaysia Baharu bukan sekadar ungkapan biasa. Istilah Malaysia Baharu mempunyai konotasi makna yang amat mendalam beserta agenda penting yang wajib dilaksanakan. Barangkali tiada perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan anjakan penghijrahan ke era Malaysia Baharu daripada yang dinukilkan sendiri oleh Tokoh Ma’al Hijrah 1440H, Dato’ Dr Siddiq Fadzil:

Di balik kata Malaysia Baharu tersirat makna sebunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasam pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.

Dalam syarahan pentingnya terhadap makna dan esensi Malaysia Baharu (Siddiq, 2018), idealog gerakan Islam tersebut telah turut melontarkan agenda-agenda besar transformatif-reformatif berikut untuk dilaksanakan:

• Transformasi kemanusiaan dan kebudayaan (human and cultural transformation)

• Penegakan Moral Politik yang bermatlamat membina semula moraliti bangsa dan komited terhadap misi pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran.

• Merealisasikan pentadbiran maslahi, iaitu pelayanan pemerintahan terhadap rakyat menerusi dasar-dasar yang sejalan dengan maslahah.

• Penegakan Moral Ekonomi yang berasaskan perjuangan menangani segala faktor penyebab utama di sebalik kemiskinan dengan membuka kesempatan untuk kaum dhu’afa’ merubah nasib.

• Islam dalam era ini harus berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat ke arah pembebasan daripada segala belenggu, termasuk belenggu penjajahan ekonomi.

• Malaysia Baharu bererti era baru bagi demokrasi dengan memperhebat proses demokratisasi yang beresensikan partisipasi dan emansipasi.

• Malaysia baru yang berkeadilan sosial dengan agenda pendemokrasian ekonomi berasaskan pemerataan keadilan (distributive justice).

Demikianlah garis-garis besar agenda penghijrahan ke Malaysia Baharu dalam merealisasikan impian kita membina semula martabat dan maruah Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Tanggungjawab kepimpinan baru negara bukanlah sekadar menukar orde kepimpinan kerajaan lama sementelahan mengekalkan budaya pentadbiran lama yang korup. Mandat yang diberikan oleh rakyat juga bukan setakat mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan seperti yang sering

disalahtanggapi oleh sekelompok pihak. Rakyat memberikan mandat penuh untuk melakukan real change – perubahan tulen yang mengangkat semangat reformasi menyeluruh berpaksikan ketinggian martabat manusia, keadilan untuk semua, pendaulatan kuasa rakyat, keadilan ekonomi, pembanterasan rasuah, pengukuhan jati diri budaya dan pembinaan bangsa yang bertamadun seperti yang dilaungkan dalam Deklarasi Permatang Pauh 1998.

Jelas bahawa agenda Malaysia Baharu tidak bermula dari sifar. Sebagai kesinambungan agenda Islamisasi dan gelombang kebangkitan Islam kedua yang kita pelopori di ambang Malaysia Baharu, ABIM menggariskan kesinambungan 5 agenda utama gerakan yang berikut untuk terus direalisasikan dengan jayanya dalam ruang perubahan yang lebih kondusif dan reseptif era Malaysia Baharu.

1. Pengukuhan Jati Diri Bangsa Malaysia

Anjakan Malaysia Baharu menuntut rakyat membasmi dan menghapuskan ke akar umbi sebarang prasangka yang cuba mencarik dan mencemari keharmonian hubungan antara kaum dan agama sebelum ini. Sudah sampai masanya konsepnya kewarganegaraan (Muwathanah) bersandarkan kepada kesaksamaan (equality) dimartabatkan. Model kewarganegaraan Sahifah al-Madinah yang dibina berdasarkan ‘nasrah wata’awun’ (bantu-membantu dan berkerjasama) harus dijadikan sebagai kerangka rujukan utama. Pembentukan Bangsa Malaysia dengan ikatan persaudaraan kemanusiaan – ukhuwwah insaniyyah – merentas perbedaan antara bangsa dan agama harus diformulasikan dalam era Malaysia Baharu.

2. Reformasi Ke arah Kefahaman Islam Yang Sempurna Dengan Membugar Al-Fikr al-Maqasidy

Saatnya sudah tiba untuk para penggerak dakwah mencetuskan satu gelombang baru bagi menganjak tahap keberagamaan umat yang mengarah apa yang kepada kesempurnaan (al-Tadayyun al-Shamil) seperti yang dihuraikan oleh pemikir Mesir Muhammad Imarah. Ini amat penting kerana umat Islam memerlukan kefahaman baru yang lebih segar dalam aspek beragama dengan sebuah proses pembelajaran berterusan yang inklusif sifatnya. Banyak persoalan kontemporari serta futuristik memerlukan interaksi keilmuan secara intensif antara teks dan konteks. Untuk itu kita tidak seharusnya ketinggalan dalam mengikuti fenomena al-sahwah almaqasidiyyah – yakni satu kesedaran baharu yang dipelopori oleh para ilmuwan maqasidiyyun kontemporari yang mewacanakan peri pentingnya untuk memahami maqasid al-syari’ah, tanpa sama sekali mengabaikan dan meremehkan kekayaan khazanah dan tradisi keilmuwan dan pemikiran Islam.

3. Mengarusperdanakan Aliran Wasatiyyah

Umat Islam sebagai pengemban misi ‘rahmatan lil ‘alamin’, mempunyai amanah yang sangat besar untuk menampilkan keaslian wajah Islam – ‘taqdim al-Islam bi surah al-Asliyyah’ – untuk menyikapi fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang dicemari radikalisme-terrorisme. Tambahan pula sejarah fenomena kebangkitan atau pembaharuan Islam sering dibayangi dengan ekstremisme terutama sekali taktala kita perlu mendepani kerencaman cabaran era Malaysia Baharu. Prof Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi lewat karya pentingnya Fiqh al-Jihad mengatakan penyelesaian kepada gejala irhab dan ghuluw ialah dengan menumpukan usaha memperkukuh dan mengarusperdanakan manhaj dan amalan Wasathiyyah yang tulen, bukan sekadar tempel-tempelan. Sementelahan, tafsiran yang terlalu longgar dan liberal terhadap nas yang qat’ie dan muhkamat dalam agama sehingga membawa kepada penolakan taklif dan perlecehan juga harus diperbetulkan.

4. Menjunjung Kedaulatan Rakyat, Memberdayakan Kekuatan Umat

Esensi penting daripada amalan demokrasi ialah kebebasan. Umat perlu diberdayakan agar mereka bebas dari belenggu kejahilan, kemiskinan dan kebergantungan (istito’ah al-Ummah). Bersempena era Malaysia Baharu, keyakinan umat perlu dibangunkan untuk mandiri di atas kaki sendiri. Kedaulatan rakyat harus dijelmakan mulai daripada kemandirian ekonomi dan pembangunan institusi kerakyatan sebagai agen transformasi sosial untuk memenuhi keperluan rakyat di akar umbi. Gerakan pencerahan umat turut meliputi perjuangan membebaskan rakyat dari mentaliti subsidi dan misi pencerdasan akal budi dari belenggu material dan kejumudan. Pembudayaan ilmu yang merata di kalangan rakyat hanya akan bercambah subur andai rakyat dibebaskan dari budaya takut dan diberikan ruang yang secukupnya untuk berfikir, bersuara, mewacana dan berkarya dalam ruang awam yang kondusif dan harmoni.

5. Mengupayakan Generasi Muda Memimpin Perubahan

Generasi muda adalah pelakar masa hadapan umat. Generasi muda yang membawa perubahan menurut Buya Hamka adalah generasi yang mempunyai keberanian mendepani zaman, iaitu mereka yang memulakan suatu inisiatif yang belum pernah diusahakan; Sang Pencetus (The Initiator). Kepercayaan harus diberikan kepada generasi muda untuk ke hadapan dan melakar perubahan yang seiring dengan anjakan zaman. Dengan unjuran statistik populasi belia yang mencecah hampir 50% daripada 32.4 juta rakyat Malaysia pada tahun 2018, golongan ini pasti akan memberikan impak yang sangat besar terhadap pembangunan negara merentas pelbagai lapangan, pada hari ini dan masa hadapan.

ABIM penuh optimis bahawa anjakan-anjakan perubahan ini mampu direalisasikan dengan syarat ianya didukung oleh tekad politik yang tinggi dari pemerintah dan penglibatan aktif pertubuhan masyarakat madani dan rakyat untuk menyemak dan mengimbang tindak-tanduk pemerintah dan aparatusnya. Meskipun pelaksanaan Manifesto Pilihanraya peri penting untuk dilaksanakan, namun ia bukanlah Segala-galanya sehingga seluruh jentera pentadbiran kerajaan dikerah dan rakyat pula disibukkan untuk semata-mata menjayakan sekelumit janji politik yang terbukti pula kemudiannya bertentangan dengan semangat reform dan keluhuran perlembagaan.

Optimisme perlu diseimbangkan dengan kewaspadaan. Kegagalan melaksanakan harapan yang dijanjikan berimplikasi keputusasaan – hopelessness – yang kemudian secara tabi’i akan membunuh segala saki-baki benih harapan yang masih tinggal untuk menyaksikan perubahan yang sebenar.

MENGISI HARAPAN RAKYAT: REFORMASI DARI DALAM

Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga mereka merubah nasib mereka sendiri.” (Ar-rad:11)

1. Generasi Muda dan Azam Perubahan

Dalam perbahasan berhubung budaya pembaharuan, tidak dapat tidak, ia turut membawa perkembangan kepercayaan terhadap anak muda. Malaysia baharu telah merekodkan kejayaan pemimpin usia muda menempa nama dalam posisi tinggi ekoran dari kepercayaan yang tinggi diberikan kepada mereka.

Pelantikan Menteri Belia dan Sukan, YB. Tuan Syed Sadiq Syed Abdul Rahman adalah merupakan Menteri termuda dalam sejarah Malaysia apabila menganggotai senarai Jemaah Menteri Kabinet Malaysia pada usia 26 tahun. Begitu juga dengan pelantikan Menteri Besar Selangor YAB. Tuan Amirudin Shari pada usia 38 tahun yang merupakan antara Menteri Besar termuda dalam landskap politik Malaysia. Tidak ketinggalan, kemenangan ahli Parlimen Batu P115, YB. P. Prabakaran menewaskan calon PAS dan Barisan Nasional dengan majoriti 24,438 undi yang masih berusia 22 tahun.

Secara keseluruhan dalam kerajaan Malaysia Baharu, Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri kali ini mempunyai paling ramai Menteri dan Timbalan Menteri yang berumur bawah 40 tahun dalam sejarah iaitu di dalam lingkungan usia belia iaitu YB. Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) dan YB. Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar), dan untuk Timbalan Menteri pula, iaitu, YB. Hannah Yeoh (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), YB. Steven Sim (Belia dan Sukan), YB. Teo Nie Ching (Pendidikan), dan YB. Isnaraissah Munirah Majilis (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).

Secara tidak langsung, Malaysia Baharu telah memberi pesanan jelas bahawa era kepimpinan kini adalah era kepimpinan anak muda; Satu era yang keyakinan diberikan sepenuhnya kepada anak muda untuk kehadapan. Dalam kerancakan pembaharuan ini, persoalan lanjutan adalah di mana garis landasan kita sebagai Jamaah kini sedang berada? Trend kerancakan anak muda mengisi ruang kepimpinan ini telah berkembang malah akan menjadi kayu ukur kepada relevensi sesebuah organisasi.

Organisasi yang berterusan selesa di takuk lama akan berterusan merudum dalam kancah kelesuan dan kesepian, manakala badan yang memalu gendang tarian kerancakan tren ini akan terus berkembang ke hadapan dengan tenaga dan pemikiran yang segar.

Maka, Jamaah dan agensi perlu bersedia menghadami budaya baharu ini sebagai tuntutan masyarakat yang diletakkan sebagai pra-syarat sebelum organisasi bersedia mendaki puncak yang lebih tinggi.

2. Pembaharuan Budaya Kerja

Malaysia Baharu sudah pasti menuntut kita untuk bersedia dengan budaya baharu iaitu satu budaya yang senantiasa bersedia dengan perubahan. Renungan yang lebih utama bukan sekadar melihat landskap yang besar seperti politik semata-mata, tetapi jauh lebih mendalam berhubung peningkatan kualiti cara kerja, professionalism yang dinamik yang selanjutnya membawa kepada reformasi dalaman iaitu pembaharuan ke arah penambahbaikan Jamaah dan agensi-agensi meliputi bidang perniagaan, pendidikan, kemanusiaan, dan sebagainya.

Dalam dunia yang amat rancak dengan persaingan, peningkatan kualiti, disiplin serta profesionalisme gerakan dakwah menjadi sandaran utama bagi mengekalkan kekuatan kita dalam masyarakat. Gerakan dakwah juga perlu celik serta sedia melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang pantas hadir seiring dengan perubahan zaman. Kita juga perlu memupuk mentaliti baharu ke arah keterbukaan untuk meraikan kepelbagaian dan perbezaan terutama sekali ketika menghadapi inovasi-inovasi yang bersifat kontemporari.

3. Menerobos Medan Dakwah

Kegagalan kita meraikan perbezaan dan kepelbagaian hanya akan membantutkan usaha dakwah yang dijalankan. Semangat keterbukaan yang dibawa sempena era Malaysia Baharu memerlukan gerakan dakwah seperti ABIM meningkatkan kapasiti dakwahnya. Setiap agensi serta institusi dakwah di bawah rangkaian ABIM perlu responsif serta inklusif terhadap permintaan masyarakat. Pendekatan ini sangat penting untuk memastikan keberadaan ABIM (termasuk agensi dan institusi) mampu dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam masyarakat.

Dalam era Malaysia Baharu, kita juga perlu mencermati menyaksikan perubahan dalam aspek interaksi sosial antara manusia. Keadaan semakin rencam ekoran daripada kerancakan perkembangan teknologi dalam media sosial. Mahu tidak mahu perkembangan tersebut perlu dimanfaatkan dengan semaksimum mungkin. Peranan serta kekuatan ABIM sebagai juru bicara yang berpengaruh dalam membentuk persepsi umum (public opinion) perlu dianjakkan ke lapangan dunia maya dan media sosial. ABIM tidak punya pilihan selain memanfaatkan segala sumber, meningkatkan kapasiti dan melebarkan pengaruhnya menerobos ke dunia alam maya agar keberadaan ABIM semakin dirasai.

NARATIF DUNIA BAHARU DAN ORIENTASI MASA DEPAN

Era Pasca Normal (Al-Fikru’l mustaqbaliy), atau pemikiran yang berorientasi ke masa hadapan sememangnya menjadi ciri dan watak bangsa berdaya maju yang ingin mencipta keunggulan di masa depannya. Dekad kedua Abad-21 menyaksikan banyak tulisan-tulisan yang bersifat futuristik dan antisipatif. Suhail Inayatullah (2018) misalnya telahpun membincangkan 10 tren utama rantau Asia

lewat karyanya ASIA 2038: Ten Disruptions That Change Everything (Metafuture). Namun seperti yang diperingatkan oleh Ziauddin Sardar (2016), sebarang kajian ke arah masa hadapan yang lebih baik mestilah bermula dari analisis yang tepat terhadap realiti dunia kontemporari, bermula dengan apa yang beliau istilahkan sebagai extended present, diikuti oleh familiar futures dan diakhiri dengan unthought futures. Hal yang demikian, wacana Malaysia Baharu harus bermula dari extended present yang melingkari realiti semasa.

Secara umumnya, naratif dunia moden seperti yang diwacanakan oleh para pengkaji menyatakan bahawa dunia sedang meniti babak akhir era moderniti yang seringkali diistilahkan sebagai pasca kebenaran (post-truth), pasca normal, pasca sekularisme atau pasca moderniti. Dalam wacana pemikiran Islam sendiri, terma pasca Islamisme sebagai anjakan daripada aliran Islamisme atau politikal Islam telah diperdebatkan dengan rancaknya. Tesis End of History (1992) oleh Francis Fukuyama yang mengandaikan bahawa faham liberal demokrasi acuan Barat sebagai titik akhir kepada evolusi sosiobudaya manusiawi dan bentuk akhir kerajaan telah dikritik sebegitu hebat melihat kepada perkembagan mutakhir evolusi global menjelang tibanya dekad ketiga abad-21.

Bidang kajian futuristik yang antara lain dipelopori oleh pemikir Islam seperti Ziauddin Sardar (2015) dan Suhail Inayatullah (2018) mengistilahkan babak pensejarahan dunia hari ini sebagai era pasca-normal (post-normal time). Zaman pasca normal ialah zaman di mana tidak banyak perkara yang boleh dipercayai atau menambah keyakinan kita. Espiritu del tiempo, semangat zaman ini mempunyai karakter yang tidak menentu, perubahan yang pantas, penyelarasan semula kuasa, pergolakan dan tingkah laku yang ribut serta huru-hara. Kita hidup dalam era penggantian, di mana ortodoks lama kian pupus, sementara yang baharu belum lahir, dan banyak perkara ternyata sukar difahami. Era pasca normal dicirikan oleh tiga elemen utama iaitu ComplexityChaos dan Contradictions: kerumitan, huru-hara dan percanggahan. Dalam era pasca normalsesuatu fenomena bukan lagi ditanggapi hanya sebagai abnormal atau diluar kebiasaan, tetapi ia telah dianggap sebagai suatu ciri tetap di mana “uncertainty and ignorance will increase rapidly”. Transisi dalam era pasca normal sentiasa diselimuti ketidayakinan dan ketidakpastiaan sebagaimana yang digambarkan secara tuntas oleh Sardar (2010):

Ours is a transitional age, a time without the confidence that we can return to any past we have known and with no confidence in any path to a desirable, attainable or sustainable future. It is a time when all choices seem perilous, likely to lead to ruin, if not entirely over the edge of the abyss. In our time it is possible to dream all dreams of visionary futures but almost impossible to believe we have the capability or commitment to make any of them a reality. We live in a state of flux beset by indecision: what is for the best, which is worse? We are disempowered by the risks, cowed into timidity by fear of the choices we might be inclined or persuaded to contemplate.

Persoalan penting ialah bagaimana perlu kita berurusan dengan era postnormal dalam keadaan di mana kemajuan, pertumbuhan, kawalan, efisiensi, dan pengurusan macro menjadi semakin tidak relevan? Jawapan kepada persoalan-persoalan ini, harus bermula dengan kesedaran mendalam bahawa tren perubahan yang berlaku amat kompleks dan memerlukan kaedah penyelesaian yang turut kompleks, bukannya simplistik, ala-kadar dan semberono. Paling awla, penyelesaian kepada persoalan global dan kemanusiaan hari ini tidak boleh hanya tertumpu kepada persoalan superficial dan lari dalam dari jawapan kepada persoalan hakiki yang paling asas. Penyelesaian sebenar terhadap kerencaman persoalan peradaban dalam era pasca normal tidak dapat tidak harus kembali kepada akar umbi esensi keinsanan sendiri iaitu dimensi moral dan etika yang mendalam – a deep ethical connotations. Dalam kata lain, segala kreativiti dan imaginasi yang ingin dicurahkan terhadap agenda perubahan dan penyelesaian dalam era pasca normal yang penuh mehnah dan tribulasi ini akhirnya wajib kembali kepada persoalan akhlak dan etika yang disebut sebagai Postnormal Ethics.

Di sinilah kita pertegaskan bahawa naratif agung yang ditolak oleh pendukung pasca modernism itu masih relevan, bahkan naratif agama, nilai manusiawi, akhlak dan etika menjadi semakin penting di saat tamadun manusia berdepan dengan gejala besar post-truth yang menafikan sama sekali kebenaran sebagai satu hakikat. Ironinya, yang dibenarkan ialah pembohongan, penipuan dan kecurangan yang direkayasa melalui propaganda media sosial lalu ditampilkan sebagai realiti dan kebenaran ala-Donald Trump.

Wabak post-truth ini ternyata tidak hanya menggejala di Amerika Syarikat. Manufactured truth pernah berleluasa dalam orde Malaysia lama, dan nampaknya akan terus menggejala dalam era Malaysia Baharu seandainya tidak dicantas ke akar umbi. Solusi kita terhadap gejala ini ialah kewajipan mendidik rakyat agar kembali meletakkan kebenaran sebagai nilai utama dalam memulakan agenda perubahan. Rakyat perlu dididik untuk menghayati prinsip menegakkan kebenaran dan keadilan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa fitnah dan pembohongan itu merosakkan tiang seri Malaysia Baharu dan harus dibanteras sehabisnya. Rakyat, dan pemerintah sekaligus perlu disedarkan bahawa tanpa kebenaran, keadilan tidak akan terlaksana. Negara berkeadilan yang diimpikan akan mustahil akan terlaksana andai dibina atas dasar pembohongan dan kepalsuan.

Bila kebenaran sudah terkubur

Di sanalah orang menjadi kufur

Halal dan haram sudah bercampur

Rakyat sengsara negeri pun hancur

Bila kebenaran tersia-sia

Keadilan lesap hukum pun cedera

Banyaklah tumbuh silang sengketa

Tuah bertukar aib dan nista

MENANGANI POLITIK IDENTITI

We cannot get away from identity or identity politics. Identity is the powerful moral idea that has come down to us…The moral idea tells us that we have authentic inner selves that are nor being recognized and suggest that the whole of external society may be false and repressive. It focuses our natural demand for recognition of our dignity and gives us a language for expressing resentments that arise when such recognition is not forthcoming…Identity politics thus engenders its own dynamic, by which societies devide themselves into smaller and smaller groups by virtue of their particular “lived experience” of victimization

Fukuyama,F.(2018) 163-164.

Dunia hari ini dicorakkan oleh politik identiti. Dalam buku terbarunya Identity : The Demand for Dignity and the Politics for Resentment , Francis Fukuyama menghujahkan bahawa dalam era dunia moden yang selama ini dijana oleh aliran politik-ekonomi ‘demokrasi liberal’, ganjaran materialistik yang semata-mata bersifat ekonomi utilitarian tidak lagi menjadi ukuran kejayaan sebuah ekonomi atau demokrasi.

Kebangkitan rakyat yang berlaku dalam rentetan revolusi Arab Spring menurut Fukuyama adalah sebenarnya didorong oleh perkongsian rasa kecewa – resentment akibat dimalukan dan diabaikan oleh pemerintah mereka – “What was shared among all of these protestors was resentment that they had been humiliated and disregard by their governments.” Politik identiti didasari oleh sifat dan tuntutan dalaman setiap insan yang inginkan pengiktirafan  dalam masyarakat. Kegagalan mendapatkan pengiktirafan identiti, atau penafian terhadap hak berasaskan identiti yang menurut kacamata mereka selayaknya diterima seringkali mengkibatkan keresahan dan tindak balas yang ekstrim dan radikal.

Dasawarsa ini, sindrom dan ikon politik berasaskan identiti semakin ketara dan mewabak merentas benua hasil kebangkitan aliran ‘nasionalisme-populis’: Donald Trump di AS, Brexit di United Kingdom, ledakan anti imigran di Eropah, Viktor Orban di Hungary, Vladmir Putin di Russia dan Xi Jinping di China.

Politik berasaskan identiti jelas semakin ketara dan sedang berleluasa, termasuk di Malaysia. Bagi meraih sokongan dan dukungan pengundi, politik berasaskan perkauman dan agama telah dimainkan dengan begitu hebat sekali. Seperti juga di negara-negara lain, naratif politik identiti di Malaysia memberikan gambaran bahawa wujudnya ancaman-ancaman yang mencemaskan terhadap hak dan kedaulatan kaum majoriti umat Melayu Islam.

Di sisi yang lain, politik identiti juga telah menampilkan naratif ‘warga kelas kedua’ dari sekian banyak pecahan kelompok minoriti yang merasakan hak dan identiti mereka dinafikan. Kelompok ini boleh terdiri daripada segenap segmen, dari komuniti orang Asli di Gua Musang  sehinggalah kepada kelompok LGBT yang menagih pengiktirafan identiti. Pengalaman politik identiti merentas negara mengisyaratkan bahawa seandainya persaingan politik yang berbahaya ini tidak dibendung, jurang perbedaan antara pelbagai kelompok akan semakin melebar dari titik temu permuafakatan. Ketegangan yang wujud ini pula berpotensi diparahkan oleh faktor ketangkasan penyebaran berita melalui media sosial di alam maya.

Penawar kepada sindrom politik identiti yang semakin membahaya ini menurut Fukuyama, haruslah kembali kepada pengiktirafan identiti berasaskan penghormatan terhadap dignity – maruah kemanusiaan. “While we will never get away from identity politics in the modern world, we can steer it back to broader forms of mutual respect for dignity that will make democracy more functional.” Prinsip asasnya, tidak ada insan yang harus dinafikan hak asasinya sebagai manusia. Persoalannya rumit dan tidak mudah dirungkaikan. Tiada satu formula baku yang terpakai untuk menyelesaikan semua percanggahan tuntutan dalam masyarakat. Dalam hubungan ini, kita yakin dan percaya bahawa konsep karamah insaniyyah yang dijelaskan dalam al-Quran dan model Sahifah al-Madinah merupakan sandaran yang kukuh dalam mencari formula terbaik menangani ancaman politik identiti menelusuri era Malaysia Baharu.

 “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8)

AWLAWIYYAT GERAKAN

Harapan serta cabaran untuk merealisasikan aspirasi Islam dalam Malaysia Baharu menuntut pengupayaan sepenuhnya potensi serta kekuatan yang ada pada penggerak ABIM. Untuk itu kita perlu mengenal pasti aspek serta niche yang perlu diberikan perhatian khusus. Berikut adalah tujuh fokus utama meliputi sektor-sektor kritikal yang perlu diupayakan pada masa akan datang.

FOKUS 1: BELIA DAN GENERASI MUDA

Mengambil kesempatan kali ini, seluruh warga ABIM ingin merakamkan ucapan tahniah kepada saudara Jufitri Joha dan Hasnul Haniff Harun yang dipilih sebagai Presiden dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini. Semoga kepimpinan baru MBM akan tampil dengan lebih kehadapan mengangkat suara generasi muda atas dasar kebenaran & keadilan. Dalam masa yang sama juga kita ingin memanjatkan kesyukuran di atas pengiktirafan ABIM sebagai organisasi bertaraf lima bintang untuk tahun 2018 oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Semoga kedua-kedua berita gembira ini dapat memacu gerakan ini serta para aktivisnya untuk merancakkan pelaksanaan agenda dakwah khususnya dalam kalangan generasi muda.

Dua ucapan dasar yang terdahulu pada 2016 serta 2017; ABIM telah menyatakan keprihatinan terhadap kesejahteraan ekonomi dalam kalangan generasi muda. Umum mengetahui terutama sebelum PRU Ke-14 yang lalu; isu-isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, dan akses kepada pendidikan berkualiti serta percuma, banyak dibicarakan dalam kalangan generasi muda. Lima bulan sudah berlalu semenjak kita melewati era Malaysia Baharu; sudahkah persoalan-persoalan mengenai kesejahteraan ekonomi dalam kalangan generasi muda telah ditangani? Apakah bibit-bibit untuk menanganinya sudah timbul? Adakah era ini telah menjelmakan formula khusus untuk menjawab persoalan ini?

Pertanyaan-pertanyaan ini tampak remeh dan tidak popular. Namun sayugia harus kita ingat; keprihatinan kepada ekonomi secara langsung mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap perkembangan sosio-politik sesebuah negara secara menyeluruh. Sebagai contoh ABIM secara positif memandang serius keperluan pemberdayaan TVET untuk mengimbangi arus modenisasi serta tribulasi dalam menongkah gelombang Revolusi Industri 4.0. Keseriusan perlaksanaan TVET sangat penting kerana ia juga dapat merangsang pertumbuhan ekonomi secara saksama, inklusif dan mampan.

Pembangunan Belia Positif (PYD) yang menjadi teras di dalam Dasar Belia Malaysia 2015 boleh dijadikan rujukan untuk menggerakkan organisasi masyarakat madani (CSO) di negara kita, khususnya untuk membentuk generasi muda supaya lebih mandiri dan siaga apabila saat ketika memerlukan. ABIM menyokong penjenamaan secara serius aktivis sepenuh masa CSO belia di Malaysia sebagai pekerja belia antaranya yang cuba diusahakan oleh Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FPKB).

Justeru, ABIM harus kekal berperanan sebagai learning institution kepada generasi muda. ABIM perlu terus mengupayakan potensi yang ada dalam kalangan generasi muda supaya lebih ramai dapat tampil serta berperanan sebagai change maker. Pembentukan kapasiti dalam bentuk latihan secara formal serta pendedahan berterusan harus perlu digerakkan secara komprehensif. Detiknya sudah tiba untuk para aktivis ABIM pada masa kini secara aktif mengenal pasti dan mendidik generasi muda dengan mengenal pasti potensi serta bakat kepimpinan yang ada di kampus serta di sekolah.

Bidang sastera, seni dan kebudayaan merupakan tiga entiti yang saling berikat rapat dan bergantungan antara satu sama lain. Cakupan ketiga-tiga bidang ini sangat luas dan kompleks, selain sinonim dengan ketulenan jati diri sesebuah tamadun dan pembangunan sesebuah masyarakat. ABIM sentiasa prihatin terhadap keperluan untuk menyantuni dan membangunkan kesedaran anak muda terhadap seni, bahasa, kebudayaan dan sukan. Pendekatan ini didasari untuk memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya serta sastera negara, di samping menjadikan ABIM sebagai gerakan yang mesra dengan penggiat seni, budaya dan sastera.

FOKUS 2: KESUKARELAWANAN & KEMANUSIAAN

Polemik-polemik antarabangsa menjadi semakin ruwet. Saudara-saudara seagama kita dalam kalangan etnik Rohingya serta Uyghur semakin ditekan dan terus menderita di tanah kelahiran mereka sendiri. Krisis kemanusiaan yang tercetus akibat konflik yang berlaku di Syria, Kashmir, Gaza-Palestine dan seluruh dunia belum menampakkan tanda-tanda ia akan berakhir.

Data akhir tahun 2017 oleh UNHCR iaitu agensi dunia yang menguruskan hal ehwal pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebutkan bahawa terdapat 68.5 juta orang yang menjadi pelarian akibat daripada peperangan, pencari suaka dan individu yang diperdagangkan, dinafikan hak asasi kemanusiaan dan sebagainya. Jumlah ini hampir tiga juta lebih ramai berbanding tahun 2016 dan mencatatkan peningkatan 50% daripada 42.7 juta orang yang melarikan diri sejak 10 tahun lalu.

Menyonsongnya fajar Malaysia Baharu turut menyegarkan semula harapan kita agar Malaysia dapat berperanan dengan lebih proaktif mendepani polemik-polemik yang berlaku di pentas antarabangsa. Kita amat merindui ketegasan negara kita bersuara menentang sebarang bentuk kezaliman yang melangkaui batas hak asasi manusia. Kita juga mengharapkan Malaysia akan berperanan secara proaktif menangani krisis-krisis kemanusiaan sejagat seperti mana yang pernah ditampilkan ketika membantu umat Islam Bosnia Herzegovina yang mana ABIM turut berperanan secara aktif dalam menjayakannya.

Dengan krisis kemanusiaan serta polemik antarabangsa yang dijangka semakin meruncing, ABIM perlu meningkatkan kapasitinya untuk berperanan dengan lebih berkesan di pentas global. Dalam aspek advokasi, ABIM akan terus menyuarakan agar hak asasi etnik Rohingya serta Uyghur dihormati dan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada masyarakat antarabangsa. ABIM juga akan terus mendesak agar konflik yang berlaku di Syria, Palestine serta Kashmir, diselesaikan secara tuntas untuk menamatkan segera krisis kemanusiaan yang berlaku akibat daripada konflik tersebut.

ABIM melalui agensi kemanusiaannya, Global Peace Mission (GPM) Malaysia perlu meningkatkan kapasiti dalam setiap inisiatif-inisiatif kemanusiaan yang digerakkan. Selain daripada inisiatif-inisiatif ketika Ramadhan (Iftar For The Needy) dan Eid Adha (Qurban For The Needy), usaha pembangunan membabitkan muhajirin Rohingya serta Syria menerusi Sekolah Pendidikan Alternatif Jashmine Ash Sham di Setiawangsa serta Jaringan Rohingya Education Centre (JREC) perlu dikembangkan.

Komitmen-komitmen antarabangsa ini memerlukan sumbangan ramai relawan yang berjiwa ummatik untuk dilatih. Adalah menjadi harapan dengan penglibatan ramai generasi muda dalam aspek advokasi serta inisiatif-inisiatif kemanusiaan, lebih ramai ‘pemimpin sukarelawan’ yang dapat diketengahkan. Sebagai contoh menerusi inisiatif Relawan Malaysia, generasi muda akan dilatih secara intensif melalui GPM untuk menjadi pencetus dan pencipta (volunteerism creator) ke arah mewujudkan gelombang kebaikan di dalam masyarakat seperti mana yang diungkapkan dalam buku Learning Service an extraordinary contribution. A manifesto for doing good well.

FOKUS 3: AGENDA INTELEKTUAL, PEMBUDAYAAN ILMU DAN

PENERBITAN ILMIAH ABIM

Ilmu pengetahuan adalah teras utama di sebalik kekuatan ABIM semenjak awal penubuhannya. Kekuatan tersebut membolehkan ABIM mencetuskan perubahan lewat era kebangkitan Islam yang fenomenal sehingga ke era politik perubahan yang cuba dirintis menerusi gagasan Malaysia Baharu. Kita menginsafi kemenangan yang tercipta bukan hanya untuk dirai. Sebalik ini menandakan sudah bermulanya amanat untuk kita mengisi makna di sebalik gagasan Malaysia Baharu melalui penerbitan. ABIM menerusi agensi penerbitannya iaitu ABIM Press telah mengusahakan penerbitan puluhan bahan ilmiah.

Antaranya pada 23 September yang lalu, sebanyak 25 judul buku ABIM diluncurkan oleh Menteri Agama, YB. Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa ketika merasmikan Seminar Fiqh Kewarganegaraan, bersempena dengan ijtima’ haraki WAP Negeri Sembilan. Alhamdulillah terdahulu ABIM Press telah berjaya mengusahakan penerbitan khas antara ABIM dan IIIT, iaitu buku berjudul “Hubungan Ibu Bapa dan Anak: Panduan Membesarkan Anak-Anak” (terjemahan daripada Parent-Child Relations: A Guide to Raising Children). yang diluncurkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, pada 7 September 2018. Sesungguhnya penerbitan buku ini sangat penting dan diharapkan dapat merangsang penerbitan bahan-bahan ilmiah yang boleh dijadikan sebagai rujukan serta modul dalam kalangan masyarakat. Insya’Allah sebanyak lapan lagi judul akan dilancarkan bersempena muktamar dan seminar pada kali ini. Keseluruhannya ABIM Press telah menerbitkan 33 judul yang meliputi pelbagai genre, seperti siri al-Quran, tarbiyah, falsafah, sejarah, tasawuf, biografi, psikologi, kekeluargaan, politik dan demokrasi, turath usul al-fiqh dan akidah. Untuk mengisi cabaran masa mendatang, ABIM Press sedang mengemas kini operasinya agar kapasiti penerbitan dapat ditingkatkan.

Penumpuan kepada aspek ilmu, melalui agenda penerbitan ilmiah yang digerakkan oleh ABIM, diharapkan dapat memberikan impak dalam pembentukan landskap Malaysia Baharu. Melalui projek-projek penerbitan ini juga, ABIM berhasil dapat mengumpulkan para intelektual untuk sama-sama memberi sumbang saran dalam bentuk gagasan idea yang bersifat kontemporari. Usaha penerbitan ini secara langsung ini diharap dapat merangsang kelahiran para intelektual dalam kalangan generasi baharu, yang akan menyumbang kepada perkembangan kegiatan ilmiah. Sejarah membuktikan bahawa setiap gagasan dan idea yang diterjemahkan melalui projek penerbitan akan berakar lebih kukuh serta lestari sifatnya seperti mana yang terbukti ketika era kebangkitan Islam Jilid pertama yang diterajui ABIM.

FOKUS 4: PENDIDIKAN MASA HADAPAN

Untuk mendepani cabaran pendidikan pada masa hadapan, elemen penting dalam pendidikan abad ke-21 (PAK-21), seperti yang dilaporkan oleh World Economic Forum 2016, memerlukan warga pendidik di negara diberi ruang untuk memfokuskan pada aspek pembelajaran sosial dan emosional (SEL). Laporan yang sama turut menyenaraikan penekanan kepada kepentingan pada subjek penyelesaian masalah kemahiran penting menjelang tahun 2020.

Atas semangat Malaysia Baharu, ABIM merasakan sudah tiba masanya reformasi pendidikan kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Reformasi pendidikan ini sangat penting terutama dalam menjadikan persekolahan kebangsaan sebagai pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia. ABIM menggesa gerakan reformasi pendidikan kebangsaan perlu didokong dengan polisi dasar berasaskan kajian ilmiah, bersistematik, dan bersifat jangka panjang. ABIM berpandangan reformasi sistem yang berkesan ialah dengan meletakkan komitmen dan sumber yang penuh bagi memartabatkan profesyen keguruan dengan membenarkan mereka menumpukan perhatian pada tugasan hakiki kependidikan; iaitu pendidikan yang merangsang kepada pembentukan karakter kemanusiaan.

Justeru, pendidikan nilai, budi pekerti dan pembangunan karakter perlu menjadi antara teras utama reformasi pendidikan ini, yang mana wacana berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 masih lagi relevan untuk dijadikan rujukan, dan ditambah baik bagi memenuhi citra baharu pendidikan dalam Malaysia Baharu.

ABIM juga mengharapkan KPM dapat mengolah sistem pendidikan menjadi wadah perpaduan pendidikan bersepadu dengan ciri bahasa, budaya, dan amalan pendidikan berformatkan aspirasi citra bangsa Malaysia; Bukan sistem pendidikan yang berkecamuk dan mengasing-asingkan standard dalam berwarganegara. Ini penting dalam merangsang pembangunan sekolah-sekolah yang berprestasi rendah. Reformasi pendidikan kebangsaan perlu relevan dengan persekolahan masa hadapan; yang meliputi kebebasan akademik, dan ruang mengembangkan bakat. Lensa baharu jenis persekolahan perlu diteroka dengan serius dalam mendefinisikan tawaran sekolah kebangsaan.

Untuk mengisi visi aspirasi Islam dalam Malaysia Baharu, mahu tidak mahu semua institusi-institusi pendidikan yang membawa nama ABIM juga memerlukan penerapan idea yang segar untuk memastikan keluwesan pada masa akan datang. Perbincangan serta penglibatan secara holistik ke arah mereformasikan dinamika pendidikan jemaah perlu disegerakan dengan mengambil kira pelbagai input pendidikan kontemporari. Generasi baru para pendidik ABIM perlu diraikan kemampuan mereka untuk sama-sama melestarikan relevansi rangkaian pendidikan TASKI, SERI, SEMI, Tahfiz dan KAFA dalam kalangan masyarakat. Untuk itu perbincangan dan perlaksanaan secara serius konsep Sekolah Masa Hadapan, serta pembumian Pendidikan Al-Hikmah untuk memberi makna kepada jati diri amalan sistem pendidikan jamaah.

FOKUS 5: AGENDA KELUARGA MAWADDAH WA RAHMAH

Statistik dari Laporan Survey Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2017 amat membimbangkan kita. Laporan tersebut mendedahkan bahawa semua golongan terdedah kepada masalah kesihatan mental seawal Tingkatan 1. Dalam pada itu, laporan yang dikemukakan UNICEF 2018, menyatakan di sebalik menurunnya kadar kemiskinan yang ketara daripada 50 peratus (pada tahun 1970) kepada 0.4

peratus (pada tahun 2016), laporan yang sama juga menunjukkan ramai kanak-kanak (22%) yang mendiami kawasan flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur mengalami masalah tumbesaran ataupun bantut. Keadaan ini berlaku disebabkan akses yang terhad kepada makanan berkhasiat akibat daripada tekanan kos sara hidup yang sangat tinggi.

Fakta-fakta yang diutarakan di atas menyedarkan HELWA ABIM untuk merencanakan agenda untuk mendepani cabaran sosio-ekonomi masyarakat yang semakin getir secara tuntas. Agenda pemberdayaan keluarga menjadi keutamaan HELWA ABIM dalam merencana pengisian Visi Islam Malaysia Baharu. Ia direncanakan sesuai dengan situasi dan keadaan semasa dengan mengambil kira faktor sosio-ekonomi masyarakat dalam mendepani cabaran yang semakin genting abad ini.

Justeru HELWA ABIM ingin mengutarakan agenda pemberdayaan Keluarga Mawaddah wa Rahmah (KAMAR) sebagai kerangka utama gerak kerja HELWA ABIM ke arah mengisi Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu. Agenda KAMAR kali ini telah direncanakan antaranya meliputi aspek Keilmuan dan Keintelektualan, Aktivisme dan Advokasi, Pengurusan Rumah Perlindungan, Pengurusan Keluarga Muda – Konflik Rumah Tangga, dan penglibatan dalam aktiviti antarabangsa.

Dalam aspek keilmuan, HELWA ABIM berhasrat untuk sama-sama mengukuhkan peranan ABIM dalam masyarakat sebagai gerakan keilmuan dan gerakan intelektualisme menjadi sangat signifikan. Fokus HELWA 2018-2022 mensasarkan untuk kembali menjadi source of authority yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Komitmen terhadap pemberdayaan ilmu akan membolehkan advokasi mengenai, Literasi Hak dan Perlindungan Kanak-kanak, Literasi Undang-undang Keluarga Islam, Literasi Kesihatan Mental dan Literasi Kesihatan Seksual dan Reproduktif, dapat digerakkan secara berkesan oleh para aktivis HELWA ABIM.

HELWA ABIM juga mensasarkan untuk memantapkan pengurusan rumah perlindungan, Bayt Ar Rahmah yang juga merupakan kesinambungan kepada agenda pemberdayaan keluarga semenjak digagaskan beberapa tahun yang lalu. Cabaran yang sedang dihadapi masyarakat memerlukan pengukuhan institusi keluarga. HELWA ABIM komited ke arah membentuk sistem sokongan sosial yang mampan bagi membentuk persekitaran yang kondusif dalam sesebuah keluarga. HELWA ABIM menegaskan bahawa masyarakat yang sejahtera asasnya bermula apabila sesebuah keluarga mampu berperanan mendidik sebuah generasi.

FOKUS 6: INOVASI DALAM AMAL KEMASYARAKATAN

Pencapaian ABIM sebagai gerakan Islam banyak tercatat dalam mencetuskan pelbagai inovasi dalam aspek amal kemasyarakatan. Malaysia Baharu tetap menghadirkan cabaran kepada gerakan dakwah seperti ABIM untuk merungkai pelbagai persoalan yang meliputi sosio-ekonomi umat. Antaranya sempena Ramadhan 1439H yang lalu, untuk sekian kalinya ABIM telah menganjurkan Kempen Seorang Sekampit

Beras (KSSB). Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan Persatuan Institusi Perbankan Islam (AIBIM) dan para penyumbang yang membolehkan ABIM menjadi perantara di antara mereka dan golongan du’afa serta kelompok fuqara’ wa al-masakin tanpa mengira latar belakang kaum serta agama. Kepercayaan ini jelas menunjukkan gerakan dan kempen semenjak dua belas tahun yang lalu masih relevan untuk menyantuni permintaan golongan yang memerlukan.

Inisiatif ADAB Youth Garage (AYG) yang dimulakan para aktivis ABIM Daerah Bangi telah mula mendapat sambutan di beberapa tempat di Lembah Klang. Inisiatif pusat pembangunan remaja ini merupakan sebahagian daripada inovasi yang dicetuskan menerusi ABIM untuk memenuhi amanat dakwah di lapangan amal kemasyarakatan. Inovasi-inovasi ini digerakkan untuk memenuhi keperluan

dakwah dalam bidang serta niche tertentu.

Sebagai contoh untuk menangani gejala sosial; ABIM telah menawarkan inisiatif DERMAGA (Diriku Permata Berharga) untuk menangani permasalahan sosial melibatkan golongan remaja untuk menjauhi sebarang tingkah laku berisiko. Dalam aspek kesihatan; Biro Kesihatan ABIM (BKA) secara proaktif menawarkan khidmat pemeriksaan serta rawatan kesihatan percuma di samping batu asas kepada pembentukan Hospital Pakar al-Islam (dahulu lebih dikenali KBMC). ABIM juga tidak ketinggalan berusaha menawarkan khidmat bantuan guaman menerusi inisiatif Grup Peguam ABIM (GPA).

Di sebalik sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif-inisiatif tersebut, ABIM serta para penggeraknya tidak boleh berhenti daripada terus menggerakkan inovasi baharu dalam lapangan amal kemasyarakatan. Banyak lagi lapangan amal kemasyarakatan yang perlu diterokai. Antaranya ialah lapangan amal kemasyarakatan dalam aspek kelestarian alam sekitar seperti mana yang sedang diterokai oleh Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia). Adalah menjadi harapan agar kapasiti serta daya saing inisiatif-inisiatif yang telah ataupun dibentuk pada masa akan datang ini dapat dikembangkan agar ia kekal lestari dengan tuntutan dakwah.

FOKUS 7: DAKWAH & KEFAHAMAN ISLAM

Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira, dan pemberi peringatan. Dan untuk menjadi penyeru kepada Allah dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi.” (Al-Ahzab: 45-46)

Saban tahun, ABIM bersama dengan rakan-rakan NGO berorientasikan agama dalam Friendship Group For Inter-Faith Services (FGIS) bertemu dalam program berbuka puasa Muhibbah yang dianjurkan di masjid-masjid sempena bulan Ramadhan. Pada Ramadhan 14439H, majlis tahunan tersebut di kembangkan pula dengan kerjasama Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Community Action Network (CAN) dan Church of Assumption di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya. Alhamdulillah inisiatif sebegini telah mula berkembang dan disambut dengan positif. Banyak masjid dan surau telah meraikan kehadiran komuniti bukan Islam yang seharusnya dimanfaatkan sebagai wadah untuk memberikan penjelasan mengenai Islam. Dalam era Malaysia Baharu, model permuafakatan gerak kerja antara penganut agama di bawah FGIS ini merupakan suatu kebitaraan ABIM. ABIM akan memanfaatkan sepenuhnya potensinya dalam FGIS dan turut terlibat aktif dalam inisiatif yang lain untuk menampilkan model dakwah Islam sebagai agama rahmat yang bertindak sebagai problem solver terhadap pelbagai kemelut masyarakat.

Inisiatif Mosque Tour Guide di bawah seliaan Islamic Outreach ABIM (IOA) masih mendapat sambutan sehingga ke hari ini. Jika dahulu tumpuan program-program sedemikian adalah untuk mengetepikan gejala Islamophobia yang menafikan kesucian citra sebenar Al-Islam Rahmatun Lil Alamin. Inisiatif-inisiatif seperti ini tidak akan terhasil sekiranya kita kekal dalam zon selesa yang hanya akan mengasingkan kita sebagai kelompok elitis yang mampu menghukum. Komitmen ABIM dalam meratakan dakwah agar keberadaan Islam tidak ditakuti dalammasyarakat majmuk telah dinyatakan semenjak tahun 1970-an lewat ucapan dasar “Islam Sebagai Penyelesaian Kepada Masyarakat Majmuk”.

Tidak lupa kita ingin merakamkan penghargaan yang tidak ternilai harganya kepada para aktivis kita yang bertungkus lumus di pelbagai lapangan dakwah yang berbeza. Keberadaan aktivis ABIM mengisi program pemandu pelancong masjid, menyantuni serta mendidik masyarakat orang asli, membimbing saudara seagama kita yang ingin mendalami Islam di kepulauan Cocos, dan memberikan penerangan mengenai keindahan Islam dalam program-program dialog antara agama. Mengambil kesempatan ini mari sama-sama kita mengucapkan selamat maju jaya kepada pendakwah-pendakwah wanita ABIM yang ingin memanfaatkan masa mereka bersama umat Islam di kepulauan Cocos.

Keterbukaan yang dijanjikan seiring dengan ketibaan Malaysia Baharu perlu dimanfaatkan untuk merancakkan lagi agenda dakwah di lapangan. Keterbukaan yang merupakan asas penting kepada perkembangan aktivisme dakwah perlu dikekalkan sepertimana yang diperingatkan oleh tokoh pendakwah berpengalaman, Dr Hisham At-Thalib dalam lawatannya ke Malaysia September 2018 yang lalu.

Usaha dakwah menjadi sukar apabila ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah misi tetapi lebih berbentuk domain eksklusif kelompok individu. Kita seharusnya berusaha untuk mengelakkan dari penampilan diri membatasi pengisian,kelesuan mengatasi keberhasilan, pengorbanan dibatasi kepentingan peribadi, dan kepura-puraan menutupi kejujuran. Ketika usaha Da’wah menjadi eksklusif dan sempit, ia membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan akan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mencari kelemahan yang boleh menjatuhkan usaha murni ini. Sifat sebenar dakwah itu sebenarnya adalah menyeluruh, terbuka dan meraikan semua. Dakwah merupakan suatu misi, bukan perkumpulan kelompok eksklusif dan elitis.” (At-Talib: 2014)

Sesuai peredaran masa dan zaman; ABIM perlu menginsafi keperluan menyantuni dan membimbing anak muda dari pelbagai kelompok, latar belakang dan bakat untuk dilatih secara intensif melalui siri usrah, tamrin dan bengkel sebagai daie yang mampu mengemudi arus perubahan era Malaysia Baharu.

MEMARTABATKAN AMANAH UMAT

Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberikan pengampunan terhadap dosa-dosa yang lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan ni’matnya atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan

yang kuat.  Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang Mu’min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang sedia ada).” (Al-Fath: 1-5)

Menurut pengarang Tafsir Fi Zilal al Quran, Rasullullah s.a.w sungguh amat senang sekali dengan Surah Al Fath ini. Jiwa besarnya bergembira dengan anugerah Ilahi yang melimpahinya dan melimpahi orang-orang mukmin yang bersamanya. Junjungan bergembira dengan kemenangan yang nyata, bergembira dengan pengampunan yang sempurna, bergembira dengan nikmat yang melimpah, bergembira dengan hidayah – petunjuk ke jalan Allah yang lurus dan terarah, bergembira dengan pertolongan Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Pemurah, bergembira dengan keredhaan Allah terhadap orang-orang mukmin dan dengan penggambarannya yang demikian indah. Jiwa murninya menjadi penuh dengan kesyukuran kepada Tuhannya atas segala nikmat kurniaannya.

Ternyata peristiwa Sulh al-Hudaibiyyah yang melatari penurun surah ini merupakan isyarat awal pembukaan yang lebih besar dan tersebarluasnya Islam pada masa mendatang. Ianya, menurut Az Zuhriy, merupakan satu kemenangan dalam bidang dakwah. Peristiwa ini, sepertimana setiap helaian al-Quran yang lain mencatatkan pengajaran dan tauladan yang besar buat para daie penerus risalah perjuangan para anbiya’. Di dalamnya terkandung kisah keimanan, kesabaran dan kesetiaan generasi para sahabat yang wajar dihayati oleh pendukung harakah dalam menempuh ranjau perjuangan, dan tatkala beroleh kemenangan serta kejayaan dalam marhalah dakwah.

Muktamirin dan Muktamirat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmatNya yang mengurniakan kita hidayah, ketenangan dan kesempatan untuk terus menggalas amanah dakwah yang cukup berat ini di sebalik seribu satu kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam diri dan harakah tercinta ini. Dengan penuh insaf, ABIM menyedari bahawa ruang dan peluang dakwah yang kini terbuka lebih luas menuntut komitmen berganda dari seluruh saf pimpinan dan warga ABIM. Sejak awal penubuhannya, hasrat kita hanya satu. Hasrat dan impian yang tersemat kukuh di hati sanubari kita tidak lain hanyalah untuk merealisasikan cita-cita Islamiyyah seperti yang termaktub jelas dalam perlembagaan ABIM.

Setiap warga ABIM tanpa jemu – dari dahulu sehinga ke saat ini – dan Insha Allah sehingga ke ahirnya berusaha sedaya mampu untuk menjadikan negara Malaysia yang kita cinta ini sebagai watan yang diberkahi Allah Ta’ala – baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Kita diajar selama ini untuk setia kepada idealisme perjuangan dan istiqamah menegakkan kebenaran dan keadilan walaupun apa yang datang menimpa, sampil menyemat kemas pesan Sayyidina Umar al Khattab – man nasaral haqqa aflaha – barangsiapa yang membantu menegakkan kebenaran, maka dia akan berjaya!

Muktamirin dan Muktamirat yang dikasihi,

Amanah dakwah yang sedia dipikul kian terasa semakin memberat tatkala menyatuni umat yang bertandang dari seluruh pelusuk benua menyampaikan luahan dan harapan agar Malaysia tampil kembali memimpin suara dunia Islam di pentas global. Yang kita usahakan selama hampir separuh abad ini hanyalah untuk melaksanakan reformasi-Islahiy sedaya dan setulusnya tanpa mengharapkan yang lain selain keredhaan Allah SWT semata-mata. Sebagai orang dakwah yang mengaku sebagai pelanjut risalah para anbiya’ wal mursalin, marilah kita kembali menghayati peringatan Tuhan bahawa yang selayaknya ditakuti dalam perjuangan ini hanya Allah Rabbul Jalil. Tiada siapa pun, dan apa-apa pun – baik pangkat,

takhta, kuasa, harta, wang ringgit dan pengaruh yang kita takuti (akan sirna) dalam perjalanan menyampaikan risalah Allah SWT. Hanya keikhlasan dan ketakutan kepada Allah SWT yang menjadi bekal di dalam hati dan setiap hela nafas serta denyut nadi perjuangan menebarkan risalah Ilahi.

“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” (Al-Ahzab: 39)

Akhirul kalam, kami tinggalkan buat bekalan muktamirin dan muktamirat yang dikasihi Allah sekalian dengan sebuah kisah Junjungan baginda Ar Rasul SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a tatkala Abu Ubaidah al Jarrah r.a membawa pulang dari Bahrain ke Madinah hasil pungutan jizyah yang begitu banyak. Sejurus selepas solat Subuh berjamaah, kaum Ansar yang kebanyakannya hidup serba susah

telah bertemu dengan Rasulullah SAW dan mengelilingi baginda dengan penuh pengharapan agar mereka mendapat bahagian dari jizyah tersebut. Lalu Rasulullah SAW senyum lantas berkata,

Aku rasa kamu semua berjumpa aku kerana Abu Ubaidah telah membawa pulang sesuatu yang berharga yakni kutipan jizyah”. Lalu mereka menjawab “Benar sekali wahai Rasulullah”. Lantas Baginda pun bersabda:

“Bergembiralah dan bercita-citalah dengan apa yang dapat membuat kalian bahagia. Sungguh demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi yang aku khuatirkan atas kalian adalah apabila kalian telah dibukakan (harta) dunia sebagaimana telah dibukakan kepada orang-orang sebelum kalian, lalu kalian berlumba-lumba untuk merebutnya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya sehingga harta dunia itu membinasakan kalian sebagaimana telah membinasakan mereka.” (Hadis Sahih, Riwayat Imam Muslim)

Muktamirin dan Muktamirat,

sematkanlah sunguh-sungguh pesan tokoh pendakwah Dr ‘Ali Jarisyah kepada para daie ila’Llah lewat kitabnya Dua’tun wala Bughatun; “Berapa ramai pendakwah tidak tumbang dihadapan orang handalan.

Tetapi mereka gugur di hadapan harta dan kedudukan!”

Moga-Moga Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan inayah-Nya, dan terus mengurniakan kekuatan, kesabaran dan keikhlasan kepada seluruh pimpinan dan warga besar Angkatan Belia Islam Malaysia dalam mengangkat aspirasi rakyat dan memartabatkan amanah umat!

Selamat bermuktamar. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


BIBLIOGRAFI

Alalwani, Taha Jabir. 2017. Reviving The Balance: The Authority of the Qur’an and the Status of the Sunnah. International Institute of Islamic Thought (IIIT).

Altalib, Hisham. 2014. Inviting to Islam: Ethics of Engagement.

Anwar, Ibrahim. 1997. Gelombang Kebangkitan Asia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Azizan Bahari, Chandra Muzaffar (ed). 1996. Keadilan Sosial. Institut Kajian Dasar.

Claire Bennett, Daniela Papi-Thonton. 2018. Learning Service: The Essenttial Guide to Volunteering Abroad. Red Press Limited.

Francis Loh, Anil Netto (ed). 2018. Regime Change in Malaysia: GE14 and the End of UMNO-BN’s 60-year Rule. Petaling Jaya: SIRD.

Fukuyama, Francis. 2018. Identity: Contemporary Identity Politics and Struggle for Recognition . Profile Books Ltd.

Kamali, Mohammad Hashim. 2002. The Dignity of Man: An Islamic Perspective. Cambridge: Islamic Texts Society.

Mahbubani, Kishore. 2018. Has the West Lost it? A Provocation . Penguin Books.

Muhammad, Abdul Khalid. 2017. Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dubook Press.

Richard Wilkinson, Kate Pickett. 2018. The Inner Level: How More Equal Societies Reduce Stress, Restore Sanity and Improve Everyone’s Well-being. Penguin Books Ltd.

Robinson, Daron Acemoglu and James A. 2001. “A Theory of Political Transitions.” American Economic Review Vol. 91(4), September : 938-963.

Sardar, Ziauddin. 2015. “Welcome to Postnormal Time Revisited.” Futures 67, March: 26-39.

—. 2015. “Postnormal Times Revisited.” March: 26-39.

Siddiq , Fadzil. 2018. Hijrah ke Malaysia Baharu: Mencari Makna di Balik Kata. Selangor: Institut Darul Ehsan (IDE).

Siddiq, Fadzil. 1992. Minda Melayu Baru. Institut Kajian Dasar.

Sohail Inayatullah, Lu Na. 2018. Asia 2038: Ten Disruptions that Change Everything (Metafuture).

Weiss, Meredith L. 2004. “The Changing Shape of Islamic Politics in Malaysia.” Journal of East Asian Studies Vol. 4, No. 1 , 139-173 https://www.jstor.org/stable/23417965.

Weiss, Meredith L., interview by The Fletcher Forum of World Affairs. 2018. Politics, Law and Institutions (June 28).

Ziauddin Sardar, John A. Sweeney. 2016. “The Three Tomorrows of Postnormal Time.” Futures 75, 1-13.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR