Wacana Segarkan Perspektif Mengenai Transgender

December 19, 2014
editor-media

19 Disember 2014:- Grup Peguam ABIM telah menganjurkan Wacana Trasgender Dari Perspektif Undang-Undang. Wacana ini diisi oleh Tuan Haji Haniff Kathri , peguam terkenal yang banyak menyegarkan para pelajar yang memenuhi Auditorium Fakulti Pengajian Islam, KUIS, mengenai isu tersebut. Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, telah menjadi moderator sepanjang sessi ini.

Wacana Transgender GID Dari Perspektif Undang-Undang yang dianjurkan secara kerjasama di antara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merupakan kesinambungan kepada wacana terdahulu yang dianjurkan oleh ABIM pada 19 November 2014 yang mengupas tajuk ‘Gender Identitiy Disorder (GID) : Dari Perspektif Perubatan dan Psiko-Sosial’. Jika audien yang memenuhi balai Hospital Al Islam sewaktu wacana yang lalu mendapat informasi yang mendalam tentang penyakit GID dari perspektif pakar perubatan dan psiko-sosial, audien wacana siri kedua ini pula diberikan pencerahan berkaitan isu ini dari perspektif udang-undang.

Ternyata penyampaian bertenaga oleh tokoh peguam senior Tuan Hj Haniff Kahtri berjaya menggamit minat mahasiswa, pensyarah akademik dan pengamal undang-undang yang turut hadir memenuhi Auditorium KUIS yang sesak. Sememangnya isu ini mula meletus ditengah masyarakat sebagai sebuah isu perundangan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 yang membenarkan permohonan tiga perayu yang mensifatkan diri mereka sebagai pesakit GID beridentitikan transgender untuk mengenepikan pendakwaan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Sembilan (1992) memperuntukkan bahawa “mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan ataupun berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya”.

Secara ringkasnya, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen tersebut adalah bertentangan dan tidak konsisten dengan pertuntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan ketiga-tiga perayu sebagai Transgender sekaligus GID. Dalam erti kata lain, seksyen 66 telah membataskan hak kebebasan aktivis transgender (yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan) dengan melarang mereka untuk cross dressing ataupun berpakaian menyerupai wanita di tempat awam. Mahkamah turut bersetuju dengan keterangan bersumpah (affidavit) si perayu bahawa mereka ialah pengidap penyakit Gender Identity Disorder (GID). “Bukti-bukti yang diberikan oleh para perayu, membuktikan bahawa GID ialah attribute atau ciri-ciri semula jadi para perayu yang mereka tidak pilih dan tidak boleh tukar; dan akan menimbulkan kesan negatif sekiranya mereka dihukum hanya untuk mempamerkan manifestasi GID iaitu ‘crossdressing’.

Di sinilah Tuan Hj Haniff memilih untuk tidak membicarakan isu GID sebagai suatu penyakit atau tidak dari sudut perubatan, psikologi mahupun sosiologi. Menurut beliau, soal tersebut merupakan satu persoalan khusus yang memerlukan kenyataan lisan dan keterangan pakar-pakar perubatan. Walaupun kelak GID dan golongan trangender disahkan oleh pakar sebagai berpenyakit ataupun sebaliknya, itu bukanlah isu yang utama dari sudut perundangan. Justeru apakah isu yang utama dari persepktif perundangan berkaitan kes transgender ini? Isu utamanya ialah pertindihan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah. Apa yang berlaku ialah dua pendekatan dan penafsiran yang berbeza terhadap isu transgender cross-dressing yang sedang dipertikaikan ini.

Bilamana mahkamah sivil mengambil pendekatan penafian hak kebebasan terhadap mereka, Mahkamah Syariah mengambil pendekatan yang layak baginya iaitu berasaskan neraca Syarak. Justeru persoalannya adakah golongan transgender yang secara biologinya masih seorang lelaki melakukan kesalahan syarak dengan berpakaian menyerupai wanita? Adakah Seksyen 66 itu bertentangan dengan hukum syarak dalam menentukan perkara tersebut? Yang pastinya, Seksyen 66 mematuhi hukum syarak yang jelas melarang lelaki berpakaian seperti wanita, satu perbuatan yang mengundang laknat dari Allah SWT. Justeru keadilan dari perspektif Mahkmah Syariah dalam isu ini ialah dengan mendakwa ketiga-tiga perayu transgender tersebut kerana telah dengan jelas menyalahi hukum syarak.

Tuan Haji Haniff menjelaskan bahawa tidak timbul persoalan samada undang-undang tersebut tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan otoriti-otoriti berkaitan. Yang terpenting, hanya Mahkamah Persekutuan yang sebenarnya layak untuk mendengar sebarang semakan kehakiman sebegini, bukannya mana-mana mahkamah yang lebih rendah termasuk Mahkamah Rayuan. Beliau seterusnya menjawab lebih kurang 10 soalan yang ditanyakan oleh audien yang menunggu sehingga ke akhir program. Kesimpulannya, isu transgender ini hanyalah merupakan salah satu dari rentetan kes-kes pertindahan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah termasuklah kes pertukaran agama, perebutan jenazah dan hak penjagaan anak-anak dalam kes melibatkan salah satu pasangan bukan Islam.

Pertindihan bidang kuasa inilah yang sebenarnya isu besar yang mendasari persoalan transgender dan isu-isu kontroversi di atas walaupun peruntukan yang jelas telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa kedudukan Mahkamah Sivil “tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah”. Kerajaan Negeri Sembilan telahpun menghantar kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Pasti ramai yang ternanti-nanti apakah yang akan berlaku di Mahkamah Persekutuan kelak.

Apakah nasib dan masa depan golongan trasngender di Malaysia? Bagaimanakah pula kesan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap enakmen syariah di negeri-negeri? Sewaktu menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut, Haji Haniff menasihatkan para hadirin agar tidak menjadi ‘penunggu’ yang menantikan sesuatu yang belum pun lagi bermula. Segalanya hanya akan bermula, ujar beliau lagi, apabila Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran Kerajaan Negeri Sembilan untuk merayu. Sehingga itu berlaku, Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Sembilan kekal secara status quo sebagai satu peruntukan yang absah dan selari dengan hasrat Perlembagaan Persekutuan.

 

 

 

< div class="fb-post" data-href="https://www.facebook.com/media/set/?set=a.919266384752682.1073741881.126121114067217&type=1" data-width="466">

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo