Catatan Isu Semasa Konflik Saudi-Yaman

March 30, 2015
editor-media

Disediakan Oleh Marwan Bukhari

1) Isu di Yaman bukan semata-mata berasaskan sektarianisme Sunni-Syiah. Pemberontakan Houthis turut disokong beberapa kabilah Sunni. Tanpa nafikan, api sektarianisme dinyalakan oleh sebahagian kuasa besar dunia dan para pengikut yg taksub.

2) Arab Saudi bukan hero, bahkan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebelum ini. Houthis sebelum ini bukan sahaja mendapat bantuan dana dari Iran, bahkan Raja Abdullah yang sudah mati, pada hayatnya membantu gerakan Houthis, bertujuan menjatuhkan parti pro-Ikhwan di sana, sebab itu Universiti Iman antara menjadi sasaran, kerana universiti Iman merupakan antara pusat pengkaderan parti pro-Ikhwan tersebut.

3) Arab Saudi pada zaman Abdullah, sebagaimana mereka menyambut Ben Ali yg dijatuhkan rakyat Tunisia, mereka juga yang memberi perlindungan kepada Ali Abdullah Salleh yg telah dihalau rakyat Yaman pada awal kebangkitan Arab. Ini hujah penting utk menjelaskan bahawa Saudi bukan hero, tapi pencipta masalah dan sekarang di bawah Raja Salman, zahirnya mereka dengan dasar berbeza berbanding bawah Abdullah. Pada zaman Abdullah, Saudi takut kebangkitan di yaman boleh merebak ke Saudi kerana dari segi geografi, Saudi sangat dekat dengan Yaman.

4) Apa yang dilakukan Saudi pada zaman Abdullah turut disokong negara proksi US seperti UAE. Saudi (terutama pada zaman Abdullah) dan UAE berperanan penting dlm cipta kacau bilau di negara-negara spt Libya, Mesir dan Yaman. Fokus mereka ialah “counter-revolution”, kerana mereka khuatir dengan kebangkitan “spontan” rakyat di Asia Barat sejak empat hingga lima tahun belakangan ini.

5) Demikian juga UAE, pelbagai kepentingan perlu dijaga, terutama kepentingan AS dan jaminan keselamatan Israel, maka berhubung counter-revolution yang sedang berlaku sekarang, sifir penting sebahagian pemerhati politik ialah “di mana ada counter-revolution, di situ ada UAE”. Sebab itu sebahagian pihak akan khuatir dengan sikap UAE yang menyokong sebahagian ulama dalam ‘mempromosikan keamanan’, kerana keamanan versi UAE itu sudah tentu boleh diteka apa yang dimahukannya.

6) Keadaan amat rumit dan terus menjadi semakin kompleks. Antara apa yang terlihat ialah, siri kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Arab sangat ditakuti oleh AS dan beberapa buah negara teluk kerana dibimbangi kepentingan mereka terjejas, selain jaminan keselamatan terhadap Israel. Sebab itu, Mesir harus diselesaikan secepat mungkin, dan Mesir sudah mereka ‘selesaikan’ dengan seorang diktator bernama al-Sisi setelah setahun pemerintahan Morsi.

Adapun dalam negara seperti Syria, AS seperti mahu negara tersebut terus dalam krisis dan tiada pemenang. Hal tersebut kerana jika pemerintah Syria sekarang yang menang, AS memang sedari awal tiada hubungan baik dengannya, adapun jika penentang Bashar Asad dan kerajaannya, turut ada kemungkinan untuk mereka tidak dapat melaksana dasar dan polisi AS di Asia Barat. (Lihat contohnya ulasan pemikir strategik yang turut menjadi antara pemikir dasar-dasar luar AS, Edward Luttwak bertajuk: “In Syria, America Loses if Either Side Wins” bertarikh 24 Ogos 2013)

7) Serangan oleh pakatan beberapa negara teluk (tanpa Oman, dan termasuk Mesir) diketuai oleh Saudi (dan disokong AS) tidak boleh dibaca menerusi semangat “anti-Amerika” semata-mata, lalu menafikan hak rakyat Yaman yg memerlukan bantuan. Hal yang demikian kerana kerosakan yg dilakukan oleh Houthis dan counter-revolution yg didanai beberapa negara sebelum ini sudah sgt teruk. Namun untuk menyatakan pakatan tersebut sebagai hero, ia masih terlalu awal.

Beberapa jaminan mesti diberi terhadap rakyat Yaman, antaranya ialah mereka mesti dibenarkan memilih sendiri barisan kabinet pemerintahan mereka selepas ini, bukannya dilantik mana-mana diktator yang menjadi proksi kepada mana-mana kuasa. Demokrasi mesti dikembalikan dan disokong, bukan retorik demokratisasi sbgmana telah dilakukan AS (dgn bantuan Saudi pada zaman Abdullah dan UAE) terhadap Mesir.

8) Suatu yg menarik utk dilihat ialah dasar-dasar luar Iran akhir-akhir ini terhadap isu-isu di Asia Barat yg menampakkan sikap politik mereka, khasnya di Iraq, Yaman dan Syria. “Kebangkitan Iran” (sebagaimana dinamakan sebahagian pemerhati politik) dan beberapa isu berkaitan rundingan nuklear akhir-akhir ini menampakan dasar politik kekuasaan mereka. Paling penting yang wajar dibaca, perlu dibezakan antara perbahasan polisi/dasar kepolitikan dan hal-hal perdebatan teologi.

Penglibatan Iran tidak semestinya menunjukkan ia isu antara Sunni dan Syiah semata-mata, meskipun itu yang cuba dinyalakan sebahagian pihak dan pelampau sektarian dari kedua-dua belah pihak. Sektarianisme tiada kebaikan langsung. Isu yg ketara ialah kekuasaan, bahkan turut melibatkan percaturan kuasa-kuasa luar.

9) Semoga Asia Barat kembali aman dalam masa terdekat. Pada akhirnya kita boleh bersetuju dengan Ahmet Davutoglu dalam satu kenyataannya semasa berbicara tentang apa yang sedang berlaku di dunia Arab bahawa apa yang sedang berlaku merupakan “the natural flow of history”, ia pernah berlaku dalam sejarah dan akan terus berlaku perlawanan setelah didahului dengan pelbagai kezaliman. Ia tidak berlaku secara tiba-tiba, bahkan ia didahului dengan kezaliman dan kediktatoran oleh kebanyakan pemerintah di Asia Barat yang turut diredhai negara-negara kuasa besar spt AS, walaupun atas mantik “demokratisasi”. 

Dipetik dari sumber marwanbukhari.com

 

 

[Beberapa catatan ringkas berhubung isu di Yaman dan Asia Barat]1) Isu di Yaman bukan semata-mata berasaskan…

Posted by Marwanbukhari.com on Saturday, 28 March 2015

 

 

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo