
Ramadhan Kareem. Ramadhan menjelma lagi untuk tahun ini. Alhamdulillah kita memanjatkan sebanyak-banyak kesyukuran kerana Allah s.w.t telah memperkenankan doa kita yang mengimpikan terpilihnya kita mendampingi Ramadhan kali ini. Buat mujahid dakwah, bulan Ramadhan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan.
Ramadhan membawa mesej yang amat kuat dalam menyempurnakan misi dakwah kita. Ramadhan membawa mesej yang universal, iaitu perkongsian derita tanpa dibatasi tembok material, pangkat, kedudukan mahupun darjat. Kelaparan yang dirasai tatkala menjalani ibadah puasa, adalah rasa yang dihadapi saban hari oleh mereka yang terpinggir dari arus perdana masyarakat hari ini.
Ia seharusnya menimbulkan kesedaran bahawa wujud ketidakadilan dalam masyarakat sehingga ada golongan yang hidup dalam kekenyangan dan ada golongan yang hidup dengan kelaparan dan penderitaan. Maka dari titik inilah bertolaknya perjuangan menghapuskan kezaliman yang menjelma dari kerakusan nafsu serakah.
Nafsu buruk yang ada dalam diri setiap manusia mesti dikekang sehabisnya. Kelaparan bukanlah satu penyeksaan bagi mereka yang berjuang di jalan Allah. Ia adalah satu tarbiah jiwa yang mahukan kita sentiasa dekat dengan nasib dan sanubari umat. Selaku mujahid dakwah, kita seharusnya khuatir jika terleka dan terlalai dibawa arus kemewahan yang melampau. Ia adalah tarbiah dari Allah s.w.t agar seluruh mujahid dakwah sentiasa berdampingan dengan umat. Jangan biarkan nasib umat tidak terbela.
Seharusnya kita sedar bahawa pembelaan umat tidak cukup dipentas-pentas ceramah atau pun kajian akademik sahaja, tetapi perlu kepada tindakan yang kemas dan bersungguh-sungguh. Jangan bicara soal pembelaan rakyat termiskin jika hati dipenuhi kebakhilan. Itulah falsafah zakat fitrah yang perlu ditunaikan dalam bulan yang mulia ini. Amal menghambat niat dan kesedaran kita.
Kita mesti bertindak dengan segala upaya agar misi dakwah kita dirasai oleh segala kelompok umat hari ini. Selain dari itu, Ramadhan juga adalah pintu masuk untuk kita menyelongkar permasalahan umat. Setiap individu, kelompok dan golongan yang kita temui sepanjang Ramadhan ini berpotensi sebagai permulaan untuk kita mencarta gerak kerja dakwah kita. Jangan jadikan aktiviti dakwah kita sebagai aktiviti musiman.
Dakwah bukan program untuk mempromosi individu bagi mendapat populariti atau kedudukan. Dakwah juga bukan dilaksanakan secara sampingan atau tempelan. Dakwah bukan program ‘touch and go’. Dakwah perlu kepada kesungguhan. Kesungguhan bukan terpamer pada impian atau cita-cita sahaja. Kesungguhan terletak pada perancangan, tindakan, penilaian dan muhasabah.
Jika kita terpersona dengan kata-kata muluk tanpa sebarang tindakan maka tiada bezanya antara kita dan pungguk yang merindukan sang bulan purnama. Dakwah perlu kepada perancangan strategik. Maka setiap anggota angkatan dakwah ini perlu berikhtiar untuk mengadakan satu perancangan strategik dakwah di segenap peringkat dan kumpulan sasar. Ia mesti diusahakan dengan serius dan efisyen. Akhir kalam, semoga kebersamaan kita dengan Ramadhan ini akan terus dipelihara Allah sehingga segala amal kita diterima sebaiknya.
Semarakkan Ramadhan Dengan Ibadah!
Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah!
AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
[Sumbangan Ramadhan] Ramadhan: KSSB Sasar Bantu 7,000 KeluargaSegala sumbangan dalam bentuk wang boleh diagihkan…
Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Wednesday, 17 June 2015
