
23 November 2015, Bangi:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan tahniah buat yang menerima sijil serta anugerah sempena dengan Majlis Konvokesyen (Kursus Latihan Perguruan SERI/SEMI/Tahfiz ABIM) Kali Ke-7 dan Anugerah Khidmat Setia Dan Kecemerlangan Yayasan Takmir Pendidikan yang diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya. Kursus Latihan Perguruan SERI-SEMI-TAHFIZ ABIM merupakan program pembangunan serta latihan potensi serta profesionalisme perguruan pendidik-pendidik SERI-SEMI-TAHFIZ.
Manakala program Anugerah Khidmat Setia Dan Kecemerlangan pula adalah pengiktirafan kepada khidmat yang diberikan para pendidik SERI-SEMI-TAHFIZ ABIM dalam menjayakan gagasan pendidikan Al-Hikmah. Kedua-dua majlis tersebut diadakan selepas beberapa sekolah SERI ABIM di seluruh negara telah mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan UPSR dan PSRA (SERI ABIM Sungai Ramal).
Dalam ucaptama perasmian kedua-dua majlis tersebut, Presiden WADAH, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mengingatkan bahawa institusi-institusi pendidikan ABIM, merupakan mekanisme penting untuk merealisasikan gagasan untuk membentuk pemimpin masa depan yang berjiwa ummatik dan akan memperjuangkan maruah Islam. Naib Presiden ABIM, Cikgu Khairuddin Abas, menzahirkan apresiasi terhadap pencapaian serta jasa guru-guru institusi pendidikan ABIM lewat puisi berikut:-
Jiwa Muadib Jiwa Murabbi
Mendidik Insan Setiap Detik
Pendidik Mujahid Tekad Berbakti
Melahirkan Insan Berjiwa Ummatik
Al Fateh Inspirasi Memugar Jiwa
Semangat Waja Pendidik Wibawa
Ilmu Dipahat Akhlak dibaja
Memudah Jalan Menuju Ke Syurga
