Subhashini-Saravanan Hidup Bahagia Sebagai Pasangan Islam

June 29, 2016
editor-media

Sempena Ramadhan 1437 Hijrah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menghulurkan sumbangan kepada R Subashini atau nama Islamnya Shafirah yang kini menetap bersama suami dan tiga orang anak di Cheras, Kuala Lumpur. Bantuan berupa sekampit beras, barang keperluan harian, dan sejumlah wang tunai telah diserahkan oleh Setiausaha Agung ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Exco Mohd Firdaus Hamsin di kediamannya.

Subashini adalah nama yang tidak asing dalam topik perbahasan berkaitan isu bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Syariah apabila tuntutan hak antara beliau dan suami di Mahkamah Persekutuan telah menjadi satu kes yang menggemparkan negara (kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray & Lain (2007).

Kes ini bermula apabila Subashini memfailkan petisyen perceraian kerana suami beliau telah memilih untuk memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah. Walaubagaimanapun, petisyen perceraian telah difailkan terlalu awal daripada tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA).

Kes ini berlanjutan hingga membawa kepada tuntutan hak penjagaan anak-anak dan isu status agama anak-anak mereka sama ada masih kekal dengan agama Hindu atau pengislaman anak-anak dianggap sah di sisi undang-undang. Walaubagaimanapun, pertentangan kedua-dua pihak akhirnya telah menemui jalan penyelesaian setelah R Subashini pada tahun 2010 telah diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam di Pejabat Islamic Outreach ABIM yang beralamat di Masjid Negara.

Setelah memeluk Islam, beliau dikenali sebagai Shafirah dan kini hidup bahagia bersama suami (Muhammad Shafi @ Saravanan) serta anak-anak;-Muhammad shazrul, Muhammad Shazlan & Nur shameera danisha. Namun, kini beliau mengalami masalah buah pinggang dan kencing manis dan selalu mendapatkan rawatan di hospital.

Manakala Muhammad Shafi yang bekerja sebagai kelindan lori masih mengalami sakit tulang bahu susulan kemalangan jalan raya pada tahun lepas. Muhammad Shafi (dahulu dikenali sebagai Saravanan), bagi pihak keluarga mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka menerusi tabung Infaq Ramadhan. Dan berdoa semoga segala dugaan yang dihadapi keluarga beliau dan saudara baru lain dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah S.W.T.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo