KENYATAAN MEDIA
Usaha Diplomatik Perdana Menteri Menangani Isu Myanmar Perlu Diberi Perhatian & Pengiktirafan.
24 April 2025 / 25 Syawwal 1446H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk pada inisiatif diplomatik YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha menangani krisis kemanusiaan yang berpanjangan di Myanmar.
ABIM menyambut baik pendekatan diplomatik yang inklusif melalui pertemuan bersama kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN di Bangkok serta sesi perbincangan secara maya bersama pihak Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar.
Pendekatan ini jelas menunjukkan komitmen Malaysia dalam memastikan keamanan, dialog terbuka dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Myanmar yang terjejas pasca bencana gempa bumi.
Peranan Malaysia merupakan langkah penting dalam membina kepercayaan serta membuka ruang untuk penyelesaian yang adil dan berkekalan setelah lama Myanmar kelihatan disisihkan akibat pertembungan dalaman. ABIM melihat inisiatif ini sebagai model diplomatik tahap tinggi yang perlu dijadikan teras utama dalam kalangan negara-negara ASEAN.
ABIM turut menekankan usaha interaksi dan dialog dengan Myanmar telah berjaya menghentikan konflik bersenjata atas asas kemanusiaan dan ribuan tahanan politik juga telah dibebaskan.
Ini membuka ruang untuk merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk krisis kemanusiaan yang berlaku terutamanya membabitkan beberapa komuniti dalam Myanmar termasuk Rohingya, yang telah berlarutan sehingga membebankan negara-negara serantau.
Untuk itu Malaysia perlu terus memperkukuhkan organisasi ASEAN sebagai platform diplomatik yang dapat berperanan dengan lebih proaktif dan berkesan.
Peluang ini perlu diambil untuk secara lebih serius menyelesaikan isu pelarian Rohingya yang berlarutan sekian lama. Ruang yang sama wajar dilakukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk terus mengadakan rundingan dan dialog bersama kumpulan berkepentingan lain dalam Myanmar.
ABIM menegaskan Malaysia mesti terus berperanan secara konsisten dalam menegakkan hak asasi manusia di peringkat serantau dengan memanfaatkan kuasa diplomatik untuk membuat perubahan.
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
