
17hb Disember 2018 (Isnin) : Alhamdulillah, Presiden, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim bersama pimpinan ABIM telah mengadakan pertemuan bersama Dr. Zainab Al-Alwani di Hotel Movenpick, KLIA, Sepang. Dr. Zainab menekankan keperluan kerjasama erat antara aktivis dalam kalangan lelaki dan wanita, bagi menghadapi cabaran dakwah masa kini, yang mencapah dan penuh dengan tribulasi.
Beliau juga menekankan keperluan menjaga hubungan sesama suami isteri, ibu bapa, serta keluarga bagi membentuk ekosistem yang harmoni, sebagai cerminan kepada masyarakat yang bertamadun. Terdahulu, pada 14hb Disember 2018 (Jumaat), Dr. Zainab telah muncul dalam Program Wacana Intelek “Maqasid Quraniyya on Ethics of Disagreement: Challenges and Way Forward for Malaysia” anjuran ABIM, dengan kerjasama PKPIM dan UIAM Gombak di Dewan Senat, UIAM Gombak.
Dr. Zainab merupakan Pengarah dan Pengasas Pengajian Islam di Howard University School of Divinity, Amerika Syarikat, dan Ahli Lembaga Pengarah Karamah Institute Muslim Women Lawyers for Human Rights, Washington DC, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah anak kepada ilmuwan Muslim tersohor, Almarhum Syeikh Dr. Taha Jabir Alwani.
Beliau juga sebelum itu pada 11hb Disember 2018, telah membuat pengisian dalam Wacana Intelektual anjuran SALWA WADAH bertajuk, “Empowering Women & Global Challenges: The Quranic Model”, di Bangi.
