
Tahukah sahabat-sahabat, Syeikh al-Albani rahimahullah di samping mengkaji, beliau juga bekerja dengan menjadi tukang jam di Damsyik?
Di atas sebelah kiri resit ada kenyataan diberi,
“Pegangan kami di dalam jual beli dan pembaikan (jam) ialah hadith yang mulia: Sesungguhnya agama ini nasihat.”
Rahimahullah, sampai ke resit pun jadi medan dakwahnya.
Qudwah dan teladan buat Muslimin yang terlibat dalam perniagaan, untuk mentadabbur hadith ini. WAllahi, kalau hadith ini benar-benar dihayati peniaga Muslim, tidak akan berlaku khianat dan penipuan kepada pembeli.
Indahnya Islam…

Dalam Islam, perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah Rasul ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’.
Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.
Diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiyAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam berjalan-jalan di kawasan pasir bandar Madinah.
Baginda melewati selonggok makanan. Lalu Baginda memasukkan tangan ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah, maka Baginda pun bertanya “Apakah ini wahai pemilik makanan?”
Pemilik menjawab: “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.” Lalu Baginda bersabda yang maksudnya: “Mengapa kamu tidak meletakkannya di bahagian atas makanan agar manusia dapat melihatnya. Barang siapa menipu maka dia bukan dari golongan kami.”
Dalam perniagaan, sememangnya semua peniaga mahukan keuntungan, namun dalam mencari keuntungan, para peniaga hendaklah menitik beratkan kejujuran dan sikap amanah. Ini kerana kejujuran dan amanah itu merupakan antara punca mendapat keberkatan dalam rezeki.
Marilah kita sentiasa mempastikan bahawa sumber rezeki yang kita perolehi itu adalah dari sumber yang halal dan sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang dilalaikan oleh urusan perniagaan dan jual beli daripada mengingati Allah Subhanahu wa-Ta’ala.
Surah An-Nur ayat 37 tafsirnya: “(Iaitu) orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak juga oleh jualbeli daripada mengingat Allah, dan daripada mendirikan sembahyang serta membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan berbolak-balik (disebabkan huru-hara hari kiamat itu).”
Islam amat menggalakkan umatnya berlaku jujur dalam urusan jual beli. Ini disebabkan hasil daripada jual beli itu akan menentukan halal atau haram untuk makanan anak dan isteri. Begitu juga dengan penjual dan peniaga yang lain sewajarnya berniaga dengan penuh etika.
Melalui amalan kejujuran dan amanah dalam berjual beli akan melahirkan masyarakat harmoni dan sejahtera serta bertimbang rasa. Seterusnya, akan menghindarkan penipuan dan perbalahan antara penjual dan pembeli berkaitan harga dan juga barangan yang dijual.
Begitulah, indahnya hidup bersyariat.
#SebarkanSalam
Sumber: Ustaz Syafiq Ismail at-Tauhidi (Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat)
