ABIM Akan Anjurkan Silent Protest Protest Untuk Rohingya Pada 30 Mei

May 23, 2015
editor-media

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bakal menganjurkan protes senyap atau “silent protest” di Kuala Lumpur bagi membantah keganasan dilakukan pemerintah Myanmar terhadap etnik Rohingya dan mendesak hak kerakyatan diberikan.

Naib Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahman berkata, “silent protes” itu merupakan sebahagian kempen memperjuangkan Rohingya agar diiktiraf sebagai warganegara yang bermaruah di bumi kelahiran mereka sendiri.

“Silent protes ini kita akan adakan di beberapa kawasan sekitar ibu kota Kuala Lumpur, seperti di Masjid Jamek, pusat Dataran Merdeka dan tempat lain berdekatan dan Abim bersama dengan beberapa NGO lain dan gerakan anak muda menjemput kepada semua masyarakat terutama generasi muda untuk menyertai kita berhimpun.

“Perhimpunan kita secara aman, memang tidak buat apa-apa, tidak cakap apa-apa. Ia protes bisu sebagai simbolik kepada bisunya kita yang banyak mendiamkan diri, ” katanya pada sidang media selepas menyampaikan penyerahan sumbangan kepada keluarga pelajar Rohingya di Klang, Selangor hari ini. Program tersebut merupakan anjuran bersama Abim dan Global Peace Mission (GPM) dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Muslim Charity United Kingdom.

Seramai 150 keluarga daripada 260 pelajar Rohingya di pusat pendidikan itu menerima bantuan seperti wang tunai, makanan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan sebagainya. Sementara itu bagi Pengarah Program dan Polisi Muslim Charity United Kingdom Irfan Rajput berkata, mereka bersama organisasi lain akan menyokong dan menyuarakan isu hak kerakyatan kaum Rohingya di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama beliau juga mendesak negara Asean terutama Malaysia untuk bersama menyokong kempen ini dan menyuarakan dengan lantang menggesa Myanmar melalui persidangan dan dialog antarabangsa. “Kerakyatan untuk Rohingya mungkin merupakan kempen kecil digerakkan oleh rakyat Malaysia namun kita menyuarakan kempen ini secara global sebagai pertubuhan Muslim dan organisasi masyarakat awam, di UK, atau di Eropah kita secara aktif bercakap mengenai isu ini.

“Dan kita menggesa kerajaan menyokong dan menyuarakan secara aktif mengenai kempen tersebut. Kita mahu mereka (Malaysia, Thailand dan Indonesia) dan beberapa negara Asean bercakap mengenai isu ini dalam bentuk peringkat kerajaan, di persidangan Asean, di Pertubuhan Bangsa Bersatu atau apa sahaja forum yang membincangkan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau pada masa sama mengutuk tindakan Myanmar yang menafikan hak asasi etnik Rohingya dan menyifatkan ia tindakan paling kejam pernah berlaku dalam sejarah manusia. “Myanmar merupakan satu-satunya negara yang menggunakan undang-undang untuk kaum Rohingya mendapatkan kebenaran berkahwin dan melahirkan anak.

“Kerana itu saya juga menggesa setiap organisasi di dunia ini yang percaya pada hak asasi dan saya percaya dalam agama masing-masing seperti Kristian, Budhha, Islam menjamin sifat kemanusiaan untuk turut bersama membantah ketidakadilan ini.” – 22 Mei, 2015. – Sumber: The Malaysian Insider

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR