ABIM Anjur Majlis Pra-Tayangan Filem IMAM di Hotel TAMU, KL

February 18, 2023
Admin Abim

ABIM ANJUR MAJLIS PRA-TAYANGAN FILEM IMAM DI HOTEL TAMU, KL

10hb Februari 2023: Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Pra-Tayangan Khas Filem IMAM anjuran ABIM di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur.

Antara yang hadir dalam program penuh bermakna ini adalah Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM); Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri); Profesor Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff [Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri]; Sdra. Muhammad Kamil bin Abdul Munim (Setiausaha Politik Menteri Kewangan); Ustaz Dr. Muhammad Razak Idris [Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)]; Prof. Dr. Nasir bin Ibrahim (Ketua Pegawai Eksekutif FINAS); dan ramai lagi tetamu kenamaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof Madya Datuk Dr Muhammad Nur Manuty (Presiden Kolej Dar al-Hikmah – KDH); Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman (Presiden WADAH); Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia – IKIM); serta Dato’ Mohammad Nor bin Mohd Khalid (Kartunis – Dato’ Lat).

Turut tampil dalam majlis ini adalah para tonggak serta teraju IMAM seperti Sdra. Mior Hashim Manap dan Puan Izzaidah Khairan (Penerbit & Pengarah Filem IMAM) serta para pelakon seperti Datuk M. Nasir; Dato’ Rahim Razali; Sdra. Sani Sudin; Dato’ Jalaluddin Hasan; Vanidah Imran; Sdra. Dewa Sapri dan ramai lagi.

IMAM merupakan sebuah filem adaptasi novel Sasterawan Negara, Almarhum Abdullah Hussain yang diterbitkan pada tahun 1995. ABIM merupakan rakan strategik utama naskah hebat ini, yang akan ditayangkan di 45 buah pawagam bermula 2hb Mac 2023. Filem wajib tonton 2023!

Bersempena filem Imam yang bakal ditayangkan di pawagam pada 2 Mac ini, pelakon utamanya, Datuk M Nasir turut menyanyikan lagu runut bunyinya (OST) berjudul Munajat. Munajat juga adalah single terbaharu M Nasir selepas sekian lama sejak album terakhirnya, Sang Pencinta pada 2006. Lagu dan lirik ciptaannya itu pasti dinantikan ramai.

Nilai estetika karya yang dihasilkan penyanyi legenda ini tidak dinafikan cukup mengagumkan. Sentuhannya kerap menampilkan kedalaman mesej yang sangat tinggi nilainya. Demikian juga Munajat yang menurut M Nasir secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati.

Beliau menggalas kepercayaan menghasilkan lagu itu dan diterbitkan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd. Ia bagi menyemarakkan lagi impak Imam karya Mior Hashim Manap yang juga adalah penerbit filem itu.

Bergelar seniman serba boleh, M Nasir sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni seperti lukisan, pembikinan arca dan lainnya termasuk bidang lakonan. Beliau juga terkenal dengan watak ikonik seperti Bujang dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Desa dalam filem Balada dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang. Kali ini beliau memegang watak seorang imam.

Filem Imam terbitan Al-Kahfi Pictures Sdn Bhd adalah sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang turut dibintangi Vanida Imran dan Faizal Hussein. Filem itu mengisahkan kepulangan Imam Haji Mihad (lakonan M Nasir) ke kampungnya, Kampung Anggrik Desa, selepas lama menghilangkan diri.

Dia kemudian dilantik penduduk kampung untuk menjadi imam baharu menggantikan imam tua, Haji Abdul Rahman. Dia berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid terbabit. Bagaimanapun, usahanya berdepan tentangan daripada penduduk perkampungan itu yang ternyata masih ‘jumud’.

•••

Menyumbanglah seikhlas hati anda, walaupun RM1. Klik: https://www.billplz.com/kssb1444h

Dan sertai ABIM di sini: https://www.abim.org.my/daftar-keahlian-online/

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR