ABIM bersama 50 NGO hantar bunga raya & panda, desak kerajaan China hentikan penindasan terhadap etnik Uyghur

July 6, 2022
editor@abim

5hb Julai 2022 (Selasa): Alhamdulillah, bersama semangat kemanusiaan dan persaudaraan yang tinggi, para aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta wakil daripada 51 buah Badan Masyarakat Madani (CSO) berarak menghantar bunga raya dalam pasu dan patung beruang panda sebagai simbolik, beserta memorandum kepada Kedutaan Besar China di Jalan Ampang sebagai simbolik keamanan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini merupakan kali kelima pihaknya menghantar memorandum ke kedutaan itu agar diberi ruang untuk bertemu dan berbincang mengenai penindasan etnik Uighur di negara republik tersebut.

“Kita bukan ingin bergaduh atau melakukan ancaman atau sebagainya tetapi kita mahu datang menyerahkan memorandum secara aman. Bagaimanapun, lebih lima kali kita hadir, dan respons (yang diterima) amat negatif di mana kerajaan China tidak bersedia untuk menerima sebarang memorandum dan berbincang dengan CSO-CSO khususnya CSO Islam terhadap penindasan yang dilakukan kepada etnik Uighur,” katanya.

Menurut Muhammad Faisal, bagaimanapun usaha dibuat kali ini juga sia-sia selepas tiada langsung wakil dari kedutaan berkenaan datang untuk menerima memorandum yang dihantar.

“Kami mahu berunding dan menyatakan fakta mengenai isu umat Islam Uighur yang mereka nafikan tanpa mengemukakan bukti dan berbincang dengan CSO-CSO Islam serta kemanusiaan di Malaysia,” katanya. Kata Muhammad Faisal lagi, bantahan bukan sahaja datang daripada CSO Islam bahkan ia melibatkan aktivis agama lain.

“Inilah adalah perjuangan universal (kemanusiaan) dan kita konsisten bahawa penindasan terhadap etnik tertentu perlu ditentang,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata wakil-wakil CSO berharap agar kerajaan Malaysia konsisten dalam menyuarakan bantahan terhadap isu kemanusiaan termasuk nasib yang menimpa etnik minoriti Islam itu, selain mengesyorkan agar satu usul dibahaskan di Parlimen.

Ujarnya lagi, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut digesa menentang ketidakadilan yang menimpa etnik Uyghur, sepertimana bantahan terhadap Israel tentang isu Palestin.

Sebanyak 51 CSO mendesak agar kerajaan China menghormati, melindungi hak kebebasan beragama serta memberi perlindungan sama rata kepada etnik Uighur yang berdepan penindasan dan kekejaman di wilayah Xinjiang/rantau Uighur. Desakan tersebut disuarakan menerusi Memorandum Bantahan Keras yang diserahkan kepada Kedutaan Besar China di ibu negara. Setakat ini, dianggarkan 12 juta etnik Uyghur yang kebanyakannya Muslim tinggal di wilayah Xinjiang/rantau Uighur.

#SaveUyghur #PeduliUighur #MeTooUyghur

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR