ABIM Gesa Kebajikan Mangsa Banjir Kelantan Di Bela - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Gesa Kebajikan Mangsa Banjir Kelantan Di Bela

Untuk makluman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggerakkan OPS Skuad Prihatin bagi membantu mangsa banjir di negeri berkaitan. Dalam tinjauan di lapangan terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa. Abim menggesa agar arahan mengosongkan tempat pemindahan sementara ditangguhkan serta-merta sehingga penempatan semula mangsa banjir diselesaikan. Beberapa keluarga yang ditemui di Manek Urai, Kelantan mengadu mereka tiada tempat untuk dituju bagi mendapatkan perlindungan apabila arahan pengosongan tempat pemindahan sementara dikeluarkan. Terdapat beberapa keluarga yang mula membina khemah kecil bagi menempatkan barangan keperluan keluarga masing-masing. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas. Keadaan ini diburukkan lagi apabila masih tiada tindakan yang berkesan diambil untuk mengurangkan sampah sarap di kawasan yang teruk dilanda banjir seperti di daerah Kuala Krai dan Gua Musang. Situasi ini boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit yang mampu mengancam nyawa. Abim juga menggesa satu pelan tindakan diumumkan oleh kerajaan negeri dengan kadar sesegera mungkin bagi memulihkan penempatan semula mangsa banjir. Kelewatan pengumuman ini boleh menyebabkan gangguan terhadap perancangan masa depan keluarga yang terbabit. Sepanjang pengamatan pihak kami banyak premis sekolah di kawasan bencana yang belum dibersihkan. Dalam masa yang sama juga ramai guru turut menjadi sebahagian daripada mangsa banjir. Memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi, Abim menggesa kementerian berkenaan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah-masalah tersebut. Tindakan ini perlu untuk memastikan sesi persekolahan akan datang dapat dijalankan dengan lancar.