ABIM Kecam Serangan Ke Atas Masyarakat Awam Di Perancis - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Kecam Serangan Ke Atas Masyarakat Awam Di Perancis

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam serangan tidak berperikemanusiaan ke atas masyarakat awam di Paris pada ketika ini. Laporan terkini agensi berita Perancis, AFP, memaklumkan serangan ini telah mengorbankan lebih daripada 120 orang. Di samping itu serangan ini dimaklumkan oleh agensi penyiaran British (BBC) telah mengakibatkan kecederaan kepada hampir 200 masyarakat awam . Bahkan ada laporan yang mengatakan ada masyarakat awam yang sedang dijadikan tebusan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

ABIM ingin merakamkan rasa dukacita & ucapan takziah kepada kerajaan Perancis dan seluruh rakyatnya di atas tragedi tidak berperikemanusiaan ini. Sesungguhnya serangan ini bukanlah refleksi terhadap pandangan sarwa umat Islam secara keseluruhannya. ABIM memandang berat dakwaan bahawa serangan tersebut dipertanggungjawabkan ke atas orang Islam.

Ini adalah kerana dakwaan tersebut bakal mengundang implikasi yang sangat negatif terhadap hubungan Islam-Barat dan juga keharmonian masyarakat majmuk di bumi Eropah keseluruhan. Justeru ABIM mengharapkan pihak berkuasa yang berkenaan mahupun agensi media yang berkenaan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung dengan serangan ini.

ABIM juga ingin menggesa masyarakat agar proaktif dalam mengetengahkan keharmonian hubungan antara agama sebagaimana yang pernah dilakukan menerusi kempen #Iwillridewithyou di Australia pada awal tahun lalu. Kempen yang membentuk trending di saluran-saluran media sosial telah terbukti berjaya menangkis persepsi Islamophobia daripada terus berkembang ekoran daripada peristiwa tersebut.

Mohamad Raimi, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)