ABIM KECAM TINDAKAN ISLAMOFOBIA MEMBAKAR AL-QURAN DI SWEDEN

January 23, 2023
Admin Abim

Kenyataan Media ABIM – 23hb Januari 2023 / 1 Rejab 1444H

ABIM KECAM TINDAKAN ISLAMOFOBIA MEMBAKAR AL-QURAN DI SWEDEN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada tindakan biadab Rasmus Paludan, ahli politik perkauman sempit berhaluan kanan Denmark yang membakar kitab suci Al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden pada 21hb Januari 2023 lalu.

ABIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi tersebut yang jelas merupakan jenayah kebencian. Apa yang lebih mendukacitakan, ia dilakukan selepas mendapat kelulusan permit daripada Kerajaan Sweden sendiri.

ABIM turut mendesak agar Kerajaan Sweden mengambil tindakan keras terhadap penjenayah tersebut di samping mengambil langkah-langkah drastik pada masa akan datang bagi mengelakkan merebaknya Islamofobia di Sweden.

Selain itu, ABIM juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Sweden yang mengizinkan pembakaran Al-Quran secara sengaja atas nama kebebasan bersuara.

Sehubungan dengan itu, ABIM menekankan kepentingan dialog, kempen kesedaran dan pendidikan bagi menyuburkan budaya damai, sifat toleransi, saling menghormati dan persefahaman bersama.

Sejak 2014, ABIM turut konsisten menggerakkan pelbagai penerbitan, forum, wacana serta program berkait dengan Mencegah serta Menangani Keganasan Melampau (Preventing/Countering Violent Extremism) dengan kerjasama pelbagai pihak.

ABIM turut menyeru agar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mengeluarkan amaran keras terhadap Sweden bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam antarabangsa tidak berdiam diri.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden ABIM.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR