ABIM Lancarkan Grass Angkat Agenda Alam Sekitar Islami - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Lancarkan Grass Angkat Agenda Alam Sekitar Islami

Grup Alam Sekitar ABIM atau GRASS Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi pada 22 September 2014 / 22 Zulkaedah 1435 H sempena muktamar ABIM Pusat kali ke-43 di Sabah dan telah mengadakan induksi penggerak pertamanya di Bukit Fraser baru-baru ini. Ini adalah bukti kesungguhan ABIM dalam mendidik generasi muda dan masyarakat untuk memperjuangkan isu-isu alam sekitar di Malaysia dan di peringkat global. Agenda alam sekitar bukanlah suatu yang asing kepada ABIM kerana usaha ini telah dimulakan sejak zaman penubuhannya lagi. Antara tokoh alam sekitar yang pernah dilahirkan oleh ABIM adalah seperti Profesor Osman Bakar, Dr. Zaini Hamzah, Encik Kamal Ali, Dr. Zaini Ujang dan beberapa orang tokoh lagi. Malah Pada tahun 1991, ABIM telah menubuhkan Majlis Alam Sekitar ABIM (MASA) dan telah diketuai oleh Dr. Zaini Ujang namun agenda ini tergendala kerana tiada tokoh yang meneruskan agenda tersebut dan keadaan politik semasa pada 1998. Pada 2012 ABIM telah menubuhkan Grup Alam Sekitar (GAS) untuk meneruskan kembali agenda alam sekitar sehinggalah 2014 secara rasminya dikenalikan sebagai GRASS Malaysia.

Agenda Alam Sekitar Islam atau Islamic Enviromentalist ialah gagasan ABIM untuk menginterpretasikan ayat-ayat di dalam Al-Quran di dalam kehidupan umat Islam Malaysia. Jika kita merujuk kisah penciptaan manusia, para malaikat membantah kerana kita dianggap punca kerosakan di muka bumi ini. Namun Allah mempertahankan penciptaan manusia kerana ada perkara yang tidak diketahui oleh malaikat. Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa akan ada sebahagian daripada umat manusia yang akan mempertahankan alam sekitar ini daripada kemusnahan. Manusia adalah khalifah yang harus memelihara, melindungi dan bertanggungjawab atas segala sumber yang Allah berikan kepada kita dengan sebaik mungkin.Malah manusia harus menjalani kehidupan secara kelestarian alam. Hal ini kerana, alam ini dipenuhi tanda-tanda yang mengingatkan kehadiran Sang Pencipta. Alam merupakan panduan utama dan kawan setia keimanan. Allah berfirman dalam Surah Hud, ayat 51 bermaksud: “Dia menciptakan bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.” Dalam perspektif pembinaan tamadun Islam, hubungan manusia dengan alam menjadi satu prinsip utama selain hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia.

GRASS Malaysia merancang menganjurkan latihan dan aktiviti yang selaras dengan kehidupan kelestarian alam (sustainable living). Anjuran kehidupan lestari alam juga dituntut oleh Agama, terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasullulah tentang hal ini. Rasulullah s.a.w bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia (Allah) melihat apa yang kamu kerjakan.”(Hadis riwayat Muslim). Maksudnya alam ini dipenuhi dengan keindahan dan menjadi tugas manusia untuk menjaga dan memelihara agar keadaan itu kekal untuk manfaat manusia. Harapan Grass konsep dakwah hal melalui agenda alam sekitar akan diterima sebagai amal jariah oleh Allah SWT. ABIM dan GRASS ingin menyeru generasi muda dan masyarakat agar sama-sama mendokong agenda yang amat penting ini dan mempelawa generasi muda khususnya untuk terlibat menjadi penggerak GRASS.

GRASS Malaysia boleh dicapai dan dihubungi di https://www.facebook.com/pages/Grass-Malaysia/775778115814114.

JUFITRI JOHA
NAIB PRESIDEN ABIM

MUHAMAD YUSAIMI BIN MD YUSUF
PENGERUSI GRUP ALAM SEKITAR ABIM