ABIM Mesir Anjur Program GoPro

November 24, 2014
editor-media

Pada 21 November 2014 bersamaan 28 Muharram 1436 Hijrah yang lalu ABIM Mesir dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), dengan kerjasama Hospital Pakar Al-Islam, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Education Malaysia Egypt (EME) telah berjaya mengadakan seminar GoPro: Going Professional! buat julung kalinya.

Seminar ini bertempat di Dewan Besar, Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah dan menerima kehadiran peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia daripada pelbagai jurusan pengajian dan muhafazah di Mesir. Dengan bertemakan “Professional Muslims with Roh”, seminar GoPro: Going Professional! direncana dengan matlamat untuk merintis pembentukan muslim professional yang sedar akan kepentingan bekerja dengan sepenuh jiwa. Selain itu, seminar ini bertujuan untuk memupuk sikap kesukarelawanan dan membuka mata para pelajar bahawa terdapat platform untuk berbakti kepada masyarakat di Malaysia.

 

Seminar berdurasi seharian ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan Asma’ al-Husna dan seterusnya bacaan doa bagi memberkati seminar GoPro: Going Professional! Seminar ini diteruskan ucapan pengarah program, Muhammad Ariff Bin Shazwan Mohan dan dirasmikan dengan ucaptama perasmian oleh pegawai Education Malaysia Egypt (EME), Encik Ahmad Zakuan Bin Md Khudzari. Pengisian seminar GoPro: Going Professional! dimulakan dengan pembentangan slot pertama oleh Dr. Ishak Mas’ud, Pengarah Hospital Al-Islam yang bertajuk Understanding and Application of Maqasid and Qawaid As-Shariah.

Di dalam slot ini Dr. Ishak menjelaskan tujuan dan matlamat hukum syariah dalam Islam mengikut keutamaan. Seminar diteruskan dengan pembentangan slot yang kedua dibawah tajuk Ciri-ciri Professional Muslim Mengikut AlQuran oleh Tn. Hj. Mohammad Zamri Zakaria, Pengarah Kanan Perhubungan Korporat YaPEIM. Beliau telah memperjelaskan kriteria-kriteria serta kepentingan untuk menjadi seorang muslim yang professional, dalam bentuk permainan minda yang interaktif.

Slot ketiga pula diisi oleh Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik, Presiden MRA dengan tajuk Sukarelawan: Satu Tuntutan Bagi Professional Muslim. Slot ini menekankan kepentingan mempunyai sifat kesukarelawanan terhadap mahasiswa Malaysia di Mesir pabila berada di lapangan kerjaya kelak. Slot ke-4 dan terakhir sekali diisi oleh Dr. Ishak Mas’ud dengan tema Medical Da’ie. Dalam memastikan kelangsungan penyuburan risalah Islam memerlukan sinergi yang mantap daripada mereka yang pelbagai latar belakang dan kerjaya dan bukan sekadar bidang sains kesihatan atau pengajian Islam sahaja.

Tuntasnya, seminar GoPro: Going Professional! ternyata memberikan impak dan pendedahan yang positif kepada para peserta. Dengan pembentangan dan penerangan berselitkan pengalaman berharga para panelis, ternyata peserta tampak lebih yakin akan konsep dan kepentingan untuk meningkatkan keupayaan diri dari segenap aspek, seiring dengan misi membentuk khayra ummah. Semoga momentum serta percambahan minda hasil daripada seminar ini terus bersemarak dalam diri peserta, dikala bergelar pelajar sehinggalah meniti alam pekerjaan kelak. Insya Allah. “MENGUKUH PEMBINAAN MUBDI’UZZAMAN” Disediakan oleh, (NURASILAH BINTI AHMAD FUAD) Setiausaha GoPro: Going Professional

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR