26 September 2015, Linggi, Negeri Sembilan:- ABIM Negeri Sembilan dan Persatuan Islam Pulau Cocos Australia mengadakan majlis Korban Perdana dengan kerjasama penduduk sekitar Negeri Sembilan. Kali ini ABIM Negeri Sembilan memilih Linggi, Senawang dan Rembau sebagai tempat untuk melaksanakan ibadah korban dengan masyarakat setempat.
Sukarelawan ABIM Negeri Sembilan, wakil penduduk Pulau Cocos dan penduduk setempat bekerjasama menunaikan ibadah korban kali ini dengan suasana yang sangat meriah. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tiga wakil penduduk Pulau Cocos, Australia yang bersama-sama melaksanakan ibadah korban. Terserlah kerjasama dan ukhuwah menerusi ibadah korban ini yang merentasi benua.
Daging korban ini kemudiannya telah dibahagikan kepada golongan yang memerlukan di sekitar daerah Senawang, Seremban, Rembau, Linggi dan Kuala Pilah. Jelas kegembiraan terpancar di wajah penerima setelah diserahkan daging korban yang segar lagi barakah oleh sukarelawan bertugas. Semoga Ibadah korban ini diterima Allah SWT dan dapat merapatkan ukhuwah serta kesatuan umat Islam.
ABIM Negeri Sembilan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Islam Pulau Cocos, Australia kerana memilih kami untuk menjalinkan kerjasama melaksanakan Ibadah korban kali ini. ABIM Negeri Sembilan juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua sukarelawan dan semua penduduk yang terlibat menjayakan majlis Ibadah korban 1436H. Semoga Allah SWT menerima ibadah dan amal kita semuanya.