
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
SKBBK: MEMPERKUKUH PERLINDUNGAN SOSIAL TANPA MEMBEBANKAN RAKYAT
3 Julai 2026 | 18 Safar 1448H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil maklum terhadap kebimbangan yang semakin meluas dalam kalangan pekerja, majikan dan masyarakat berhubung pelaksanaan caruman wajib Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) di bawah PERKESO yang menyediakan perlindungan selama 24 jam kepada pekerja.
ABIM berpandangan bahawa usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara merupakan satu langkah yang wajar disokong. Selaras dengan Maqasid Syariah, Islam menekankan pemeliharaan nyawa, maruah serta kesejahteraan hidup. Justeru, hasrat memperluaskan perlindungan kepada pekerja daripada risiko kemalangan di luar waktu dan tempat kerja mempunyai asas kemaslahatan yang jelas dan bertepatan dengan tuntutan menjaga kebajikan masyarakat.
Namun demikian, perlindungan sosial yang adil bukan sekadar memperluas liputan perlindungan, tetapi memastikan tiada rakyat yang semakin terbeban untuk memperoleh perlindungan tersebut. Reformasi yang baik ialah reformasi yang melindungi rakyat daripada risiko kehidupan tanpa menambahkan beban kehidupan mereka.
Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, pendapatan boleh guna isi rumah yang semakin tertekan serta peningkatan kos operasi perusahaan, pelaksanaan SKBBK perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat. Matlamat yang baik tidak seharusnya dicapai melalui pendekatan yang akhirnya menambah beban kewangan kepada pekerja dan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
ABIM menghormati keputusan yang telah dibuat melalui proses demokrasi dan perundangan. Walau bagaimanapun, setiap dasar awam hendaklah sentiasa terbuka kepada penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat, perkembangan ekonomi semasa serta penilaian terhadap impak pelaksanaannya. Pendekatan ini mencerminkan tadbir urus yang responsif serta menjadi asas kepada pembentukan dasar yang lebih diyakini oleh masyarakat.
ABIM berpendapat bahawa perlindungan sosial merupakan sebahagian daripada konsep takaful ijtima’i, iaitu tanggungjawab bersama antara kerajaan, majikan, pekerja dan masyarakat dalam menjamin kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kos untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara sewajarnya dipikul secara bersama dan tidak bergantung kepada caruman pekerja dan majikan semata-mata.
Sehubungan dengan itu, ABIM berpandangan bahawa terdapat beberapa ruang penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan bagi memastikan pelaksanaan SKBBK benar-benar mencapai matlamatnya sebagai instrumen perlindungan sosial yang adil, mampan dan diyakini rakyat.
Pertama, kerajaan wajar menyediakan subsidi atau padanan caruman bagi tempoh awal pelaksanaan SKBBK, khususnya kepada golongan B40, M40 berpendapatan rendah, pekerja ekonomi gig, pekerja kontrak serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan sebelum ini telah menyediakan bantuan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi menggalakkan penyertaan dan mengurangkan beban pencarum.

Kedua, pelaksanaan SKBBK secara berperingkat perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira kesiapsiagaan pekerja, majikan serta keadaan ekonomi semasa supaya proses peralihan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan tidak menimbulkan kejutan kepada mana-mana pihak.
Ketiga, kerajaan disaran mewujudkan mekanisme semakan berkala yang telus bagi menilai keberkesanan pelaksanaan, kadar tuntutan manfaat, kemampanan dana serta kesannya terhadap kesejahteraan pekerja dan daya saing perusahaan. Hasil penilaian ini hendaklah diumumkan secara berkala bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem perlindungan sosial negara.
Keempat, usaha libat urus bersama pekerja, majikan, kesatuan sekerja, badan profesional, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat madani perlu terus diperkasakan agar setiap penambahbaikan dasar dibuat berasaskan pengalaman sebenar di lapangan, data yang telus serta amalan terbaik.
Kelima, kerajaan disaran menjalankan kajian menyeluruh mengenai isu pertindihan perlindungan bagi pekerja yang telah dilindungi melalui skim takaful atau insurans kemalangan yang menawarkan manfaat yang setara. Kajian ini penting bagi memastikan pelaksanaan SKBBK benar-benar memperluas perlindungan sosial tanpa mewujudkan beban kewangan yang tidak diperlukan kepada pekerja dan majikan. Sekiranya terdapat ruang untuk penyelarasan dasar pada masa hadapan, ia hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan objektif utama SKBBK sebagai instrumen perlindungan sosial negara.
ABIM percaya bahawa kekuatan sesuatu sistem perlindungan sosial bukan hanya diukur melalui keluasan liputannya, tetapi juga melalui keyakinan rakyat terhadap keadilan pelaksanaannya. Perlindungan sosial yang mampan mestilah dibangunkan melalui semangat perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, majikan dan pekerja agar manfaatnya benar-benar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa membebankan mana-mana pihak.
ABIM berharap kerajaan akan terus mendengar pandangan semua pihak dan mempertimbangkan penambahbaikan yang sewajarnya. Pendekatan yang inklusif dan responsif ini bukan sahaja akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap SKBBK, malah memastikan reformasi perlindungan sosial negara dilaksanakan secara lebih adil, lestari dan berteraskan maslahat demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
