ABIM Sertai Komuniti Global Perangi Rasuah - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Sertai Komuniti Global Perangi Rasuah

3 September 2015, Putrajaya:- ABIM telah menyertai gerakan komuniti global ke arah memerangi rasuah menerusi partisipasi Naib Presidennya, Jufitri Joha. Beliau telah dijemput sebagai salah seorang panelis untuk slot perbincangan “The Future of the Fight: Driving Youth Action & Social’ sempena penganjuran International Anti-Corruption Conference anjuran Transparency International.

Slot itu turut menampilkan para panelis yang terdiri daripada pemimpin muda seperti YB Nurul Izzah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Soumaya Belaid, dan Sanyi Emmanuel Sanyi. Perbincangan tersebut telah mengetengahkan beberapa perkara penting ke arah menyuburkan integriti dan ketelusan di kalangan generasi muda.

Antaranya; golongan muda mempunyai peranan yang sangat besar untuk mencegah gejala rasuah daripada terus membarah. Usaha memerangi gejala rasuah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang. Generasi muda boleh memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat menerusi saluran media sosial untuk menimbulkan kesedaran melangkaui kaedah konvensional seperti perbincangan forum mahupun pembentangan dalam seminar dan persidangan.

Sepanjang sessi pembentangan tersebut; Jufitri serta para pembentang turut menegaskan pentingnya untuk generasi muda mengukuhkan jatidiri mereka dengan amanah serta integriti, sebagai gelombang pertama untuk menghakis gejala tersebut. “Generasi muda adalah stakeholder terbesar dalam wacana demokrasi pada hari ini. Mereka mampu melakukan perubahan dalam peristiwa-peristiwa besar yang mencorakkan tamadun manusia. Justeru pendidikan adalah asas utama ke arah mencapai maksud ini”.

Jufitri Joha ketika dihubungi amat mengalu-alukan keterbukaan penganjur mengalu-alukan penyertaan di kalangan pimpinan generasi muda sambil mengulas,” Saya beretuju dengan kenyataan YB Nurul Izzah, “The more you fight against corruption the more Islamic you are!”.”  Tambah Jufitri dalam persekitaran di mana kesedaran generasi muda terhadap gejala rasuah masih rendah,  aktivis Muslim harus aktif masuk ke lapangan perjuangan melawan rasuah ini.