ABIM Tolak Idea Bawa Sabah Keluar Dari Malaysia

September 19, 2014
editor-media

Perlembagaan mengiktiraf wujudnya kesalingan utuh hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri dibawah makna konsep federalisma perlembagaan kesan darpada unsur tradisi perlembagaan yang dipertahankan. Konsep ini memenifestasikan wujudnya dua wilayah kuasa kerajaan iaitu kerajaan persekutuan (kerajaan pusat) dan kerajaan negeri.

Justeru sejak 57 tahun Merdeka nikmat membangunkan negara digerakkan oleh negeri-negeri di semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak. Sabah menerima kesan ini sebagai sebuah negeri yang ada citra tersendiri. Justeru ABIM menolak sikap mana-mana pihak yang membawa cetusan idea untuk mengeluarkan Sabah dari Malaysia. Semangat hasrat rakyat dalam pemilihan suara Suruhanjaya Cobbold harus dipertahankan kerana itu adalah hasrat generasi awal yang kenal erti perit perjuangan awal mendapat kemerdekaan dari penjajah.

Generasi awal diungkapkan oleh Ibn Khaldum dalam al-Muqaddimah sebagai generasi perintis yang mengharungi onak duri gelombang kehidupan. Kemerdekaan harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan jangka panjang bukan hanya dengan momentum ruang litigasi dan dokumen semata-mata. Datuk Nicholas Fung Ngit Chung dalam satu makalah ‘The Constitutional Position of Sabah” menyebut bahawa dalam konklusinya, “However the skilfully drafted a constitution may be, it is useless if it is placed in unworthy hands and no amount of guarantee spelled out in the Sacred Document will be useful unless the Document is operated by men with good judgement, common sense, fairness dan goodwill.”

Keperluan untuk rakyat Sabah berada dalam Malaysia adalah untuk kestabilan, perpaduan dan menjujung semangat ‘ummah’ yang harus dipertahankan. Namun demikian golongan ‘ulul amriy’ harus mendengar rintihan masyarakat dengan lebih tuntas. Sabah harus dibantu dari pelbagai sudut dan dipertingkatkan kemampuan mandirinya dibidang ekonomi, politik, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

Institusi Islam di Sabah juga harus diperkasakan untuk membantu saudara-saudara baru di kawasan pendalaman mendapat pendidikan Islam yang sempurna. Perlu dilahirkan golongan agamawan dan ulama’ dari kalangan pelbagai suku masyarakat Borneo itu sendiri yang pastinya lebih ‘berhikmah’ dan mendasar dalam dakwahnya dan didikannya untuk anak bangsa.

Petikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM Kali Ke-43, “Pembinaan Bangsa Malaysia: Memahami Realiti Kepelbagaian, Mencorak Khittah Masa Depan”, Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR