
6 Mei 2015:- Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abd Aziz serta delegasi ABIM telah menziarahi ibu Allahyarham Fairuz Nizam dan keluarga mangsa korban kemalangan akibat lumba haram myvi. Kemalangan ini telah meruntun hati dan perasaan rakyat Malaysia kerana ia telah meragut kebahagiaan dua orang anak perempuan yang ditinggalkan Allahyarham serta isterinya. Sempena kunjungan ini sumbangan serta derma kilat daripada warga Malaysia prihatin telah disampaikan oleh saudara Muhammad Faisal.
Doa kami, semoga adik Nur Fizura Amira Bt Fairuz Nizam (7) & Nur Fizura Akila Bt Fairuz Nizam (4) sentiasa diberi kekuatan dan kesabaran. Memang teramat berat kehilangan kasih sayang seorang ibu dan bapa, tapi ingatlah Allah amat menyayangi adik kerana sesungguhnya kasih sayang Allah kepada hambanya jauh lebih dari kasih sayang ibu bapa kepada anaknya. Semoga kedua ibu bapa adik juga dalam rahmat kasih sayang Allah di syurga.
Umar bin al-Khattab r.a meriwayatkan bahwa satu ketika dibawa ke hadapan Rasulullah saw satu kumpulan tawanan perang. Terdapat seorang perempuan di kalangan rombongan itu sedang mencari-cari sesuatu ( anaknya ). Setiap kali dia menjumpai bayi di kalangan rombongan tawanan itu maka dia pun terus mengambil dan memeluknya dan menyusuinya. Maka Rasulullah saw pun berkata kepada kami,“Apakah menurut kamu perempuan ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam julangan api?”. Maka kamipun menjawab,
“Tentu saja dia tidak akan sanggup melakukannya, demi Allah. Walaupun dia mampu, pasti dia tidak ingin melemparkan anaknya.” Maka Rasulullah saw pun bersabda : “Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim) ~
