Almarhum Ustaz Dr. Siddiq Fadzil Terima Anugerah Ijazah Kehormat Secara Anumerta, Sempena Konvokesyen Ke-19 USIM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Almarhum Ustaz Dr. Siddiq Fadzil Terima Anugerah Ijazah Kehormat Secara Anumerta, Sempena Konvokesyen Ke-19 USIM

Burung jeladan singgah di huma,

Anak balam turun ke paya;

Budi laksana sinar purnama,

Manusia alam menumpang cahaya.


Alhamdulillah, Setiausaha Kewangan ABIM, Ustaz Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar diberi penghormatan sebagai Bentara sidang 6 dan 7, bersempena Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penerima Anugerah Ikon Alumni USIM 2021 ini juga Pensyarah di Fakulti Kepimpinan & Pengurusan (FKP), USIM. Baru-baru ini, Ustaz Dr. Faridh menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (Governan Islam) dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Dr. Faridh juga diamanahkan mengiringi ahli keluarga Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil (USF), Dr. Farhana Siddiq dan Sdra. Hazim Siddiq, untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam di majlis konvokesyen kali ini.

Bagi menghargai sumbangan tokoh ilmuwan agung yang berjuang demi ummah dan agama Islam, Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud menganugerahkan Ijazah Kehormat secara Anumerta kepada bekas Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USIM, Almarhum Prof. Datuk Dr. Ustaz Siddiq Fadzil.

Pasti berbeza ceritanya sekiranya Almarhum USF masih ada untuk menerima anugerah ini.

Kita pula yang masih tidak tahu apa dan bagaimana penghujungnya. Tapi pastilah pengharapan tertinggi ialah mempunyai husnul-khātimah menunaikan janji menyambung mata rantai perjuangan seperti terungkap dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 23.

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

Kata Almarhum USF: “Kita hari ini dibanjiri dengan idola-ikutan, dalam masa yang sama kemarau akhlaq tauladan.” Banyak lagi tugas kita ini….

‘Ala kulli hal, perjanjian taat-patuh Almarhum dengan Allah Subhanahu wa-Ta’ala selesai-sempurna dan kita sudah menyaksikan balasan sebahagian janji Allah yang benar semasa pemergiannya.

Majlis berlangsung dari 23-30hb November 2021 dan dilaksanakan dalam lapan sesi bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM. Majlis Konvokesyen ini merupakan konvokesyen secara fizikal sepenuhnya yang pertama diadakan selepas penularan pandemik kira-kira dua tahun lalu.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan yang disenaraikan di dalam majlis konvokesyen kali ini.

Sdri. Suwaibah Mustapha dan Sdra. Muhammad Syamim Md Morshid, penerima Anugerah Pelajaran Di-Raja USIM, adalah bukti nyata pengintegrasian Ilmu Naqli dan ‘Aqli yang terangkum falsafah, visi dan misi USIM. Tahniah.

Seramai 2,560 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-19 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pandemik Covid-19 Pemangkin Prosumer Muslim yang Berdisiplin” telah dipilih sebagai tema konvokesyen pada kali ini.

Kenali dan sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti