
Kehangatan pilihan raya Parlimen Turki pada 7 Jun ini semakin dirasai. Sebanyak 550 kerusi parlimen akan direbut oleh calon-calon pilihan raya daripada pelbagai parti. Bagi Justice and Development Party (AKP), pilihan raya ini adalah permulaan separuh masa kedua dalam meneruskan khidmat cemerlangnya menuju wawasan 2023.
Memenangi 327 kerusi pada pilihan raya 2011, kali ini AKP yang diketuai Ahmet Davutoğlu, perdana menteri Turki, meletakkan target 400 kerusi bagi pilihan raya kali ini. Bagi menguasai 2/3 Parlimen, AKP perlu memenangi 367 kerusi. Jika dilihat kepada isu pada 5 tahun kebelakangan ini, 400 kerusi adalah satu angka agak besar untuk dicapai oleh AKP.
Isu seperti Gezi Park, dan pergaduhan dengan Jemaat Gülen menyebabkan 14 ahli Parlimen AKP keluar parti menyebabkan kerusi yang dipegang oleh AKP sekarang adalah 312. Namun, dengan khidmat dan prestasi cemerlang yang dilakukan oleh AKP sepanjang pemerintahannya dijadikan hujah dalam kempen pilihan raya.
Pembinaan hospital, lapangan terbang setiap bandar di Turki, penambahan universiti dan sekolah, sistem pengangkutan dinaik taraf seperti High Speed Train yang menghubungi bandar-bandar besar di Turki, dan banyak lagi projek-projek lain. AKP dengan program “The New Turkey” dalam menuju wawasan 2023 dijangka akan menang undi popular.
Namun persoalannya, apakah AKP berjaya melepasi 2/3 dan seterusnya mampu menukar sistem pemerintahan kepada sistem presiden dengan meminda perlembagaan. Antara parti lain yang turut mewarnai pilihan raya kali ini adalah parti pembangkang, Republican Peoples Party (CHP) yang diketuai oleh Kemal Kılıçdaroğlu, Nationalist Movement Party (MHP) diketuai Devlet Bahçeli, dan People’s Democratic Party (HDP) diketuai Selahattin Demirtaş, bekas calon presiden pada pilihan raya presiden yang lepas.
Menurut kajian awal oleh penganalisis Turki, jika dilihat kepada pola undi pada pilihan raya tempatan dan pilihan raya presiden tahun lepas AKP mempunyai 45-48 % daripada jumlah undi, manakala CHP di antara 25-30%, MHP 15% dan HDP 8 %. Mengikut sistem pilihan raya Parlimen Turki, sebuah parti yang bertanding mestilah melepasi had minimum 10% daripada seluruh undi untuk memasuki Parlimen sebagai sebuah parti. Kecuali ia bertanding pada tiket bebas.
Faktor penentuan kepada kerusi Parlimen pada kali ini adalah pada HDP yang pertama kali bertanding di atas tiket parti. HDP merupakan sayap politik bagi kumpulan pemberontak Kurdish PKK. Selahattin Demirtaş, calon ahli Parlimen Istanbul, adalah calon presiden bagi pilihan raya presiden tahun lepas bertanding melawan Recep Tayyip Erdoğan dan Ekmeleddin Ihsanoğlu.
Pada pilihan raya itu, Selahattin Demirtaş meraih undi sebanyak 9.7 %, atau 3.9 juta undi popular. Jika HDP mampu melepasi halangan 10 % minimum undi itu, kemungkinan akan mengurangkan kerusi AKP di dalam Parlimen kepada 285 kerusi. Untuk melepasi 10% minimum itu, HDP memerlukan 4.8 juta undi. Jika dibandingkan dengan pilihan raya presiden lepas, HDP memerlukan 900 ribu lebih undi lagi. Apakah HDP akan berjaya melepasinya?
Kaji selidik awal masih tidak jelas. HDP mempunyai pengaruh yang kuat di beberapa bandar di timur Turki di mana sebelum ini mereka memenangi dalam pilihan raya Parlimen di atas tiket bebas. Sekarang HDP bergerak ke barat Turki juga apabila, Selahattin Demirtaş sendiri bertanding di Istanbul. HDP juga meraih undi kepada golongan Alevi yang menyokong CHP dan konservatif Kurdish yang menyokong AKP.
Namun isu Agama yang dimainkan oleh HDP untuk menyerang Recep Tayyip Erdoğan dan AKP memakan dirinya sendiri. Di mana HDP di dalam kempennya berkata akan menutup Jabatan Agama Turki dan juga sekolah agama Imam Hatip. Selain itu, Selahattin Demirtaş juga ada mengeluarkan kenyataan Taksim adalah Kaaba bagi Turki dan Jerusalem adalah tempat bagi Yahudi.
CHP pula menjanjikan akan mengembalikan Turki kepada falsafah Kemal di dalam pemerintahannya. CHP juga menentang sistem presiden yang ditawar oleh Recep Tayyip Erdoğan kerana akan menyebabkan presiden Turki tu akan lebih berkuasa dan menjadi diktator. Pilihan raya kali ini bukanlah pertembungan ideologi atau dasar parti politik.
Oleh itu, pembangkang memainkan isu ekonomi. Dengan mengkritik kerajaan lebih mengutamakan pelarian Syria daripada golongan pencen Turki, Kemal Kılıçdaroğlu berjanji akan menghalau 2 juta pelarian Syria. Parti pembangkang juga menjanjikan kenaikan gaji pencen dan kenaikan gaji minimum. Mereka juga menjanjikan pengurangan bil.
Pada 8 Jun 2015 ini, kita akan sama-sama melihat keputusan pilihan raya yang genting ini. Keputusan pilihan raya ini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh rakyat Turki. Saya percaya, di semua negara yang dizalimi, sedang berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk pilihan raya Turki. – 22 Mei, 2015. * Penulis, Mohd Syafiq Syafii merupakan wakil Koresponden ABIM di Turki dan aktivis Malaysia Life Line 4 Syria.
