Badar:- Jihad Pertama di Bulan Ramadhan

May 18, 2019
editor-media

Ust. Hj. Mohammad Syafiq bin Ismail –Exco Penyelidikan ABIM Sabah-

Allah (Islam) merupakan agama yang benar, dan Allah-lah yang akan membantunya. Kebatilan sekalipun dilihat indah tetapi kebenaran akan membatalkannya. Kemenangan akan datang daripada Allah meskipun sebab-sebab kemenangan itu lambat laun munculnya. Wajib ke atas sang hamba untuk berpegang teguh dengan agama ini, sekiranya mereka membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu mereka, firman Allah,

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Ali Imran, 123)

Puasa diwajibkan kepada umat Islam pada Sya’ban tahun 2 Hijrah, seperti dinyatakan Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam Majmuk.

Hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah merupakan hari yang agung dalam sejarah Islam. Allah menamakan hari tersebut sebagai Hari al-Furqan (pemisah antara kebenaran & kebatilan). Rasullullah sallAllahu alaihi wa sallam bersabda tentangnya, “(Baginda berdoa) : Wahai Allah, sekiranya jemaah muslimin ini dihancurkan, tidaklah Engkau disembah di muka bumi ini, (maka bantulah kami).” (HR Muslim) Imam alQurtubi berkata, “Pada hari itulah tertegaknya Islam.”

Nabi sendiri menghadiri peperangan ini, begitu juga turunnya seribu malaikat daripada langit yang dikepalai malaikat Jibril alaihissalam demi peperangan ini. Sesiapa saja daripada kaum mukminin yang menyertai peperangan ini dosanya kesemua diampunkan, diharamkan daripada api neraka, dan kedudukannya di Syurga yang tertinggi. Sesiapa saja daripada malaikat yang menyertainya dimuliakan daripada selain mereka. Peristiwa ini mengandungi teladan dan bukti kekuasaanNya, pelajaran dan mukjizatNya.

Perang Badar merupakan perang yang berlaku antara Muslimin dan Musyrikin Mekah ; perang yang menguji keimanan 313 ahli Badar, dan mengajar Musyrikin Mekah yang meskipun 1000 orang itu, akan kekuatan Allah ta’ala yang tanpa perinya. Tiada seorangpun daripada ahli Badar ini yang mundur daripada medan perang, meskipun dalam keadaan Ramadhan yang terik dan berpuasa, dan hanya berbuka ketika betul-betul di medan perang (HR Muslim). Kesemuanya samada ; pulang ke Madinah sebagai pemenang, atau pulang ke rahmatullah sebagai syahid.

Empat belas orang sahabat telah mati syahid dan ditempatkan di Syurga tertinggi. Ibu kepada Haritsah bin Suraqah (salah seorang sahabat yang mati syahid) mendatangi Nabi dan berkata, “Wahai Nabi Allah, ceritakanlah kepadaku tentang Haritsah!” Baginda menjawab, “Wahai Ibu Haritsah! Sesungguhnya terdapat pelbagai tingkatan Syurga, dan anakmu ditempatkan di Syurga Firdaus yang tertinggi!” (HR Bukhari) Ibn Katsir berkata, “Dalam hadis ini terdapat peringatan yang agung tentang kemuliaan Ahli Badar. Sesungguhnya Haritsah tidak masuk ke tengah medan perang, tetapi merupakan daripada pasukan pemantau daripada jauh. Beliau terkena panahan yang tajam dalam keadaan beliau meminum air daripada telaga, meskipun dalam hal demikian beliau tetap menempati Firdaus. Bagaimana pula dengan mereka yang berdepan dengan musuh (sudah tentulah lebih lagi)?!”

Islam telah sampai kepada kita dengan pengorbanan demi pengorbanan ; jiwa-jiwa dikorbankankan deminya, badan-badan menjadi luka deminya, dan para Rasul, para Siddiqin (mereka yang melazimi kebenaran), para Syuhada dan Malaikat berperang demi mengangkat agama ini dan mengekalkannya di muka bumi. Zaman bertukar ganti, namun agama ini tetap terpelihara secara sempurna hukum-hakamnya dan pensyariatannya, sesuai untuk setiap waktu dan tempat ; kewajipan setiap hamba ialah untuk menganuti dan menurutinya, dan bergembira dengan agama ini, dan menyebarkannya dan membantunya.

Kita memohon daripada Allah agar mengekalkan kita dalam agama ini, dan memberi kita petunjuk ke arah sebaik-baik jalan.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo