
3 hb April 2019: Allhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyertai sesi muzakarah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Menteri Dalam Negeri, tentang isu-isu pancang kenegaraan. Pertemuan ini disertai oleh para pejuang bahasa kebangsaan serta tokoh budayawan.
Perbincangan seputar masa depan Agama Islam, bahasa kebangsaan serta institusi Melayu-Islam di Malaysia. Semoga negara ditadbirkan dengan berdasarkan pancang-pancang kenegaraan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. TS Muhyiddin menegaskan bahawa Kerajaan hari ini jelas dengan dasar Islam dan Melayu sebagai teras utama negara ini.
Beliau terkenal selaku pemimpin yang mengangkat martabat bahasa Melayu, malah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sewaktu beliau menjadi Menteri Pelajaran.
PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, selepas diluluskan pada Julai 2002. 10 tahun berlalu, namun perjuangan membantah perlaksanaan PPSMI, Dual Language Program (DLP) mahupun apa jua usaha memperlekeh bahasa Melayu, takkan pernah padam. ABIM dan PKPIM akan tetap konsisten dalam perjuangan ini, apa juga halangan yang menanti.
Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati. Perkasakanlah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Tapi bukan dengan menidakkan hak para pelajar untuk lebih faham matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa Jiwa Bangsa!
