Bajet 2022 : Tiada Penekanan Terhadap Perancangan Pendidikan Digital Pasca Pandemik - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Bajet 2022 : Tiada Penekanan Terhadap Perancangan Pendidikan Digital Pasca Pandemik

Kenyataan Media
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
30 Oktober 2021 / 23 Rabiul awal 1443 H

Bajet 2022 : Tiada Penekanan Terhadap Perancangan Pendidikan Digital Pasca Pandemik

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada pembentangan Bajet 2022 yang dibentangkan YB Menteri Kewangan.

ABIM menegaskan menerusi pembentangan Bajet tersebut, terdapat beberapa perkara asas yang perlu ditekankan terutama dalam memasuki era pasca COVID-19.

Antara perkara utama adalah tentang perancangan masa hadapan untuk Pendidikan Digital bagi murid sekolah. ABIM merujuk kepada Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri. Antara lain telah memuatkan hasrat untuk meningkatkan pendidikan digital. Walau bagaimanapun, renungan terhadap pembentangan Bajet 2022 tidak memperlihatkan terjemahan kepada hasrat tersebut.

Hal ini amat menggusarkan memandangkan dalam dasar MyDIGITAL turut menyebut perancangan untuk memperkenal program “My Device” untuk memastikan semua murid di Malaysia mendapat akses kepada pembelajaran digital.

ABIM juga berpandangan bantuan awal persekolahan yang dinaikkan kepada RM150 dan bantuan peralatan PdPR kepada guru sebanyak RM100 merupakan suatu yang penting bagi membantu mengurangkan beban murid dan mengiktiraf tugasan guru sepanjang dua tahun kesan penutupan sekolah. Walhal, semua maklum bahawa nilai sebenar wang sendiri yang telah dibelanjakan untuk pembelajaran anak-anak murid adalah jauh lebih besar.

Namun perkara asas yang disebut selama ini perlu diberikan perhatian serius, iaitu perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah kemiskinan digital.

Laporan KPM sendiri telah memaklumkan bahawa  murid yang tiada peranti mencecah 36%, sama ada di bandar dan di luar bandar.

ABIM menegaskan, memasuki era pasca COVID-19 tidak bermaksud kita merencatkan perancangan pendidikan digital tetapi harus diupayakan perancangan tersebut sebagai persediaan menghadapi situasi norma baharu dan cabaran mendatang yang lebih besar.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti