Bajet 2022: Untuk Apa dan Siapa?

November 10, 2021
editor@abim

Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE), Wadah Selangor serta Pertubuhan Salwa Negeri Selangor telah mengadakan Forum Pra Bajet 2022 yang bertujuan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat tentang prospek belanjawan yang bakal dibentangkan oleh kepimpinan negara hujung Oktober ini.

Mengupas tajuk “Bajet 2022 – untuk apa dan siapa?”, program ini menampilkan Dr. Muhammed Abdul Khalid (Pengarah Urusan, DM Analytics); Sdra. Jufitri Joha (Presiden, Majlis Belia Malaysia – MBM); dan Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain (Prof. Keselamatan Komputer & Siber, UPM/Ketua Salwa Selangor).

“Di United Kingdom, syarikat boleh menentukan berkenaan keperluan membuang pekerja apabila kerajaan di sana mengumumkan secara jelas bila subsidi upah diberikan. Setiap syarikat memerlukan konsistensi dan kejelasan,” demikian tegas Dr. Muhammed Khalid.

Beliau juga menyatakan Bajet perlu lebih luas, cukup dan tepat memandangkan ramai ‘Mak Cik Kiah’ yang kehilangan kerja, khususnya sejak menularnya pandemik Covid-19 pada tahun lepas. 

Sdra. Jufitri pula menyentuh berkenaan perlunya ada falsafah yang lebih membumi dan jelas dalam Bajet 2022, selain memberikan perhatian kepada golongan belia, soal pendidikan, alam sekitar serta masalah kesihatan mental. “Tidak boleh ada ketirisan dalam sistem penyampaian bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat,” sambung beliau.  

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Zuriati menyatakan bahawa, “Covid-19 memberikan satu menjadi pemacu kepada semua pihak untuk mengambil inisiatif bagi menguasai ekonomi digital.” Tambah beliau, “Pihak berwajib perlu memastikan akses capaian 4G sampai ke kawasan pedalaman bagi membolehkan rakyat lebih celik digital untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian, memandangkan di luar negara ada negara yang sudah mengadaptasi rangkaian 6G dan 8G seperti di Korea Selatan dan Norway.”

Moderator bagi program ini ialah Prof. Dr. Saadiah Mohamad (Head of Business School, University of Southampton Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi – FEM).

Dalam ucapan aluannya, Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Tuan Hj. Nik Mohd Yusoff Nik Ismail menekankan perlunya penekanan kepada ekonomi digital dan pemantauan terhadap perlaksanaan Bajet. Kata beliau, “Apakah Bajet kita ini ‘a body without soul?’ Sistem pemantauan Bajet juga tidak boleh lemah dan tidak boleh terlibat keciciran dan kehilangan dana kerana ia akan menimbulkan ketakutan ramai”.

Dalam Sesi Penutup, Dato’ Ismail Yusop (Pengarah Eksekutif IDE) merumuskan bahawa, “Kita berdepan dengan suasana yang penuh ketidakpastian. Akauntabiliti demokrasi turut diperlukan dalam pentadbiran negara bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara kita pada hari ini, bagi memastikan Bajet dapat dilaksanakan dengan lebih baik.”   

Disiarkan secara langsung pada 21hb Oktober 2021 lalu, rakaman program ini boleh ditonton di sini:

https://www.facebook.com/108812807683471/videos/3050190778588705

#EkonomiManusiawi

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR