Belanjawan 2022: Mampukah Membawa Pemulihan?

November 10, 2021
editor@abim

Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE), Wadah Selangor serta Pertubuhan Salwa Negeri Selangor telah mengadakan Forum Belanjawan 2022 yang bertujuan untuk membincangkan berkenaan Belanjawan 2022 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.  

Dalam Ucapan Aluannya, Ustaz. Dr. Ahmad Zaki Abdul Latif (Pengerusi WADAH Selangor) menyatakan bahawa Bajet kali ini tiada lonjakan serius pemulihan ekonomi, peruntukan B-40 yang terlalu sedikit, selain tiada penyelesaian kepada masalah kepada isu pengangguran. “Sebagaimana yang dituntut dalam Islam, pengagihan yang menyeluruh dan seimbang serta memenuhi keperluan rakyat mesti diutamakan oleh pihak Kerajaan.”

Sesi 1 dijalankan dengan mengupas topik “Belanjawan 2022 & Implikasi Kepada Pembangunan Ekonomi Negara”. Sesi ini menampilkan YB Wong Chen (Ahli Parlimen Subang); Tuan Haji Mohamad Sahar Mat Din (Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia – DPIM); dan Sdra. Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali (Exco, Majlis Belia Malaysia – MBM). Moderator program ialah Prof. Dr. Saadiah Mohamad (Head of Business School, University of Southampton Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi – FEM).

“Model ekonomi sosio-pasaran di negara seperti Norway, Denmark dan Sweden boleh digunapakai bagi memastikan rakyat dapat menikmati kadar pendapatan yang lebih wajar dan tinggi berbanding situasi semasa,“ kata YB Wong Chen.

“Hutang Kerajaan sudah hampir mencecah RM1 trilion, di mana ini menunjukkan sistem ekonomi neo-liberal sudah perlu diubah,” tambah beliau. Persoalan paling utama, menurut beliau adalah sama ada perlaksanaan Bajet dapat dilaksanakan sebaik mungkin supaya dapat sampai kepada golongan yang memerlukan.

Tuan Haji Mohamad Sahar pula menyentuh berkenaan pemberian tablet kepada pelajar universiti sudah terlalu lambat memandangkan semakin ramai mahasiswa sudah kembali ke kampus masing-masing. Beliau juga menyebut bagaimana tidak ramai yang dapat menikmati pelbagai skim penjaman yang ditawarkan kerana sudah terlalu ramai peniaga kecil dan sederhana yang mempunyai rekod kewangan yang buruk akibat daripada perniagaan yang terjejas teruk sejak awal pandemik Covid-19 berlaku.

Sementara itu, Sdra. Muhammad Abu Kadir menyebut bahawa kita perlu melihat kepada langkah-langkah yang perlu diambil untuk jangka masa panjang, di mana ia juga boleh dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan sebagainya. Kad laporan setiap bulan, menurut beliau, perlu dibentangkan oleh Kerajaan secara terperinci supaya rakyat dapat menilai keberkesanan perlaksanaan Bajet.

Sesi 2 pula mengupas tajuk “Sosioekonomi & Kesejahteraan Rakyat”. Para panelis yang terlibat adalah Dr. Radin Muhd Imaduddin (Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM); YB Senator Fadhlina Dato’ Siddiq (Ahli Dewan Negara); Tuan Hj Nik Yusoff Nik Ismail (Pengerusi, Forum Ekonomi Manusiawi – FEM); dan Sdri. Nurainin Sofiya Mat Tamizi (Exco Pendidikan & Intelektual PKPIM). Moderator untuk sesi ini ialah Dr. Abu Sufian Abu Bakar (Universiti Utara Malaysia – UUM).

Dr. Radin dalam perkongsiannya menyebut berkenaan gaya hidup generasi kanak-kanak khususnya pelajar sekolah yang berdepan pelbagai masalah. “Pengalaman kohort sewaktu berlakunya pandemik Covid-19 mengakibatkan generasi pelajar mengalami masalah menguasai asas pembelajaran selain mengalami masalah emosi serta biologi tidur.”

Sementara itu, YB Senator Fadhlina pula menyatakan bahawa Bajet 2022 tidak memberi keutamaan kepada kesaksamaan gender memandangkan ia adalah literasi dan pedagogi yang penting. Isu-isu kesihatan mental perlu diberikan penekanan memandangkan dijangka 1.5 juta kanak-kanak akan mengalami masalah tersebut, dan ramai ibu bapa tidak mempunyai kesedaran serta kefahaman jelas berkenaannya.  

“Ekonomi kitaran adalah lebih baik dan adil untuk dilaksanakan”, demikian tegas Tuan Hj Nik Yusoff. “Akauntibiliti dan kualiti perlu diambilkira dalam sesuatu perlaksanaan Bajet, bagi menentukan kejayaan sebenar sesuatu Bajet.”

Dalam Ucapan Penutup, Puan Normazita Ismail (Bendahari Salwa Malaysia) membentangkan Resolusi Forum Belanjawan 2022, dengan menekankan bahawa hak rakyat perlu dipelihara di samping pemimpin perlu menjalankan amanah kepimpinan dengan sebaiknya.

Disiarkan secara langsung pada 31hb Oktober 2021 lalu, rakaman program ini boleh ditonton di sini:

https://www.facebook.com/108812807683471/videos/377537977435111

#EkonomiManusiawi

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR