Belasungkawa Almarhum Ayahanda Tuan Guru Syeikh Ghazali Hj. Abdullah, Pelopor Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI ABIM)

December 29, 2021
editor@abim

Belasungkawa Almarhum Ayahanda Tuan Guru Syeikh Ghazali Hj. Abdullah, Pelopor Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI ABIM)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Almarhum Ayahanda Tuan Guru Syeikh Ghazali Bin Abdullah (1943-2021), Syeikhul Maahad, Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang yang telah meningggal dunia pada 15hb Jamadil Awwal 1443H/20hb Disember 2021M, Jam: 3:35 petang.

Mantan Yang Dipertua ABIM Kedah ke-5 bersama Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff merupakan antara pengasas Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI) yang telah diusahakan sejak 1975-1979.

Sesungguhnya jasa beliau di dalam dakwah khususnya berkait pendidikan amat besar, terutamanya di dalam penubuhan TASKI ABIM yang berkembang ke seluruh negara, sehingga ke Sabah dan Sarawak.

TASKI terbina daripada keringat petugas-petugas ABIM sejak tahun 1970an lagi. Tanpa menghampakan keperluan intitusi pendidikan awal kanak-kanak yang Islamik, ABIM mencorak langkah menyediakan TASKI sebagai pilihan umat, sebagai tentatif dalam sistem pendidikan prasekolah yang ada. Banyak ranjau, onak berduri dan cabaran bagi merealisasikan keberadaan TASKI di tengah-tengah masyarakat yang dahagakan pendidikan Islam. 

Maahad Derang kehilangan lagi tokoh utama yang menaungi pergerakan dan perjalanan Maahad. Kehilangan ini pastinya amat dirasai oleh seluruh warga Maahad Derang dan ahli keluarga.

Petikan ucapan Almarhum Syeikh Ni’amat pada tahun 2003 berkenaan Almarhum Syeikh Ghazali: “…Kemudian orang kedua, sejak daripada ABIM lagi, sebelum ABIM lagi ialah Ustaz Ghazali (bin Abdullah). Ustaz Ghazali ini, saya pun tak tahu nak khabar.

Bukanlah berkawan, satu sekolah pun tidak. Masa saya duduk mengajar Tikam Batu dia masih budak sekolah lagi.

Dan pada masa itu saya cuba telah tertarik dengan dia, perasan dia tak tahu, berasa macam ada benda dekat dia ni, sesuatu yang rasanya boleh cukup sesuai dengan saya, berkawan, sejak itu sampailah akhirnya dia masuk sekolah berkawan dengan adik saya di Nilam Puri, Ustaz Roshidi, terus berjumpa tanya khabar dan rasanya dia ni boleh jadi sahabat, sampailah akhirnya, apabila saya kempen sikit masuk ABIM dia pun masuk, haa tang tu kira cukuplah, disitulah mula pendampingan..

Lepas itu, oleh kerana itulah sampailah akhirnya, rupanya sungguh, Allah Ta’ala telah merealisasikan segala impian, hasrat dan juga ramalan saya, rasa saya tu tidak berbohong, sampailah beliau orang yang sentiasa berdamping dengan saya terutama dalam masalah-masalah pendidikan, daripada permulaan TASKI tu, Allah, TASKI ni orang tak nampak jalan langsung.

Apa nak buat Taman Islam, apa? Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ni, yang corak cari kurikulum ni, apa semua, kita buat atas kerjasama yang cukup erat daripada Ustaz Ghazali sampailah akhirnya beliau telah berjaya menjadi contoh, TASKI yang ada di Pendang ni menjadi contoh kepada semua TASKI, dan beliau terus memegang teraju TASKI beberapa lama, dan akhirnya hendak tubuh Derang ini pun beliau adalah orang yang barisan pertama juga yang turut memikirkan, turut menggerakkan dan turut menggembelingkan, sampai anak-anak murid TASKI dia itulah sebagai asas kepada penubuhan Derang ini.

Alhamdulillah, apa pun keadaan, sama ada, di tengah jalan ka, sut ka (berkesudahan ka), maknanya dengan orang-orang ini telah banyak merakamkan cita-cita kita, hasrat kita dengan kejayaan-kejayaan yang boleh dibanggakan.”

Ustaz Ni’amat bersama rakan-rakan seperjuangannya seperti Ustaz Ghazali Abdullah mula merangka kurikulum kursus perguruan TASKI sejak tahun 1975-1979 lagi. Kempen untuk mendapatkan calon-calon guru TASKI untuk diberi latihan, telah dijalankan oleh ABIM, khususnya Ustaz Ni’amat sendiri dengan kerjasama dan sokongan kuat daripada PPINK.

ABIM amat mementingkan pendidikn sejak dari awal ditubuhkan. Pada peringkat kebangsaan, Dr. Abd. Rahman Quraish diamanahkn mnerajui Biro Pendidikan. Seperti juga di negeri-negeri lain, Ketua Biro Pendidikan ABIM Kedah ialah Almarhum Ustaz Ghazali sendiri.

Sekitar 1985, kepimpinannya amat terserlah bila orang hendak menghantar anak ke taman asuhan mana? TASKA KEMAS atau TASKI ABIM? Ramai yang memilih TASKA KEMAS kerana yurannya jauh lebih rendah berbnding TASKI ABIM.

TASKA punya bangunan dan prasarana yang baik. TASKI mnumpang surau dan masjid. TASKA projek krajaan, manakala TASKI projek ABIM. Namun penerimaan masyarakat terhadap ABIM agak menonjol sehingga ada kalangan yang melabelkan TASKI ABIM ialah ‘Sekolah Ustaz Ghazali’.

Pernah ada yang mendengar perbualn di khalayak: “Anak hantar pi tadika mana?” Jawab seorang itu: “Uhh… saya hantar anak saya pi sekolah Ustaz Ghazali ja…” Demikian sinonimnya TASKI ABIM melakari pendidikan di bawah pimpinan Ustaz Ghazali.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala menerima segala pengorbanan dan tribulasi yang dilaluinya sebgai ibadah dan mendapat timbangan sebagai amalan yang soleh di Akhirat nanti.

Allahummaghfirlahu warhamu wa ‘afihi wa’fu’anhu. InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR