Berbeza Agama Bukan Halangan Kongsi Nikmat Ramadan: The Malaysian Insider

July 17, 2014
editor-media

 Berbeza agama bukan halangan kongsi nikmat Ramadan Isu melibatkan agama Islam dan juga komuniti bukan Islam, terutama penganut agama Kristian sebelum ini menjadi isu hangat dalam negara dan dilihat daripada perspektif negatif, apatah lagi apabila membabitkan isu rampasan Bible dan penggunaan kalimah Allah. Namun, sekumpulan individu daripada Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) melihatnya menerusi sudut berbeza, daripada mencari perbezaan dan bertelagah, mereka mencari alasan untuk bersatu sempena Ramadan kali ini.

Berkumpul buat kali kedua di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, selepas program memperingati kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sebelum ini, mereka menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) demi memahami Islam dan mencari nilai murni Islam sempena Ramadan. Majlis Berbuka Puasa Muhibbah itu turut dihadiri imam besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin; Datuk J Jegathesan mewakili komuniti Sai Baba; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; wakil dari Council of Churches Malaysia (CCM); Ven Saranankara dari Sentul Buddhist Vihara; wakil Subang Jaya Buddhist Vihara, dan Hindu Sanggam Council.

 Naib Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penganjuran program berkenaan adalah atas permintaan anggota FGIS yang bukan beragama Islam untuk meraikan kemeriahan Ramadan yang disambut umat Islam seluruh dunia. “Objektif program ini ialah meraikan permintaan dan permohonan rakan agama lain agar diadakan majlis untuk mereka melihat sendiri umat Islam mengerjakan ibadat puasa, dalam kemeriahan Ramadan. “Abim berkerjasama dengan masjid untuk kita berikan peluang kepada mereka memahami Islam, dan bagi kami, ini kaedah terbaik melihat sendiri umat Islam berpuasa,” katanya.

Umat Islam dan penganut Kristian sebelum ini dihangatkan dengan isu rampasan 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Damansara pada Januari dari pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM). Selain itu, isu penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan mingguan Herald yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan turut menjadi tajuk hangat di dada akhbar, menunjukkan seolah-olah komuniti Islam di Malaysia sering bertelagah dengan penganut agama lain.

Selain itu, isu serbuan Jais terhadap majlis perkahwinan gadis yang didakwa beragama Islam tetapi mengadakan majlis perkahwinan di kuil turut mengakibatkan agensi agama itu dikecam pelbagai pihak. “Apa yang kita lihat hari ini adalah hati daripada ahli kumpulan ini,” kata Jega ketika berucap pada majlis berkenaan. Kira-kira 60 ahli FGIS terdiri daripada penganut pelbagai agama menyertai program malam tadi yang turut dijadualkan akan menganjurkan program sama di rumah ibadat penganut agama lain.

“Selepas ini kita akan program yang sama di gereja, kuil dan seumpamanya, sudah pasti,” kata Jega dalam ucapannya di perkarangan masjid berkenaan. Wakil belia CCM Jacob Simon yang hadir dalam program itu berkata, acara sedemikian menunjukkan keamanan berbeza agama dan kefahaman antara satu sama lain. “Walau apa pun berlaku, kami menyampaikan mesej keamanan dan keharmonian antara agama. Pelbagai program kami anjurkan bersama-sama sejak 11 tahun lalu,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insider. FGIS ditubuhkan pada 2002 sebagai jaringan tidak formal antara badan agama utama di negara ini iaitu, Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh.

Pertubuhan itu dianggotai Abim, Buddhist Maha Vihara, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM), Malaysia Hindu Sangam dan Majlis Gurdwaras Malaysia; dan dikoordinasi Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia. Matlamat penubuhan FGIS ialah memupuk keharmonian antara agama dan menegakkan nilai manusiawi, iaitu dengan cara membantu golongan yang memerlukan dan menyumbang terhadap pembangunan negara. Koordinator FGIS Prof Suresh Kumar dalam ucapannya berkata, pertubuhan itu akan menghasilkan modul nilai murni setiap agama di Malaysia bagi memupuk perpaduan antara kaum.

“Modul ini akan ada nilai dalam setiap agama, hormati dan wujudkan pemahaman. Apabila kita sudah ada keyakinan agama masing-masing, kita akan lebih faham,” katanya, dan menambah, modul berkenaan akan dikeluarkan pada Oktober depan. “Selalunya kita hanya melihat perbezaan, namun kali ini kita akan melihat persamaan nilai-nilai agama,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider. Program malam tadi turut menyaksikan anggota FGIS bersatu mengumpul dana bagi membantu penduduk Palestin.

Sebanyak RM19,000 berjaya dikumpulkan daripada anggota FGIS bagi membantu penduduk Palestin yang diserang tentera Israel. Program itu turut menjadi pengalaman pertama Thai Ming Yow, anggota Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (NUCC) hadir ke masjid. “Selain menonton televisyen (berkenaan Islam), di sini saya memperolehi pengalaman pertama kali pergi ke masjid. “Majoriti umat Islam di negara ini amat peramah, dan sukakan keamanan serta suasana harmoni,” katanya. Beliau turut mengakui terdapat segelintir kumpulan yang mencetuskan ketegangan dan prejudis antara kaum. “Sekiranya semua pihak bekerjasama untuk mengekalkan hubungan harmoni, kita tidak perlukan kumpulan seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insider. – 17 Julai, 2014. Sumber: The Malaysian Insider

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR