Biar orang tak kenal saya, asalkan orang kenal Islam! :- Amidi Abd Manan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Biar orang tak kenal saya, asalkan orang kenal Islam! :- Amidi Abd Manan

Penuh nostalgik; tetapi sarat dengan idealisme serta iltizam baru yang padu. Demikianlah yang dapat disimpulkan terhadap Muktamar ABIM kali ke-44 serta Ijtima’ Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM kali-4 (IH4) yang berlangsung dengan meriah dari 18 hingga 20 September 2015. Muktamar yang penuh signifikan ini dianjurkan di Kolej Dar Al Hikmah (KDH), Kajang sempena Ijtima’ Harakiy kali ke-4. Kehadiran muktamirin dan muktamirat dari seluruh pelusuk tanah air – dari Perlis sampai ke Sabah; membuktikan bahawa ABIM terus relevan dalam menongkah arus modenisasi. Seramai 851 orang perwakilan dan pemerhati telah hadir ke IH4, dengan 319 orang daripadanya merupakan ahli serta aktivis ABIM yang membanjiri muktamar gerakan bersejarah tersebut. Dalam ucapan dasarnya, Saudara Amidi Abd Manan membawa tajuk besar ‘Sejahterakan Malaysia Dengan Dakwah: Menterjemah Misi Ilmuwan Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini’. Antara lain, beliau mengimbau mutiara kata Buya Hamka mengenai peranan ulama’ dalam membangunkan umat, di samping menekankan perihal pendidikan tawhidik dan perjuangan bangsa. Beliau juga menyentuh bagaimana ulama’ serta tokoh terdahulu begitu gelisah dan kurang senang jika nama dan amal bakti mereka disebut-sebut. Sementelah, Saudara Amidi menegaskan berkenaan isu gejala sosial yang semakin rakus dewasa ini. Ironisnya; menurut beliau, program serta peruntukan kem serta kelas pendidikan berunsur keagamaan semakin menyusut secara beransur-ansur. ABIM, menurut beliau, menyelar sikap acuh tidak acuh dalam menangani hal ini. Pendidikan adalah keutamaan bagi melahirkan generasi muda berkualiti pada masa hadapan.