
8 November 2015, Pulau Pinang:- Dunia menderita tanpa gagasan Rahmatan Lil Alamin. Begitulah perkongsian yang diketengahkan oleh Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil Alamin di Hotel Olive Tree, Bayan Baru Pulau Pinang, pada 8 November yang lalu. Ungkapan itu merujuk kepada karya ulama’ tersohor, Abu Hassan Ali An-Nadwi, “Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam”.
“Sesungguh-Nya Rahmat Allah itu sangat luas. Ia bukan milik eksklusif umat Islam semata-mata. Justeru umat Islam bertanggungjawab untuk merealisasikan menyebarkan gagasan Al-Islam Rahmatun Lil Alamin kepada setiap manusia ke seluruh pelusuk alam,” tegas Dato’ Dr Siddiq Fadzil sambil “mengimbau’ hakikat bahawa Islam adalah Agama Rahmah, Bukan Agama Yang Marah-Marah.
Sinambungan dari premis tersebut, Dato’ Dr Siddiq Fadzil menyeru agar beberapa istilah “kontroversi” dalam istilah seperti #### buta mahupun pepatah-pepatah perlu dikaji semula penggunaannya kerana dikhuatiri menghiris hati dan perasaan kaum lain di negara ini. Hadir merasmikan konvensyen tersebut ialah YB Malik Kassim, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, WADAH, ABIM, dan PKPIM.
