Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam Bilik Darjah - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam Bilik Darjah

21hb Oktober 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM yang diwakili Naib Presiden, Sdr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim telah menyertai lebih 40 buah pertubuhan masyarakat madani (CSO) Pendidikan yang menyerahkan cadangan reformasi pendidikan kepada Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malek.

Sidang meja bulat ini turut disertai KSU KPM, YBhg Dato Dr Ghazali dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Pengarah Jabatan Teknik, Vokasional dan Kolej Komuniti, serta wakil pegawai tinggi KPM. Mewakili ABIM, Sdr. Radin menegaskan pendirian ABIM bahawa reformasi pendidikan mestilah berteraskan pemahaman dan pemaknaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam bilik darjah.

Matlamat Pendidikan adalah untuk mengembangkan potensi secara sembang dan harmonis, justeru pentingnya Pendidikan yang menekankan Pembangunan Karakter kemanusiaan; memanusiakan manusia, serta membangunkan kemahiran sosial dan Emosional murid yang mana ini juga merupakan kemahiran penting dalam cabaran masa hadapan dan cabaran revolusi industri 4.0.

Selain itu, beliau juga menekankan kerisauan kami tentang amalan micro-manage yang diamalkan KPM, yang menambah beban yang tidak perlu untuk KPM.

Justeru beliau mencadangkan agar diberikan autonomi (tertentu) kepada sekolah-sekolah yang berada dalam band 1, dan menumpukan perhatian kepada sekolah-sekolah berprestasi rendah di Band 6.

Para aktivis CSO juga sempat menyentuh tentang pelatihan guru di IPG yang secara umumnya baik sekali dengan pendedahan kepada disiplin keguruan yang sangat ketat sepanjang latihan di PISMP.

Namun, telah diusulkan agar ditambah ruang untuk bakal guru ini terlibat dalam dunia kemahasiswaan dengan rangkaian universiti awam lain bagi memberikan perspektif ummatik kepada bakal guru ini.