
26 Julai 2025 – ABIM dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) mengambil inisiatif menghimpunkan tiga latar agama berbeza; Islam, Buddha dan Hindu, berkongsi pandangan membincangkan “Peranan Agama Dalam Menangani Isu Kemanusiaan & Perang Global” bertempat di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB). Sesi forum telah diperantara oleh DMY Alif Aiman.
Dr. Mohamad Haeqal Ishak, Pensyarah & Exco ABIM Pusat mengulas bahawa asas kemanusiaan di dalam Islam boleh dirujuk di dalam surah al-Hujurat ayat 13 iaitu Allah mencipta manusia itu pelbagai bangsa untuk saling mengenali. Nilai nyawa dalam Islam juga adalah tinggi di mana Islam melarang perbuatan membunuh diri.
Berdasarkan sejarah Nabi, Islam lebih bersifat ‘defensive’ dalam perang (berperang atas dasar untuk mempertahankan diri/negara/agama, bukan menyerang) serta adab-adab tertentu juga perlu dipatuhi dalam berperang sekaligus sebagai salah satu cara menjaga nilai kemanusiaan itu sendiri.

Bagi agama Buddha, Sdr. Lye Ting Yu dari Youth Buddhist Association Malaysia (YBAM) menerangkan bahawa dari lima isi pancasila Buddha, pancasila pertama telah mengajarkan untuk tidak membunuh atau menyakiti makhluk hidup. Penganut Buddha diajar untuk menghargai kehidupan dan menghindari segala bentuk kekerasan kerana semua makhluk dan manusia layak dihormati dan dilindungi. Jika berlaku peperangan, pihak yang lemah perlulah dilindungi.
Memetik kata-kata Buddha; “Kebencian tidak dapat dihapus dengan kebencian, tetapi dengan kasih sayang, dan ini adalah kebenaran yang abadi”.
Manakala bagi agama Hindu, Sdri. Vichitra Asogan dari Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO) berkongsi bahawa mereka percaya bahawa keamanan dan kemanusiaan adalah nilai asas untuk hidup secara beretika dan moral. Konsep Shanti dalam agama Hindu sendiri melambangkan kedamaian secara fizikal, mental dan spiritual.
Peperangan secara fizikal tidak akan membawa hasil, sebaliknya tindakan secara aman dan kasih sayanglah yang akan berjaya. Dalam agama Hindu, semua manusia dianggap memiliki ‘Atman’; jiwa ilahi yang berasal daripada Brahman di mana menghormati manusia lain adalah seperti menghormati Tuhan.
Hadir sama, Dr. Ab Halim elMuhammady, Penasihat Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre seterusnya merasmikan sesi forum.
