Generasi Muda Adalah Nadi Utama Umat: Dr Jasser Auda - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Generasi Muda Adalah Nadi Utama Umat: Dr Jasser Auda

31 Julai 2015, Petaling Jaya, Kuala Lumpur:- Generasi Muda adalah tonggak utama kebangkitan ummah pada masa hadapan. Penegasan itu diketengahkan oleh Dr Jasser  Auda, pemikir Maqasid Syariah kontemporari ketika mengisi slot Maqasid Al-Shari’ah & The Challenges Facing The Muslim Youth di Dewan Besar, Institutes of Advances Islamic Studies (IAIS), di Petaling Jaya, pada 31 Julai 2015. “Para sahabat nabi rata-ratanya terdiri daripada golongan muda. Mereka yang menerajui kebangkitan Islam ketika detik-detik awal dakwah Rasulullah S.A.W,” jelas beliau yang juga merupakan ahli  majlis European Council for Fatwa and Research.

Sepanjang bengkel tersebut Dr Jasser mengambil kesempatan untuk turut berdialog dengan para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda Islam. “Generasi muda perlu berani serta bersifat kreatif. Mereka tidak perlu takut untuk membuat perubahan dan sumbangan mereka tidak perlu dinafikan,” tambah penulis buku Memahami Maqasid Syariah (terjemahan PTS). Untuk memenuhi harapan serta amanah umat tambah Dr Jasser lagi, generasi muda perlu mengukuhkan budaya ilmu di samping “kreatif” dalam membawa perubahan. 

 

 

“Kita perlu membezakan antara Thawabit (sesuatu perkara kekal) dan Mutaghayyirat (sesuatu yang boleh diubah). Kecelaruan akan berlaku sekiranya kita ingin merubah sesuatu (tanpa membezakan antara Thawabit atau Mutaghayyirat). Begitu juga jika bersikap tertutup terhadap semua perkara, masakan sebarang inovasi secara kreatif dapat dibuat!”

Dr Jasser turut memperingatkan agar objektif utama Maqasid Syariah adalah untuk memenuhi keredhaan Allah S.W.T. “Jika kita meletakkan Allah S.W.T ketika ingin melakukan setiap pertimbangan kehidupan kita, maka kita sentiasa mendapat petunjuk serta hidayah daripada-Nya. Maqasid Syariah juga merupakan asas ke arah pembentukan akhlaq dan nilai kemanusiaan yang mulia.”