Gerakan Dakwah Dan Kesederhanaan Dalam Islam: Presiden - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Gerakan Dakwah Dan Kesederhanaan Dalam Islam: Presiden

Oleh Amidi Abd Manan, Presiden ABIM

Sikap kesederhanaan Islam yang kita cuba hayati dan amalkan sejak sekian lama bukan satu pilihan. Ia adalah sikap yang amat dituntut oleh Islam. Mesej Islam hanya akan b erjaya sampai dengan utuh apabila ia disampaikan dengan penuh kesederhanaan.Sebagai pendokong risalah dakwah kita seharusnya berpendirian dengan teguh dan sepenuh hati agar kita tidak terjebak dengan kejelekan ekstremisme. Marilah kita berhati-hati mengelakkan simptom-simptom penyakit ini kerana ia boleh melumpuhkan dakwah kita dan kita kehilangan seri selaku penyebar risalah.Ketaksuban terhadap satu-satu pendapat merupakan salah satu daripada manifestasi gejala ekstremisme. Ketaksuban sehingga gagal meraikan kepelbagaian pandangan kelak akan menjurus kepada kebekuan pemikiran dan kejumudan tindakan.

Setiap pendapat sudah tentu dilatari oleh sejarah, budaya dan ilmu pengetahuan yang rencam.Begitu juga dengan kecenderungan selera dan cita rasa yang tidak memungkinkan keseragaman pandangan.Keadaan sebegini diburukkan lagi apabila diri diangkat keujuban yang melampau sehingga mencanang, hanya dirinyalah yang berada di landasan kebenaran.Kecenderungan untuk mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan syariat juga merupakan gejala ekstremisme. Apatah lagi ia disertai oleh perilaku yang keras dan kasar bagi memastikan seruannya diikuti.

Setiap perkara yang ‘diwajibkan’ itu menjurus kepada satu tema, iaitu yang lebih sukar dan lebih susah itulah yang lebih afdhal (utama). Sikap sebegini meragut sifat kasih sayang dan kedamaian yang seiring dengan risalah Islam.Islam mahukan agar manusia itu senang dan lapang dibelai kesejahteraan dalam kehidupan.

Lewat sebuah pesanan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. apabila mengirimkan Mu’az ibn Jabal ke Yaman: “Engkau akan mendatangi kaum dari ahli kitab, maka serulah mereka kepada syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah. Jika mereka mentaati engkau akan yang demikian, maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sembahyang lima kali sehari semalam. Jika mereka mentaati engkau pada yang demikian, maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil dari orang-orang kaya untuk diberi kepada orang-orang miskin.” (Riwayat Muttafaq ‘alaih)

Dalam menghuraikan hadith ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyorot tertib dakwah yang bermula dengan perkara yang mudah, iaitu kalimah tayyibah kepada yang lebih sukar, iaitu solat dan zakat.Ia mengisyaratkan bahawa fitrah manusia perlu diperkirakan tatkala menyampaikan dakwah. Kita amat bimbang dengan gejala ekstremisme yang memperkenalkan kepada generasi muda tingkah laku yang keras dan kata-kata yang kesat yang bertopengkan jihad menegakkan Islam. Aksi-aksi provokasi melampau daripada kedua-dua pihak sama ada Muslim ataupun tidak mempamerkan perilaku yang memualkan.

Ungkapan menghalau dan menghina yang semakin popular sejak akhir-akhir ini meningkatkan lagi keresahan dalam kalangan masyarakat. Adakah pintu untuk berdialog telah tertutup? Ruang untuk berdakwah telah dinafikan? Dan pintu interaksi telah dikunci? Sehingga mengizinkan untuk kita meluahkan kata-kata nista yang merendahkan martabat akhlak kita sendiri.

Sikap tegas dan keras hanya diizinkan ketika peperangan dan ketika melaksanakan hukum Allah terhadap pesalah syariah, namun itu pun jangan menyingkapi tirai penghinaan martabat insani.Apa yang kita bimbangi ialah sikap sebegini menjauhkan mereka dari seruan Islamiah sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah ali-Imran 3:159)

Kesegaran husn ud-dzan (bersangka baik) dimamah gejala ekstrem dengan rakusnya. Ia merebak dengan pantas apabila kita mula memandang kelompok lain dengan pandangan hitam lalu menyembunyikan kebaikan-kebaikan mereka dan diperbesarkan kesalahannya. Sekecil-kecil kesalahan akan dikutuk habis-habisan tanpa perasaan kasih sayang atau memberi ruang terhadap pembetulan. Perilaku ini juga diiringi dengan menafikan sebarang bentuk penjelasan daripada kelompok yang tidak bersama mereka dan kelompok tersebut akan dilabel dengan pelbagai tuduhan yang bukan-bukan.

Sabda Nabi s.a.w.: Jauhilah prasangka, kerana prasangka itu adalah pembicaraan yang paling dusta.” (Muttafaqun alaih) Gejala ekstrem ini akan menjunamkan kita ke lembah ‘takfir’ apabila terperangkap dalam rasa ‘ujub’ terhadap diri yang melampau. Firman Allah S.W.T.:

“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain daripada kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya. Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm 53:32)

Musa a.s diperintahkan untuk terus mempertahankan akhlak tutur bicara dengan kata-kata yang sopan apabila berhadapan dengan Firaun.Firaun yang mewakili golongan yang zalim dan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan legasi kekuasaannya perlu dihadapi dengan tenang dan berhikmah. “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut” (Surah Taaha 20:43-44)

Posisi Dakwah ABIM

ABIM selaku gerakan dakwah yang mempunyai pengaruh yang tersendiri perlu mempertahankan posisi dai’e dengan sepenuh hati.Sikap ekstrem yang kelihatan dalam nyalaan semangat perkauman yang sempit, pendekatan yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) dan ketaksuban terhadap pemimpin dan kelompok perlu dijauhi oleh penggerak-pengge
rak dakwah.

Justeru, amalan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya ia adalah satu kemestian. Mesej kesejahteraan Islam hanya dapat disampaikan dengan makna yang setepatnya menerusi kesederhanaan ini. Tanpa sikap ini, inti risalah akan terlindung di balik bayangan ekstremisme yang hodoh.